Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 24 Januari 2018

60 rumah dibaiki menerusi Program Kembara Jalinan Kasih NBOS-CTU KKMM

Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman (tengah) menyertai kerja-kerja membina dinding rumah seorang penerima program Kembara Jalinan Kasih NBOS-CTU KKMM di Kampung Pak Mali, Bachok.
BACHOK: Sebanyak 60 buah rumah di seluruh negeri ini akan dibaiki menerusi Program Kembara Jalinan Kasih NBOS-CTU Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (Pembaikan Rumah) sepanjang tahun ini.

Program itu dipelopori Jabatan Penerangan melalui Komuniti 1Malaysia dan dilaksanakan berperingkat secara bergotong royong. 


Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata, program itu bukan sahaja bertujuan membantu masyarakat setempat yang kurang bernasib baik, malah merapatkan hubungan pihaknya dengan masyarakat setempat. 


Menurutnya, kos diperuntukkan bagi sebuah rumah ialah RM25,000 namun nilai itu bergantung kepada keperluan semasa. 


“Pada peringkat awal, kita akan mengenal pasti sejauh mana kerosakan rumah, jika hanya atap sahaja yang bocor jadi kita akan membaiki atap sahaja. Selebihnya kos yang ada akan disalurkan kepada rumah lain pula. 


“Seandainya ada rumah yang perlu dibina baru, kita akan bina dengan peruntukan yang diberi. Kos tersebut merangkumi bahan keperluan seperti simen dan zink. Kerja-kerja membina pula dilakukan secara gotong royong dalam kalangan sukarelawan, “ katanya.


Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Program Kembara Jalinan Kasih NBOS-CTU Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (Pembaikan Rumah) melibatkan sebuah rumah penerima di Kampung Pak Mali, di sini hari ini.


Yang turut hadir, Pengarah Penerangan Kelantan, Azhar Ismail.


Sementara itu, penerima bantuan pembaikan rumah, Nor Azian Abu Bakar, 42, yang juga suri rumah meluahkan rasa bersyukur apabila nasibnya terbela dan mampu memiliki kediaman yang selesa untuk diduduki menerusi program tersebut.


“Kami sebelum ini tinggal dalam keadaan yang sangat tidak selesa apabila atap bocor dan tidak berlantai. Suami, Wan Hassan Wan Hamad,50, yang kerja sebagai buruh dengan pendapatan RM600 sebulan memang tidak mampu untuk membaiki rumah. 


“Saya bersyukur kerana rumah yang dibina hampir 20 tahun ini dibaiki. Saya amat berterima kasih dengan keprihatinan pihak yang terlibat, “ ujarnya.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 21 Januari 2018

R&R Kuala Balah beri peluang pekerjaan kepada penduduk setempat

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyampaikan hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah televisyen kepada penduduk setempat sempena Majlis Peletakan Batu Asas Projek Pembangunan Kawasan R&R Kuala Balah di Jeli.
JELI: Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kuala Balah yang dijangka siap pada Mac 2019 mampu memberikan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hal demikian kerana R&R itu merupakan laluan tumpuan penduduk setempat serta masyarakat luar untuk ke Gua Musang. 


“Kos pembinaan keseluruhan R&R ini bernilai RM4 juta yang merupakan projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang diuruskan oleh agensi naungannya iaitu 
Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar). 


Bangunan R&R berkeluasan 1.3 ekar itu mempunyai tujuh unit ruang kedai, ruang makan yang boleh memuatkan 270 pengunjung pada satu masa, surau, tandas serta parkir kenderaan. 

“Jadi, dalam masa sama saya berharap peniaga di sini perlu kreatif dalam mempelbagaikan barangan jualan serta menyediakan landskap menarik dalan usaha menarik pengunjung,” katanya. 


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Peletakan Batu Asas Projek Pembangunan Kawasan R&R Kuala Balah di sini hari ini. 


Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Aziz Derashid. 

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 21 Januari 2018

Kampung Sungai Budor Kampung Pelangi

Zaluzi Sulaiman (kanan) mengecat rumah penduduk Kampung Sungai Budor di Kota Bharu dengan warna-warna pelangi hari ini.
KOTA BHARU: Kampung Sungai Budor yang terletak di tepi Sungai Kelantan akan ditransformasikan menjadi sebuah pusat pelancongan berkonsepkan 'Kampung Pelangi'.

Yang Dipertua Pertubuhan Wanita Prihatin Kelantan, Zarina Md. Eusope berkata, perkampungan tersebut akan dicat dengan warna pelangi bagi menarik perhatian pelancong sepertimana beberapa lokasi yang telah melaksanakan konsep tersebut.

Beliau berkata, setiap rumah akan dicat dengan warna-warna pelangi yang terang bagi menceriakan kawasan sekitar.

“Ini merupakan hasil usaha pertubuhan kami bersama dengan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa yang diketuai oleh Datuk Zaluzi Sulaiman dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Program ini juga turut mendapat sokongan daripada Kerajaan Pusat. Kampung pelangi di sini akan membuka peluang kepada penduduk setempat untuk menambaha pendapatan dengan kehadiran pelancong,” katanya selepas Majlis Penyeahan Anak Angkat Mahasiswa UKM Demi Melastarikan Kampung Pelangi Sungai Budor di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Zaluzi.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 17 Januari 2018 | Terbitan 18 Januari 2018

Wakaf MAIK Muamalat dilancar

Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra menyempurnakan gimik pelancaran sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid di Majlis Perasmian dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman Wakaf Maik Muamalat oleh Pemangku Raja Kelantan di Hotel Perdana di Kota Bharu. 
KOTA BHARU: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) melakar sejarah apabila berkerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi mengutip dan menguruskan dana wakaf di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, pelaksanaan Wakaf MAIK Muamalat turut didokong lima buah bank Islam lain yang bergabung di bawah Persatuan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) iaitu Affin Bank Berhad; Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB); Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat); Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Bank Berhad.


Beliau berkata, kerjasama strategik dalam kutipan dan pengurusan wakaf tunai itu akan memberi kemudahan kepada pelanggan bank dan orang ramai untuk melaksanakan ibadah wakaf dengan lebih baik.


“Bank Muamalat akan bekerjasama dengan bank-bank Islam yang terlibat untuk mengutip dana wakaf daripada orang ramai.


“Dana yang dikutip akan diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JPB) antara Bank Muamalat dengan MAIK yang akan merangka dan melaksanakan aktiviti wakaf terutamanya dalam sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi termasuk pelaburan yang difikirkan sesuai bagi menjana dana wakaf sedia.


“Bank Muamalat telah memulakan perkhidmatan wakaf sejak tahun 2012 lagi dan akan menggunakan pengalaman dan kepakaran ini untuk meningkatkan keyakinan masyarakat menyumbang kepada Wakaf MAIK Muamalat,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman Wakaf MAIK Muamalat di Hotel Perdana di sini hari ini.


Majlis itu telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.


Yang turut hadir, Pengerusi JBP Wakaf MAIK Muamalat, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

Sumber: Utusan Online | Ekonomi | 17 Januari 2018

Selasa, 23 Januari 2018

HUSM terima dua kerusi pergigian animasi

Dr. Asma Ismail (kanan) tertarik melihat kerusi pergigian khas untuk kanak-kanak selepas merasmikan Klinik Pakar Pergigian HUSM Kubang Kerian dekat Kota Bharu.
KUBANG KERIAN: Hospital Meichen Stomatological, Wehai, China menyumbangkan dua kerusi pergigian khas berbentuk animasi kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) khusus bagi keperluan rawatan kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya (OKU) di sini.

Dekan Pusat Sains Pergigian HUSM, Prof. Dr. Adam Husein berkata, penerimaan kerusi itu hasil inisiatif kolaborasi kedua-dua hospital menerusi pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 2016.

“Kerusi berbentuk animasi yang lengkap dengan peralatan teknologi canggih seperti video muzik yang boleh dimainkan menerusi iPad itu merupakan fasiliti terbaharu bertujuan me­ngurangkan rasa takut dan fobia dalam kalangan kanak-kanak ketika berjumpa doktor gigi.

“Malah, kerusi ini juga disediakan khusus bagi pesakit rujukan termasuk kanak-kanak OKU.

Harganya yang mencecah RM150,000 seunit juga menye­babkan kerusi pergigian khas itu hanya berada di dua tempat sahaja iaitu di HUSM dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pertama kali memilikinya di negara ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas Maj­lis Perasmian Klinik Pakar Pergigian di Pusat Trauma, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.

Dalam pada itu, Adam berkata, Klinik Pakar Pergigian di tempat baharu itu telah mula beroperasi sejak 31 Disember tahun lalu.

“Antara kelengkapan yang dimiliki ialah 29 kerusi pergigian bagi sesi pengajaran dan pem­belajaran dan 12 kerusi pergigian untuk rawatan pakar pergigian meliputi pelbagai bidang kepakaran seperti pembedahan oral maksilofasial, keperluan khas dan patologi oral.

“Kita juga memiliki seramai 45 pakar pergigian termasuk tujuh pakar pergigian kanak-kanak yang bersedia merawat 40,000 pesakit setahun di sini,” jelasnya.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 16 Januari 2018 | Terbitan 18 Januari 2018

Selasa, 16 Januari 2018

Tunggakan cukai taksiran RM51.96 juta: MPKB-BRI catat angka tertinggi gagal dikutip PBT Kelantan sepanjang 2017

Ahmad Yakob (tengah) menyampaikan watikah kepada seorang penerima semasa majlis pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kelantan di Dewan Konvensyen Pusat Dagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu, baru-baru ini.
KOTA BHARU: Sejumlah RM51.96 juta cukai taksiran masih tertunggak dan gagal dikutip pihak berkuasa tempatan (PBT) di ne­geri ini sepanjang tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat berkata, mendahului senarai tunggakan cukai adalah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dengan jumlah RM22.36 juta diikuti Maj­lis Daerah Pasir Putih (MDPP) RM 5.34 juta dan Majlis Daerah Machang (MDM) RM4.35 juta.

Beliau berkata, daripada ke­seluruhan 12 PBT yang ada, ha­nya Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) menjadi PBT tunggal yang tidak mempunyai sebarang tunggakan cukai taksiran.

“Jumlah tunggakan ini adalah amat besar dan kegagalan untuk mengutipnya menyebabkan PBT tidak dapat memberikan perkhidmatan untuk rakyat dengan lebih berkesan.

“Kita meminta Ahli Majlis PBT selaku pemimpin yang di­pilih berperanan menyedarkan masyarakat kepentingan pembayaran cukai taksiran kepada PBT masing-masing.

“Kekuatan kewangan akan membolehkan PBT memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya dalam Se­minar Ahli Majlis dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Kelantan 2018 di sini, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) negeri yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Fiessal.

Program itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Sementara itu, Yang Dipertua MDGM, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf berkata, pihaknya bekerjasama dengan syarikat pengutip hutang dalam menjalankan operasi memungut cukai taksiran khususnya cukai ladang.

“Kita baru laksanakan kaedah ini pada tahun lalu dan ini mungkin menjadi antara faktor tiada­nya tunggakan.

“Sebelum ini kita pernah juga laksanakan kempen dan memberi hadiah kepada pembayar cukai pintu dan cukai ladang yang melunaskan bayaran pada awal tahun,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 15 Januari 2018 | Terbitan 16 Januari 2018

Ahad, 14 Januari 2018

MRSM Ulul Albab diperluas demi melahirkan hufaz muda yang memiliki kemahiran akademik arus perdana

Awang Adek Hussin menyampaikan sijil penghargaan dan sumbangan YPM kepada pelajar yang mendapat tawaran MRSM di Bachok, Kelantan, baru-baru ini.
BACHOK: Majlis Amanah Rakyat (Mara) sedang mengkaji bagi merangka memperluaskan pelaksanaan pengajian tahfiz di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk menjadi pilihan pelajar yang berminat menghafaz al-Quran.

Pengerusinya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, kejayaan yang dicapai oleh MRSM Ulul Albab dalam melahirkan hufaz muda yang bukan hanya fasih al-Quran tetapi memiliki kemahiran akademik arus perdana menjadi model untuk melaksana program mini Ulul Albab di mana-mana MRSM yang terpilih.

Menurutnya, usaha yang dilaksanakan adalah selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah melahirkan tenaga sumber profesional yang berpendidikan agama dan berakhlak mulia sebagaimana tuntutan Islam.

“Dalam konteks mini Ulul Albab pelajar sekurang-kurangnya mampu menghafaz 10 hingga 15 juzuk berbanding MRSM Ulul Albab yang perlu khatam 30 juzuk al-Quran.

“Hasrat melahirkan profesional dalam kalangan hufaz sebenarnya sudah berjaya direalisasikan apabila pendidikan tahfiz yang bermula di peringkat sekolah menengah hingga ke pusat pengajian tinggi. Kita sudah mempunyai jurutera, doktor dan lain-lain dalam kalangan hufaz,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan dan beg sekolah sumbangan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) kepada 33 pelajar yang ditawarkan ke Tingkatan Satu MRSM, di Pejabat UMNO Bahagian berkenaan, di sini, kelmarin.

Awang Adek berkata, Mara turut memberi keutamaan kepada pelajar miskin cemerlang dalam Penilaian Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) termasuk memiliki kecemerlangan Penilaian Asas Fardu Ain (PAFA) serta fasih membaca al-Quran untuk di­pilih mengikut modul pengajian di MRSM Ulul Albab.

“Setakat ini MARA mempu­nyai lima MRSM Ulul Albab iaitu di Kota Putera, Besut, Terengganu; Gemenchih, Negeri Sembilan; Kepala Batas, Kedah; Kuala Sungai Besar, Selangor dan Semporna, Sabah. MRSM ini memang menjadi pilihan ibu bapa.

MRSM Ulul Albab yang keenam akan diwujudkan di MRSM Ketereh, Kota Bharu dalam tempoh yang terdekat,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Petronas bagi mewujudkan sebuah MRSM di Ranau, Sabah di mana syarikat berkenaan mengurus pembiayaan bangunan dan lokaliti manakala Mara akan mengurus tenaga akademik dan modul pembelajar dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Sumber: Utusan Malaysia | Pendidikan | 9 Januari 2018 | Terbitan 10 Januari 2018

Jumaat, 12 Januari 2018

JBPM lakukan penerbangan ihsan bantu dua pesakit Orang Asli

GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan dua penerbangan ihsan bagi membawa dua pesakit Orang Asli yang tinggal di pedalaman jajahan ini ke Hospital Gua Musang (HGM), petang semalam.

Pegawai Perhubungan Awam, Pangkalan Udara Subang, Penolong Penguasa Mohd Farhan Marzuki berkata dua helikopter digunakan bagi tujuan menyelamatkan dua pesakit di Kampung Tandrik di Pos Bihai dan Kampung Sedal, Pos Simpor di sini.

Beliau berkata penerbangan pertama menggunakan helikopter jenis Agusta A109E dilakukan pada 3.15 petang bagi memindahkan Lenagi Asop, 25, yang hampir bersalin di Kampung Tandrik.

"Manakala penerbangan kedua menggunakan helikopter jenis Agusta A139 pula dilakukan pada 4 petang bagi menyelamatkan seorang bayi, Rohan Andok, berusia enam bulan yang demam panas di Kampung Sedal.

"Dua helikopter yang membawa kedua-dua pesakit itu kemudian mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang sebelum dikejarkan ke HGM untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi menyelamat menggunakan helikopter itu merupakan penerbangan pertama JBPM pada tahun ini berikutan kedua-dua kampung yang terputus hubungan jalan darat.

Katanya sepanjang tahun lepas terdapat lebih 20 penerbangan ihsan dilakukan di kawasan pedalaman Gua Musang disebabkan masalah perhubungan jalan darat.

Sumber: Bernama | 12 Januari 2018

Sabtu, 6 Januari 2018

Manifesto BN Kelantan berteraskan Islam selesai kemelut rakyat

PASIR PUTEH: Manifesto yang sedang dirangka Barisan Nasional (BN) Kelantan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah berteraskan Islam bagi menyelesaikan pelbagai kemelut yang sedang dihadapi rakyat di negeri ini.

Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pembangunan yang akan dibawa oleh UMNO bukan berbentuk retorik dan semangat semata-mata bagi mengaburi mata rakyat untuk menang pilihan raya.

"Sebaliknya ia berbentuk holistik dan komprehensif berasaskan kemampuan yang ada," katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra pemimpin bersama nelayan di Tok Bali di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Zawawi Othman dan ADUN Selising, Zulkifli Ali menyertai perarakan lebih 100 bot nelayan sepanjang lebih satu kilometer di Terusan Semerak bermula di muara Tok Bali hingga Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali.

Asyraf Wajdi yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata antara agenda yang akan dimasukkan dalam manifesto itu ialah pembangunan di kawasan Tok Bali yang berpotensi sebagai pusat pertumbuhan baharu ekonomi Kelantan.

Beliau berkata pelbagai projek ekonomi yang akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat akan diwujudkan di kawasan itu menerusi rancangan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Katanya melalui projek tersebut, rakyat Kelantan terutama golongan muda tidak perlu lagi berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan dengan meninggalkan ibu bapa yang sudah tua dan memerlukan penjagaan oleh anak-anak.

Sementara itu, Zawawi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh berkata lebih 1,000 nelayan di Tok Bali terutama nelayan tradisional yang berpendapatan rendah akan turut mendapat manfaat hasil limpahan pembangunan ekonomi itu.

Beliau berkata hasil tangkapan nelayan terbabit boleh dikomersialkan menerusi projek hiliran di bawah Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Sumber: Bernama | 6 Januari 2018

KAFA sedia pinjamkan enam pemain untuk jimat kos

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersedia untuk meminjamkan enam pemainnya kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain terbabit, sebagai langkah mengurangkan kos pembelanjaan persatuan itu musim ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pemain terbabit ialah Mohd Faizul Nazlin Sayuti, Hattaphon Bun Aun, Mohd Nasharizam Abd Rashid, Rozaimi Azwar Mat Zin, Shafiq Abd Rahman dan Mohd Haikal Mohd Nazri.

"Setakat ini, KAFA telah berunding dengan berapa pasukan untuk membolehkan enam pemain terbabit beraksi dalam Liga Malaysia musim ini," katanya kepada pemberita pada majis menandatangani kontrak penyerang import baharu Kelantan, Bruno Lopes dari Brazil, di sini, hari ini.

Menurutnya, skuad 'The Red Warriors' (TRW), sudah melengkapkan senarai penuh 25 pemain bagi menggalas cabaran pasukan negeri itu dalam kempen Liga M musim ini.

Bibi Ramjani berkata anggaran perbelanjaan KAFA setiap bulan ialah RM1 juta bagi pengurusan pasukan Kelantan dan juga pasukan Piala Presiden serta Piala Belia tahun ini.

Beliau percaya dengan kehadiran lima pemain import baharu dan dibantu oleh pemain tempatan, pasukan Kelantan mampu memberikan saingan kepada pasukan lain.

"Musim ini kita meletakkan sasaran pasukan Kelantan berada di kelompok lima teratas pada saingan Liga Super dan melangkah ke peringkat lebih tinggi pada saingan Piala FA dan Piala Malaysia," katanya.

Sumber: Bernama | 6 Januari 2018

Jangan nafi kecemerlangan taraf pendidikan tinggi negara - Idris

BESUT: Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh hari ini menegaskan sesiapa pun sama ada pihak di dalam atau luar negara tidak boleh menafikan bahawa taraf pendidikan tinggi di negara ini telah meningkat dan bertambah baik.

Beliau berkata melalui usaha yang dilakukan, kualiti dan sistem pendidikan tinggi negara mula diiktiraf oleh beberapa negara maju yang pada satu ketika dahulu pernah mendahului Malaysia dalam bidang pendidikan tinggi.

"Prestasi pendidikan universiti negara terbukti baik dan dikagumi banyak negara termasuk Australia apabila lima buah universiti penyelidik mendapat tempat daripada lapan universiti terbaik di Asia pada tahun lepas," katanya kepada media selepas menandatangani plak Rumah Komuniti yang ke-174 di Kampung Tok Has, Jertih hari ini.

Nama Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini mula menjadi buah mulut rakyat di luar negara melalui prestasi pendidikan yang berjaya mereka laksanakan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Sehubungan itu, Idris yang juga Anggota Parlimen Besut meminta rakyat Malaysia supaya turut memberi sokongan kepada universiti di negara ini dengan memberi keutamaan dalam menghantar anak-anak mereka belajar dalam pelbagai bidang yang disediakan.

Katanya, rakyat hendaklah sedar dan memberikan sokongan dengan menghindarkan diri daripada dibelenggu berita-berita palsu atau penafian yang diterbitkan dalam media-media sosial tentang prestasi pusat-pusat pengajian tinggi yang sedang beroperasi di dalam negara.

Berita-berita yang tular dengan mengatakan Malaysia telah 'membayar' untuk mendapatkan kedudukan (ranking) adalah tidak benar kerana penilaian bagi sesebuah universiti itu telah dilakukan oleh badan-badan profesional secara saintifik dan bukan direka-reka atau diambil daripada punca yang tidak sahih.

"Kalau betul untuk mendapatkan ranking, sesebuah universiti terpaksa 'membayar' bermakna universiti Oxford atau Universiti of Cambridge termasuk University of Singapore dan Universiti Hong Kong juga melakukannya?" soal Idris.

Idris seterusnya meminta rakyat supaya dapat mengikuti berita-berita baik dan mengelakkan diri daripada tertipu dengan berita-berita pembohongan yang semakin banyak dalam media sosial yang bertujuan menjatuhkan kerajaan.

Pada majlis itu, Idris yang diiringi isteri Toh Puan Che Kamariah Zakaria telah menandatangani plak penganugerahan Rumah Komuniti ke-147 kepada ibu tunggal Wan Rusliza Wan Sulaiman, 46, yang mempunyai lima orang anak termasuk dua lelaki berumur 8 hingga 23 tahun.

Wan Rusliza yang menyara keluarga dengan menjual pisang goreng mempunyai lapan adik-beradik yang sebelum ini terpaksa menumpang tinggal di rumah pusaka ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

Sumber: Bernama | 6 Januari 2018

Khamis, 4 Januari 2018

Pil kuda RM120,000 dirampas di Kelantan, seorang suspek ditahan

KOTA BHARU: Tindakan seorang lelaki membuang bungkusan dipercayai berisi dadah bagi mengelak daripada ditahan gagal, apabila polis berjaya memberkasnya dan menemui semula bungkusan dadah mengandungi 12,000 biji pil kuda (methamphetamine) yang dianggarkan bernilai RM120,000 di Kampung Tasik Hulu, Gual Sitok, Rantau Panjang semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata dadah itu dijumpai dalam semak di belakang sebuah rumah dipercayai dibuang oleh suspek yang berumur 45 tahun kira-kira pukul 7 malam.

Rampasan dan tangkapan itu hasil daripada usaha risikan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am Batalion Kelapan (PGA8) di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Menurutnya suspek dipercayai membuang bungkusan itu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa yang memantau pergerakannya sebelum cuba melarikan diri namun gagal apabila ditahan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap bungkusan yang dibuang suspek menemui enam bungkusan plastik lutsinar mengandungi pil kuda berkenaan.

Katanya suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Hasanuddin berkata polis juga merampas sejumlah dadah jenis syabu dalam serbuan di Jalan Kampung Tendong, Pasir Mas, pukul 12.30 tengah malam tadi.

Katanya anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan itu ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan dan apabila dihampiri suspek terus melarikan diri sambil mencampakkan sebuah beg kecil ke dalam semak.

"Pemeriksaan terhadap beg itu mendapati kandungannya terdiri sejumlah dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4,200 serta satu kad pengenalan seorang lelaki berusia 54 tahun," katanya.

Polis sedang mengesan lelaki tersebut berdasarkan identiti kad pengenalan itu.

Sumber: Bernama | 4 Januari 2018

Selasa, 2 Januari 2018

Kawasan rendah enam jajahan di Kelantan dijangka dinaiki air esok

KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan menjangkakan enam jajahan sekitar lembangan sungai negeri itu akan dinaiki air mulai pukul 1 pagi esok.

Pengarahnya Kamal Mustapha berkata ia berikutan jumlah hujan melebihi 240 milimeter berlaku sejak dua hari lepas di Gunung Gagau, Gua Musang.

"Ekoran daripada itu air Sungai Kelantan dijangka meningkat dan diramalkan kebanyakan kawasan rendah sepanjang sungai Kelantan berisiko dinaiki air," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata enam jajahan itu merangkumi Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat.

Sehubungan itu, katanya, semua penduduk di kawasan berkenaan diminta mengambil langkah berwaspada dan sentiasa berhubung dengan pusat kawalan operasi banjir berhampiran.

Sumber: Bernama | 2 Januari 2018

Isnin, 1 Januari 2018

Pembangunan Kelantan: Status tujuh projek Janji Ditepati 2013 di Kelantan setakat 31 Dis. 2017

KOTA BHARU: Kunjungan  dan lawatan kerja YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak ke Kota Bharu, Kelantan pada 20 Januari 2013 telah mengumumkan tujuh projek besar yang bakal dilaksanakan bagi memajukan negeri Kelantan. 

Tujuh projek besar tersebut adalah seperti berikut:-
  1. Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (Lebuh Raya KBKK)
  2. Stadium baharu 
  3. Masjid negeri yang baharu dan terbesar di negeri Kelantan 
  4. Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan permulaan 3,000 unit 
  5. Pembinaan kampus baharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Bharu 
  6. Mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu
  7. Projek menyelesaikan masalah bekalan air 

Projek yang telah dan sedang dilaksanakan 

Daripada tujuh projek yang disenaraikan di atas, hanya empat projek yang telah dilaksanakan (yang diserlahkan), iaitu (1) pembinaan Lebuh Raya KBKK; (4) pelaksanaan enam projek perumahan kos rendah di jajahan-jajahan Kota Bharu, Gua Musang, Jeli, Tanah Merah dan Machang; (4) pembukaan kampus baharu UiTM Kota Bharu di Lembah Sireh; dan (7) perjanjian penstrukturan semula bekalan air Kelantan yang telah dimuktamadkan dengan Kerajaan Negeri Kelantan pada 14 September 2016. 

Jajaran Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (Lebuh Raya KBKK) yang menjadi sebahagian daripada Lebuh Raya Utama Tengah (CSR).
Projek Lebuh Raya KBKK melibatkan Pakej 1B dan Pakej 2A dari Pasir Hor ke Kadok sepanjang masing-masing telah dimulakan pada April 2014 dan April 2015. Pakej 1B dan 2A ini masing-masing dijangka dapat disiapkan pada Februari dan November ini, manakala Pakej 2B dari Kadok ke Kok Lanas sepanjang 6.20 km dengan kos RM229.79 juta dijangka dapat dimulakan pada tahun ini. Peruntukan bagi melaksanakan pakej-pakej lain dijangka dimasukkan dalam Belanjawan Negara 2019 dan 2020.

Perkembangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu pada 3 Julai 2017. Foto ihsan: Arte Axis Design Group
Setakat 31 Julai 2017, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM554.5 juta bagi melaksanakan enam projek perumahan kos rendah di jajahan-jajahan Kota Bharu, Gua Musang, Jeli, Tanah Merah dan Machang. Kerajaan Persekutuan juga turut meluluskan dua lagi projek pembinaan rumah kos rendah iaitu di Ketereh (Kota Bharu Selatan) dan Pasir Mas dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM87 juta. Projek PPR Kota Bharu misalnya melibatkan kos RM188.6 juta akan memberi manfaat kepada 1,000 keluarga di bandar raya ini dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih bangunan kampus sebuah kolej swasta di Lembah Sireh, Kota Bharu untuk dijadikan kampus baharu UiTM Kota Bharu. Perasmian kampus baharu ini telah disempurnakan YB Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Pengajian Tinggi pada 29 Oktober tahun lepas. 

Universiti Teknologi Mara Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu di Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan. 
Penstrukturan semula bekalan air di Kelantan pula telah ditandatangani Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan pada 14 September 2016 dijangka membuahkan hasil selepas tiga tahun. Insya-Allah menjelang 2020, rakyat Kelantan bakal menikmati kemudahan air bersih yang jauh lebih baik dan melibatkan lebih banyak kawasan yang akan mendapat manfaat daripada perjanjian penstrukturan semula bekalan air ini. 


Sistem Pengangkutan Rapid Kota Bharu 

Kerajaan Persekutuan menerusi Prasarana Malaysia Berhad diminta menyegerakan usaha untuk mewujudkan sistam pengangkutan awam yang cekap dan moden di ibu negeri Kelantan, Kota Bharu. Jika dilaksanakan kelak, sistem bas Rapid Kota Bharu (RapidKB) mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar bandar raya Kota Bharu yang semakin pesat membangun. 

Setakat ini, sistem pengangkutan Rapid telah diperkenalkan di empat buah kawasan, iaitu Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan (RapidKL); Pulau Pinang (RapidPenang); Kuantan, Pahang (RapidKuantan); dan Taiping, Perak (RapidKamunting). 

Projek-projek lain

Setakat ini, dua lagi projek yang dijanjikan iaitu pembinaan stadium baharu dan masjid terbesar di negeri Kelantan masih belum bermula. Pada pendapat penulis, dua projek ini bukanlah keutamaan bagi rakyat Kelantan pada ketika ini. Hal ini kerana Stadium Sultan Muhammad IV di pusat bandar raya Kota Bharu masih boleh digunakan dan stadium ini hanya perlukan pengubahsuaian dan projek naik taraf untuk keselesaan pengguna.

Namun begitu, Kelantan sangat memerlukan sebuah stadium tertutup berkapasiti untuk pelbagai acara sukan tertutup sama seperti Stadium Malawati di Shah Alam, Selangor atau Arena Axiata (dahulunya dikenali sebagai Stadium Putra) di Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam masa yang sama, bilangan masjid sedia ada di Kelantan sudah mencukupi untuk menampung keperluaan penduduk setempat termasuklah di ibu negeri Kelantan.

Sumber: Gerbang Kota Bharu | www.gerbangkotabharu.blogspot.com

Pendaftaran dalam talian program latihan MRL kini dibuka

KUALA LUMPUR: Pendaftaran dalam talian program latihan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) kini dibuka sehingga 3 Januari 2018.

MRL dalam satu kenyataan hari ini berkata program latihan selama tiga bulan, yang dikenali sebagai Program Latihan Kemahiran Industri East Coast Rail Link (ECRL) atau ringkasnya, PLKI-ECRL, bertujuan untuk mewujudkan kemahiran teknikal tempatan dalam industri pembinaan rel kereta api di samping melengkapkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan.

“Kursus ini memberi tumpuan kepada bidang reka bentuk dan pembinaan rel kereta api dan selaras dengan pembentukan Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan yang akan mengawasi penyelarasan kualiti dan akreditasi pendidikan industri rel kebangsaan,” kara syarikat itu.

Program latihan tersebut adalah hasil kerjasama antara MRL, China Communications Construction Company (CCCC) dan Universiti Malaysia Pahang yang akan melatih sehingga 3,600 pelajar yang berminat dalam industri rel dari 2017-2022.

MRL berkata pengambilan pertama 49 pelatih yang terdiri daripada 21 orang pemegang diploma dan 29 pemegang ijazah Sarjana Muda pada bulan September, baru sahaja tamat pengajian dan akan memulakan kerja pada Januari 2018.

“Sementara itu, 148 pelatih telah mendaftar sejak Disember 2017 yang terdiri daripada pemegang Sijil Kemahiran Malaysia yang sedang mengikuti latihan peningkatan kemahiran ‘concretor’ (pengkonkrit), ‘formworker’, ‘bar bender’, ‘hydraulic excavator’ (pengorek hidrolik), ‘wheel loader’ serta ‘tester’ (penguji).

Pelajar-pelajar ini sedang giat menjalani latihan di Institut Kemahiran Tinggi Negara (IKTBN), Bachok, Kelantan dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Kuala Berang, Terengganu, di bawah program PLKI-ECRL,” kata syarikat itu.

Sumber: Bernama | 1 Januari 2018