Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 19 Januari 2016

11 jeti baharu siap dibina untuk kemudahan nelayan di Pengkalan Kubor

TUMPAT: Sebanyak 11 jeti baharu bernilai RM2.5 juta di sepanjang Sungai Geting di Pengkalan Kubor di sini, akan mempercepatkan aktiviti pendaratan ikan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Infrastruktur Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Wan Mohd Adnan Wan Ibrahim berkata 10 jeti pendaratan hasil laut dan tempat bot nelayan berlabuh dan sebuah untuk pendaratan hasil laut akan menjimatkan masa nelayan untuk mendaratkan hasil tangkapan mereka.

"Nelayan tidak perlu lagi menunggu masa lama untuk mendaratkan hasil tangkapan mereka dan tidak perlu lagi bergilir-gilir untuk menambat (berlabuh) bot mereka," katanya kepada pemberita selepas menerima borang serahan milik jeti berkenaan daripada JPS Kelantan yang membina kesemua jeti itu, di sini hari ini.

Wan Mohd Adnan berkata LKIM akan memberi penerangan kepada nelayan mengenai penggunaan jeti berkenaan supaya mereka dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Beliau berkata jeti berkenaan sesuai untuk kegunaan nelayan tradisional dan nelayan laut dalam.

Sementara itu, seorang nelayan Mamat Jusoh, 72, berkata kira-kira 200 nelayan di kawasan berkenaan akan dapat manfaat daripada pembinaan jeti tersebut.

"Sebelum ini kita menggunakan jeti yang kecil yang mampu memuatkan tiga hingga empat bot sahaja, dan kami perlu menunggu giliran hampir dua atau tiga jam untuk membawa naik hasil tangkapan," katanya.

Beliau berkata selain nelayan tradisional, nelayan laut dalam juga turut menggunakan jeti berkenaan.

Sumber: Bernama | 19 Jan. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan