Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 3 Mac 2018

Mustapa Sasar 10,000 Pengunjung Hadir Program Hasanah Bersama Rakyat

TANAH MERAH: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menyasarkan kira-kira 10,000 pengunjung akan menghadiri program Hasanah Bersama Rakyat anjuran Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, pada 10 Mac.

Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli berkata program satu hari bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang itu akan melibatkan 20 badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC).

"Program berkenaan merupakan platform terbaik bagi Khazanah untuk memberi pendedahan kepada rakyat negeri ini khususnya masyarakat di Jeli untuk mengetahui sumbangan besar agensi berkenaan kepada rakyat dan negara.

"Selain itu, ia juga bertujuan mendekatkan masyarakat dengan pemimpin setempat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kepimpinan Bersama Rakyat Jeli di Dataran Bukit Bunga di sini, hari ini.

Mustapa berkata Kelantan merupakan negeri ketiga program tersebut dianjurkan selepas Sarawak dan Johor baru-baru ini.

Beliau berkata pengisian program tersebut termasuk tawaran peluang pekerjaan, aktiviti sukan dan riadah, kesenian, kesihatan dan lain-lain.

Lapan buah bas akan disediakan untuk kemudahan orang ramai menghadiri program itu.

Sumber: Bernama | Berita Timur | 2 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan