Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 1 November 2013

Asrulfaizal tak sangka lagu Bo Lawe Staro Demo popular

KOTA BHARU: Penulis lagu dikir barat, Bo Lawe Staro Demo, Asrulfaizal Kamaruzaman (gambar), 34, tidak menyangka sama sekali album 'Dikir Warriors' mengenai pasukan bola sepak Kelantan mendapat sambutan hangat di pasaran. 

Bermula dengan sekadar ingin mencuba dengan memuat naik di laman Youtube, Asrulfaizal sama sekali tidak menyangka lagu yang dihasilkannya mendapat maklum balas positif daripada penyokong setia The Red Warriors.

Tidak cukup dengan itu, lagu berkenaan yang dimuatkan dalam album pertama Dikir Warriors terjual lebih 10,000 unit dan sering menjadi pilihan untuk diputarkan di corong-corong radio tempatan.

Asrulfaizal berkata, pada mulanya ramai beranggapan lagu itu bertujuan memperlekehkan pasukan lawan. Sedangkan, katanya, lagu berkenaan ditulis khusus untuk membakar semangat barisan pemain setiap kali beraksi di atas padang, begitu juga dengan penyokong.

"Jika pasukan lawan hebat, kita pula tidak kurangnya dan mampu mempamerkan aksi terbaik. Kita mahu barisan pemain sentiasa menganggap mereka adalah pasukan yang hebat tanpa memandang rendah kemampuan lawan.

"Keadaan ini sama dengan penyokong, jika penyokong lawan hebat, kita juga sama iaitu dengan memberikan sorakan bergemuruh kepada pasukan, secara tidak langsung mampu menaikan semangat pemain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Asrulfaizal memberitahu, lagu berkenaan mula dimuat naik di laman Youtube seminggu menjelang aksi final Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan pada 2010.

"Saya mengambil masa selama dua bulan untuk menulis dan menyusun lirik berkenaan agar mesej yang ingin disampaikan dapat diterima dengan jelas oleh pendengar.

"Lirik ini saya susun dengan menggabungkan semua elemen bagi menggambarkan jati diri sebagai anak Kelantan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Asrulfaizal berkata, pihaknya kini sedang menyusun lagu untuk dimuatkan dalam album kedua yang akan mula menjalani rakaman hujung tahun ini.

Tambahnya, album berkenaan masih mengekalkan penyanyi sama antaranya Isey Salok Madu, Muslih Sang Saka dan Abe Pozi.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 31 Okt. 2013

Perluas rangkaian agensi pelancongan Kelantan

KOTA BHARU: Agensi pelancongan di Kelantan perlu mempunyai rangkaian yang luas bagi mempromosikan produk pelancongan yang ada di negeri ini sekiranya mahu mencapai tahap kemasukan pelancong luar negara yang tinggi seperti di Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nazary Ahmad berkata, perkara tersebut sebenarnya telah menjadi satu keperluan mendesak kepada industri pelancongan Kelantan terutama dengan ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2014, tahun hadapan.

Katanya, rangkaian tersebut sudah lama diwujudkan di Melaka yang menjadi faktor kepesatan industri pelancongannya sehingga mampu menyumbang pendapatan sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun.

"Selain itu, rangkaian itu juga perlu diperluaskan dalam kalangan agensi pelancongan seluruh negara bagi meningkatkan kedatangan pelancong di negeri masing-masing.

"Tanpa rangkaian berkenaan, sukar bagi agensi pelancong untuk membantu mempromosi produk tempatan dan keistimewaan yang ada di setiap negeri itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena Program Kembara Pantai Timur di Restoran New Horizon di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Kelantan, Mohd. Aidil Afizie Daud.

Sempena program itu juga, rombongan berkenaan turut mengadakan lawatan ke Terengganu dan Pahang dalam memperkenalkan produk pelancongan Melaka.

Tambahnya, sempena program Kembara Melaka Taming Sari dan Pelancongan Malaysia Melaka, turut diperkenalkan produk pelancongan Melaka, antaranya River Cruise dan Taman Burung di negeri tersebut.

Selain itu, katanya, Melaka turut memperkenalkan produk pelancong di negeri mereka dengan mengedarkan risalah di sekitar bandar Kota Bharu.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 31 Okt. 2013

SPAD tahan enam bas ekspres di Gua Musang

Ismail memeriksa sebuah bas ekspres dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.
GUA MUSANG: Suruhanjaya Pengangkutan Awan Darat (SPAD) menahan enam bas ekspres dalam sekatan jalan raya berhampiran Kem Semor Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini, lewat malam kelmarin.

Kesemua bas ekspres berkenaan ditahan kerana didapati melanggar syarat permit yang dikeluarkan untuk perjalanan ke Kuala Lumpur atau sebaliknya.

Penolong Pengurus Penguat kuasa SPAD Wilayah Timur, Ismail Munajad menegaskan, SPAD tidak akan bertolak ansur dalam mengambil tindakan undang-undang jika ada bas ekspres melanggar syarat permit.

Menurutnya, antara kesalahan serius yang dikesan adalah syarikat bas ekspres terbabit adalah melanggar permit perjalanan dan tiket bas bertulisan tangan.

"Antara kesalahan serius dilakukan adalah bas ekspres sepatutnya melalui jalan pantai Terengganu-Kuantan ke Kuala Lumpur, bukan menggunakan laluan Jalan Kota Bharu-Gua musang untuk ke Kuala Lumpur.

"Kita berjaya kesan jualan tiket kepada penumpang tidak dicetak menggunakan sistem komputer sebaliknya bertulisan tangan dengan tujuan mengelirukan pihak berkuasa," katanya ketika ditemui selepas operasi sekatan jalan raya tamat.

Ismail berkata, tindakan bas ekspres itu boleh mengundang risiko kepada penumpang yang belum pasti boleh membuat tuntutan insurans sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penumpang lebih berhati-hati menaiki bas ekspres yang tidak mengikut syarat permit kerana mereka akan menanggung sendiri segala risiko.

"Kita tetap ambil tindakan tegas ke atas syarikat bas ekspres yang melanggar syarat permit dan apabila laporan siasatan selesai, ia akan dirujuk kepada mahkamah.

"SPAD telah memberi peringatan berulang kali kepada semua syarikat bas ekspres sebelum ini, namun masih ada pemilik yang berdegil kerana mengejar keuntungan," katanya.

Tambahnya, operasi yang membabitkan 16 anggota penguat kuasa SPAD turut mengeluarkan saman ke atas sembilan lori kerana melanggar syarat permit dan tindakan sama akan diambil selepas ini.

Katanya, operasi ke atas pengangkutan komersial seperti bas dan lori akan kerap diadakan di semua laluan pantai timur bagi memastikan mereka mengikut syarat permit.

"Banyak aduan telah kita terima daripada orang awam berhubung perkara berkenaan dan kita akan siasat melalui sekatan jalan raya," tegasnya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 1 Nov. 2013

Bawa pulang Piala Malaysia ke Kelantan

Mohd Amar (tiga kanan) ketika menyambung gentian optik ketika gimik perasmian Festival Industri Kreatif Antarabangsa, semalam.
KOTA BHARU: Sempena perlawanan final Piala Malaysia Ahad ini, Kerajaan Negeri Kelantan meletakkan harapan tinggi supaya The Red Warriors (TRW) dapat membawa balik kejuaraan kali ketiga untuk dijulang bersama rakyat negeri ini.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, pemain TRW perlu beraksi dengan penuh semangat di Stadium Shah Alam nanti untuk memastikan kejuaraan memihak kepada Kelantan.

“Kerajaan negeri menyokong pasukan TRW beraksi pada final nanti dan mengharapkan pemain TRW dapat bermain dengan sedaya upaya untuk menang bagi mengharumkan nama Kelantan,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu beliau merasmikan Festival Antarabangsa Industri Kreatif 2013 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Datuk Anuar Tan Abdullah, Pengarah Festival, Zulkifli Mamat dan  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bioteknologi  dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Mohd Amar turut menasihatkan kepada peminat fanatik pasukan penyandang juara Piala Malaysia supaya bersikap profesional terhadap sebarang keputusan pada perlawanan yang berprestij itu nanti.

“Pastikan tidak ada pergaduhan. Kalau kita kalah semua perlu terima hakikat tersebut dan jangan terlalu emosi,” katanya.

Selain itu, Mohd Amar juga mahukan dalam keghairahan untuk menyaksikan TRW beraksi di pentas akhir menentang Skuad Tok Gajah para penyokong diingatkan tidak mengabaikan solat.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 1 Nov. 2013 

Kali pertama MAS terbang ke Darwin

KUALA LUMPUR: Penerbangan komersial sulung Malaysia Airlines (MAS)(MH 253) ke Darwin akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.35 malam ini dan dijadualkan tiba pada pukul 5.10 pagi esok.

Penerbangan pulang (MH144) berlepas dari Darwin pada pukul 6 pagi (waktu tempatan) dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada pukul 9.20 pagi. 

MAS berkata laluan baharu Kuala Lumpur-Darwin-Kuala Lumpur itu akan beroperasi dengan pesawat baharu B737-800 160 tempat duduk, dengan konfigurasi 16 tempat duduk kelas perniagaan dan 144 tempat duduk kelas ekonomi. 

Penerbangan itu akan menyediakan pengalaman perjalanan terbaik dengan sistem hiburan dalam pesawat di setiap tempat duduk, kata syarikat penerbangan nasional itu dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, syarikat penerbangan itu melihat potensi besar di Darwin dan Australia secara keseluruhannya. 

"Kami telah pun menyediakan perkhidmatan penerbangan ke lima bandar raya di Australia -- Sydney, Melbourne, Brisbane, Adelaide dan Perth -- dan baru-baru ini menambah kekerapan ke Melbourne dan Perth. 

"Tambahan Darwin ke dalam rangkaian kami menunjukkan keyakinan kami terhadap pasaran Australia bagi kami. Kami gembira dapat menghubungkan ke Darwin di bahagian utara," katanya dalam satu kenyataan.

Sumber: BERNAMA | 1 Nov. 2013

Kelantan bantu ceburi perniagaan ikan singgang

Mohd Amar Nik Abdullah
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan memberi bantuan sebanyak RM5,000 kepada peniaga di negeri ini yang mahu menceburi bidang perniagaan makanan dengan menu utamanya adalah 'ikan singgang'.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ikan singgang merupakan juadah kegemaran rakyat Kelantan, justeru kerajaan negeri melihatnya sebagai antara langkah bagi membantu usahawan dan memperkenalkan makanan tersebut kepada pelancong domestik dan asing.

"Saya terkejut mendengar peniaga makanan yang menjadikan menu utama ikan singgang boleh dapat sehingga RM20,000 sehari di tiga tempat berlainan iaitu Kota Bharu, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

"Kalau ada orang nak buka kedai makan yang meletakkan ikan singgang sebagai menu utama, kerajaan (negeri) akan bagi bantuan sebanyak RM5,000 sebagai dorongan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Antarabangsa Industri Kreatif Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini hari ini.

Mohd Amar berkata juadah ikan singgang mempunyai khasiat tersendiri kerana ia dimasak secara ringkas dan tidak perlu ditumis, sebaliknya direbus dengan menggunakan tumbuhan herba seperti lengkuas dan asam keping.

"Ada seorang doktor pernah mencadangkan untuk mengelakkan penyakit jantung, kita perlu makan ikan singgang setiap hari kerana tak minyak, sekali gus tiada kolesterol.

"Lengkuas pula terbukti boleh membersihkan darah dan membuang kolesterol dan lemak dalam darah," katanya.

Mohd Amar berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Persatuan Anak-Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) sebagai salah satu usaha mempromosi menu itu di luar Kelantan.

Sumber: BERNAMA | 31 Okt. 2013

LKTN kenal pasti 140 hektar lokasi baharu di Kelantan

BACHOK: Lembaga Kenaf dan Tembakau (LKTN) Kelantan mengenal pasti kawasan seluas 140 hektar meliputi jajahan Pasir Puteh, Bachok dan Pasir Mas untuk ditanam dengan kenaf pada akhir tahun ini.
    
Pengarahnya, Mohd Fakri Mohamad Noor berkata, projek itu membabitkan 70 petani yang sebelum ini menanam tembakau.
    
"LKTN memperuntukkan RM334,000 untuk bantuan termasuk membajak, benih, baja dan racun kepada petani terbabit," katanya kepada pemberita dalam majlis kesyukuran penanam kenaf di Kampung Gelong Badak di sini, hari ini.     
 
Mohd Fakri berkata projek itu dijangka memberi hasil sekitar RM500,000 apabila tanaman terbabit dapat dituai dalam tempoh tiga bulan selepas ditanam.
    
LKTN akan membeli kesemua hasil pada harga RM500 satu tan pokok kering, untuk diproses di empat pusat pengumpulan dan pemprosesan di Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tumpat, katanya. 
 
Sumber: BERNAMA | 31 Okt. 2013