Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 1 November 2013

Perluas rangkaian agensi pelancongan Kelantan

KOTA BHARU: Agensi pelancongan di Kelantan perlu mempunyai rangkaian yang luas bagi mempromosikan produk pelancongan yang ada di negeri ini sekiranya mahu mencapai tahap kemasukan pelancong luar negara yang tinggi seperti di Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nazary Ahmad berkata, perkara tersebut sebenarnya telah menjadi satu keperluan mendesak kepada industri pelancongan Kelantan terutama dengan ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2014, tahun hadapan.

Katanya, rangkaian tersebut sudah lama diwujudkan di Melaka yang menjadi faktor kepesatan industri pelancongannya sehingga mampu menyumbang pendapatan sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun.

"Selain itu, rangkaian itu juga perlu diperluaskan dalam kalangan agensi pelancongan seluruh negara bagi meningkatkan kedatangan pelancong di negeri masing-masing.

"Tanpa rangkaian berkenaan, sukar bagi agensi pelancong untuk membantu mempromosi produk tempatan dan keistimewaan yang ada di setiap negeri itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena Program Kembara Pantai Timur di Restoran New Horizon di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Kelantan, Mohd. Aidil Afizie Daud.

Sempena program itu juga, rombongan berkenaan turut mengadakan lawatan ke Terengganu dan Pahang dalam memperkenalkan produk pelancongan Melaka.

Tambahnya, sempena program Kembara Melaka Taming Sari dan Pelancongan Malaysia Melaka, turut diperkenalkan produk pelancongan Melaka, antaranya River Cruise dan Taman Burung di negeri tersebut.

Selain itu, katanya, Melaka turut memperkenalkan produk pelancong di negeri mereka dengan mengedarkan risalah di sekitar bandar Kota Bharu.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 31 Okt. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan