Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 1 November 2013

Kelantan bantu ceburi perniagaan ikan singgang

Mohd Amar Nik Abdullah
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan memberi bantuan sebanyak RM5,000 kepada peniaga di negeri ini yang mahu menceburi bidang perniagaan makanan dengan menu utamanya adalah 'ikan singgang'.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ikan singgang merupakan juadah kegemaran rakyat Kelantan, justeru kerajaan negeri melihatnya sebagai antara langkah bagi membantu usahawan dan memperkenalkan makanan tersebut kepada pelancong domestik dan asing.

"Saya terkejut mendengar peniaga makanan yang menjadikan menu utama ikan singgang boleh dapat sehingga RM20,000 sehari di tiga tempat berlainan iaitu Kota Bharu, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

"Kalau ada orang nak buka kedai makan yang meletakkan ikan singgang sebagai menu utama, kerajaan (negeri) akan bagi bantuan sebanyak RM5,000 sebagai dorongan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Antarabangsa Industri Kreatif Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini hari ini.

Mohd Amar berkata juadah ikan singgang mempunyai khasiat tersendiri kerana ia dimasak secara ringkas dan tidak perlu ditumis, sebaliknya direbus dengan menggunakan tumbuhan herba seperti lengkuas dan asam keping.

"Ada seorang doktor pernah mencadangkan untuk mengelakkan penyakit jantung, kita perlu makan ikan singgang setiap hari kerana tak minyak, sekali gus tiada kolesterol.

"Lengkuas pula terbukti boleh membersihkan darah dan membuang kolesterol dan lemak dalam darah," katanya.

Mohd Amar berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Persatuan Anak-Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) sebagai salah satu usaha mempromosi menu itu di luar Kelantan.

Sumber: BERNAMA | 31 Okt. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan