Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 1 April 2014

Penduduk gesa tutup pusat pelupusan sampah Batu 5, Renok

Kawasan hutan berhampiran pernah terbakar akibat pembakaran terbuka yang tidak terkawal di kawasan pusat pelupusan sampah di Batu 5, Renok, Gua Musang, Kelantan.
GUA MUSANG: Penduduk yang tinggal berhampiran pusat pelupusan sampah di Batu 5, Renok dekat sini menderita kerana terpaksa menghidu bau busuk sejak 10 tahun lalu dari kawasan tersebut.

Pusat pelupusan sampah itu juga menyebabkan pencemaran air yang teruk di anak sungai berhampiran. Menurut penduduk, setiap hari sampah yang diangkut dari bandar Gua Musang dilonggokkan di kawasan tersebut sehingga menyebabkan penduduk tidak selesa dengan bau sampah.

Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati sampah yang terbakar menghasilkan kepulan asap tebal dan menganggu jarak penglihatan pengguna jalan raya Gua Musang-Kuala Krai.

Seorang penduduk, Zamri Zakaria, 24, berkata, pada waktu pagi jarak penglihatan berkurangan kerana diselubungi asap dari tapak pelupusan.

"Kami bimbang jika berlaku kejadian yang tidak diingini kerana jalan tersebut merupakan laluan utama menuju ke Kota Bharu.

"Sampah ini dipercayai dibakar oleh segelintir individu yang mencari barang terpakai atau kitar semula seperti tin, wayar dan besi," katanya di sini hari ini.

Seorang peniaga kedai makan, Nisah Mohd. Noor, 52, berkata, pelanggan yang singgah di kedainya juga meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan asap dan bau busuk sampah itu.

"Pelanggan yang singgah untuk menjamu selera juga sering merungut kerana kerap menghidu bau sampah. Sedikit sebanyak jualan terjejas dan saya sering kali mengalami kerugian," katanya.

Tambah Nisah, api daripada sampah yang dibakar juga pernah merebak ke kawasan hutan berhampiran kerana tiada pengawasan daripada pihak yang bertanggungjawab.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Tajuddin, 53, berharap pihak berwajib dapat mencari penyelesaian dengan mencari tapak pelupusan sampah baharu yang bersesuaian.

"Kalau boleh kawasan pelupusan sampah ini dipindah ke tempat yang lebih sesuai kerana di sini berhampiran dengan jalan sekali gus membuatkan penduduk tidak selesa.

"Kita minta supaya pihak berkuasa bertindak secepat mungkin kerana masalah ini berlarutan sejak 10 tahun lalu dan tidak diberi sebarang perhatian langsung," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 31 Mac 2014 | Terbitan 1 April 2014

Isnin, 31 Mac 2014

Fama perluas ladang kontrak ke Kelantan

KOTA BHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memperluas kawasan ladang kontrak di Kelantan kepada 200 hektar tahun ini berbanding 120 hektar tahun lepas.

Pengarah Fama Wilayah Timur 1, Mohd Ariffin Awang berkata usaha itu dilakukan setelah melihat sambutan baik para petani untuk menyertai program berkenaan.

Beliau berkata sebanyak 27 peserta telah menandatangani perjanjian untuk menyertai projek ladang kontrak yang melibatkan kawasan penanaman seluas 58 hektar dan dianggarkan akan menghasilkan 400 tan metrik tembikai wangi mulai April ini.

Majlis menandatangani perjanjian jual-beli hasil ladang kontrak dilakukan di sini, Isnin. Seorang peserta Mohd Noor Mansur, 54, berkata beliau berpuas hati dengan perjanjian itu memandangkan Fama telah banyak membantu memasarkan produk tani yang dihasilkannya.

"Saya tak perlu lagi nak fikir ke mana harus dipasarkan buah-buahan ini sebab Fama akan beli 100 peratus hasilnya," katanya.

Mengenai Pesta Orkid dan Flora yang berlangsung selama 10 hari bermula 20 Mac lalu di Pusat Transformasi Luar Bandar Kelantan di Tunjong di sini, Mohd Ariffin berkata nilai jualan yang dicapai adalah sebanyak RM5.2 juta dengan jumlah pengunjung kira-kira 300,000 orang.

"Kita berjaya melepasi sasaran dan kita akan perbanyakkan lagi program seperti ini yang boleh memberi keuntungan kepada masyarakat negeri ini," katanya.

Sumber: mStar Online | Bisnes | 31 Mac 2014

Tragedi MH370: MAS, MAHB kenakan pemeriksaan keselamatan penerbangan lebih ketat

Pramugari MAS membuat pemeriksaan di bahagian kabin sebelum pesawat dinaiki penumpang.
KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaksanakan pemeriksaan keselamatan penerbangan lebih ketat di udara dan di darat berikutan tragedi pesawat MH370.
 
Menurut satu pekeliling MAS, juruterbang dan pembantu juruterbang kini tidak dibenarkan untuk ditinggalkan bersendirian di dalam kokpit, walaupun salah seorang daripada mereka pergi ke tandas.

Di bawah peraturan baharu itu, seorang anak kapal kabin perlu berada di dalam kokpit sehingga juruterbang atau pembantu juruterbang kembali semula dari tandas.

Apabila makanan dibawa ke kokpit, krew penerbangan dikehendaki berjaga di pintu untuk memastikan tiada penumpang memasuki kawasan larangan itu.

Ketua Jurutebang MAS bagi keselamatan penerbangan dan faktor manusia, Datuk Kapten Missman Leham mengeluarkan pekeliling tersebut kepada semua krew penerbangan.

Sementara itu, MAHB mewajibkan mereka yang terlibat dalam penerbangan antarabangsa untuk melalui dua pengesan logam dan menjalani pemeriksaan badan sebelum mereka dapat memasuki pesawat.

Para pelancong juga kini perlu menanggalkan kasut, tali pinggang, jaket dan meletakkan sebarang peranti elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba untuk pengimpasan secara berasingan. Air minuman yang dibotolkan tidak dibenarkan dibawa ke dalam pesawat.

Amerika Syarikat, Britain dan Australia meminta supaya pemeriksaan keselamatan ke atas semua penumpang yang terbang ke negara-negara itu dipertingkatkan.

MAHB turut melaksanakan pemeriksaan tersebut untuk penerbangan antarabangsa lain dan mengguna pakai senarai barangan larangan, yang sama digunakan oleh Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat.

Peraturan itu berkuat kuasa pada minggu 8 Mac, hari di mana pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal.

Jurucakap MAS mengesahkan bahawa syarikat penerbangan itu mempertingkatkan keselamatan dan menyediakan prosedur pemantauan di dalam semua pesawat.

"Bagaimanapun, untuk tujuan keselamatan kami tidak dapat membincangkan sebarang prosedur ini secara terbuka.

"Pemeriksaan keselamatan adalah mandat oleh pihak berkuasa keselamatan penerbangan dan ia dijalankan oleh mereka," kata jurucakap itu.

Seorang juruterbang MAS memberitahu The Star bahawa terdapat beberapa keselamatan dan prosedur keselamatan untuk anak-anak kapal dan kokpit pesawat.

Beliau berkata, terdapat satu peraturan di mana juruterbang dan pembantu juruterbang akan diberikan set hidangan makanan berbeza, yang bertujuan menggelakkan sebarang kemungkinan kedua-dua mengalami keracunan makanan pada masa yang sama.

"Langkah lain apabila anak kapal perlu membuat semakan terhadap semua bahagian di dalam kokpit, kabin , kawasan rehat anak-anak kapal, dapur dan tandas untuk mengesan sebarang objek asing sebelum pesawat dinaiki penumpang.

"Pramugara dan pramugari juga mesti memantau pelancong yang berkelakuan mencurigakan atau penumpang yang mengambil bagasi masuk ke dalam tandas," kata juruterbang itu yang enggan dikenali.

MAHB mengingatkan semua pelancong yang berlepas dari KLIA untuk penerbangan destinasi antarabangsa bahawa mereka perlu membuat pemeriksaan di dalam tempoh tiga jam yang ditetapkan.

"Ini adalah supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk pemeriksaan imigresen dan keselamatan. Pemeriksaan ketat adalah untuk keselamatan pesawat, penumpang dan anak kapal, dan semua orang perlu memberi kerjasama sepenuhnya," kata jurucakap itu.

Sumber: mStar Online | 31 Mac 2014

Kubu Kebal British terbiar

Pemandangan dari luar Kubu Kebal British di Kuala Gel
JIKA beberapa kubu kebal tinggalan penjajah selepas Perang Dunia Kedua di daerah lain dijaga rapi, namun berbeza kubu kebal di daerah Bachok yang terbiar dipenuhi semak samun dan sebahagiannya dijadikan tempat longgokan sampah serta sarang maksiat dan penagihan dadah.

Tujuh tahun lalu iaitu 2007, kubu berdekatan Simpang Tiga, Pengkalan Chepa hanya menjadi lokasi pembuangan sampah oleh peniaga setempat, sehinggalah kemunculan Sinar Harian yang mencungkil khazanah terbiar itu, barulah ia dipulihara semula sebagai tapak warisan sejarah.

Dianggarkan, terdapat 25 kubu kebal dari Kota Bharu hingga ke Bachok dan sebahagiannya sudah semakin tenggelam ditelan pasir di pesisir pantai akibat hakisan  setiap tahun menjelang musim tengkujuh.

Dalam kalangan masyarakat setempat, mereka lebih mengenali kubu kebal itu sebagai kubu Jepun, sedangkan hakikatnya ia adalah binaan British, dibina dari pesisir pantai Kuala Pak Amat hingga ke Bachok.

Terputus di situ, kubu yang sama dikatakan dikesan di Besut, Terengganu. Kubu tersebut dibina dari konkrit dan pasir sungai, diikat dengan kerawat besi sebagai sebuah binaan oktagon untuk memuatkan tentera upahan British yang terdiri daripada askar Punjab atau Gurkha.

Setiap sisinya mempunyai lubang untuk memerhati dan menembak musuh yang datang dari arah laut.

Tinggalan hanya separuh daripada binaan asal

Seorang pesara tentera, Mejar (B) Syed Abdul Rahim Syed Muhammad, 63, berkata, kubu itu sebenarnya mempunyai ketinggian yang lebih daripada yang dapat dilihat sekarang kerana apa yang tinggal hanya separuh daripada binaan asal.

“Kubu ini  lebih tinggi daripada yang tinggal sekarang untuk membolehkan askar Gurkha mengesan kehadiran askar Jepun dari laut yang mara 8 Disember 1941.

"Dipercayai kubu dibina lebih awal dalam masa cukup singkat sebagai pertahanan mengekang kemaraan tentera Jepun," katanya.

Menurutnya, dipercayai askar yang ditempatkan dalam kubu tersebut dirantai antara satu sama lain untuk mengelakkan mereka melarikan diri dan bertahan hingga hujung nyawa mereka.

"Peluang yang ada ketika askar mempertahankan kubu itu digunakan sebaik mungkin untuk pegawai British bergerak meninggalkan Tanah Melayu menuju ke Singapura.

“Saya percaya dalam setiap kubu tersebut, ada askar yang mati dan jasad mereka berkubur di situ sahaja selepas kedatangan Jepun. Di Teluk Cempedak, Pahang, kubu sedemikian dipulihara dan dijadikan tarikan sektor pelancongan,” katanya.

Tiga kubu di Kuala Gel

Bagi penduduk Kuala Gel pula, kubu lebih dikenali sebagai gerek. Di situ terdapat tiga gerek berdekatan chalet, pusat kajian samudera dan penempatan penduduk.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Li, 50, berkata, boleh dikatakan setiap kampung di pesisir pantai dalam daerah Bachok mempunyai sebuah kubu.

Katanya, Kuala Gel mungkin sebagai kubu terakhir dalam Bachok. “Tidak ramai orang tahu mengenai gerek ini kecuali beberapa penduduk lama, sebahagiannya sudah meninggal dunia.

"Daripada apa yang diceritakan, kubu ini memang menempatkan askar upahan British seperti Punjab, Melayu dan Gurkha yang berperanan mempertahankan negeri ini ketika kemasukan Jepun dahulu," katanya.

Menurutnya, tidak jauh dari kubu itu, ada sebuah kubur orang Vietnam yang tidak diketahui bagaimana asal usulnya boleh berada di situ tetapi kawasan itu dikatakan ‘agak keras’.

Li berkata, kubu berkenaan sering menjadi tumpuan kerana penemuan beberapa peluru dan bom lama, malah dikatakan juga sebelum askar berundur, mereka ada menyimpan senjata, peluru dan keperluan mereka di lokasi yang tidak dapat dikesan.

"Namun, sudah banyak kes penduduk jumpa peluru dan bom di sekitar kubu tersebut. Ada juga peluru  dijumpai di sekitar kawasan rumah penduduk, mungkin kerana ia pernah jadi lokasi pertempuran suatu ketika dahulu.

“Kalau tidak silap saya, sekitar 90-an terdapat kes letupan bom membunuh seorang penduduk. Ia berlaku apabila penduduk menjumpai bom tersebut menganggap ia seketul besi. Bom itu diketuk untuk dipecahkan dan akhirnya menyebabkan letupan," katanya.

Menurutnya, ada juga pengutip barangan terpakai menjumpai bom tetapi tidak mengetahui ia adalah bom sehinggalah dimaklumkan kepadanya dan ia diambil oleh pihak polis untuk dimusnahkan.

Tumpuan pelancong asing

Kubu kedua yang dilawati di Kampung Anak Rhu, berdekatan kediaman keluarga Azilawati Mohd Apandi, 40.

Azilawati berkata, sejak dia mendiami kampung itu 12 tahun lalu, kubu tersebut sering menjadi lokasi tumpuan pelancong asing yang datang mengambil gambar.

“Kubu ini masih elok berbanding di kampung saya di Pantai Baru. Adakala orang dari muzium dan pelancong asing datang ambil gambar serta buat rakaman video.

 “Orang kata kubu ini dua tingkat dan dikatakan terdapat sisa bedilan peluru di dinding kubu ini akibat serangan musuh ketika itu tetapi saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya,” katanya.

Tinjauan terakhir Sinar Harian di Kampung Pantai Baru pula mendapati hanya bahagian bumbung kubu sahaja yang kelihatan berikutan hakisan pantai yang menyebabkan ia semakin tenggelam.

Kubu itu juga berdekatan rumah penduduk dan kelihatan tidak terjaga. Dipercayai kebanyakan kubu tinggal ini tidak dipulihara dengan baik, berkemungkinan ia terletak dalam tanah persendirian.

Justeru, sesuatu perlu dilakukan sama ada oleh agensi berkaitan atau kerajaan negeri untuk menjaga dan memulihara tinggalan sejarah ini yang boleh mengingatkan kita mengenai keperitan suatu ketika dahulu tanah ini pernah dijajah oleh bangsa asing.

Jika ia dibiarkan begitu sahaja umpama reban ayam atau sekadar menjadi sarang maksiat dan penagihan dadah, maka nilai sejarah itu akan berkubur.

Tiada apa lagi yang tinggal untuk dikenang oleh generasi akan datang. Tanpa warisan, tiadalah sejarah yang menjadi medium utama jati diri sesebuah bangsa.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 31 Mac 2014

Khazanah sejarah tersembunyi di tebingan Sungai Kelantan

Antara barangan yang ditemui di tebing Sungai Kelantan, Kampung Kubang Pak Amin.
PASIR MAS: Pasir Mas merupakan salah satu daripada 10 jajahan di Kelantan yang mempunyai pelbagai warisan sejarah tidak terhitung nilainya bukan sahaja kepada negeri ini malah negara amnya.

Terletak berhampiran sempadan Malaysia - Thailand dan hanya dipisahkan dengan Sungai Golok, menjadikan jajahan ini sebagai salah satu pintu masuk aktiviti perdagangan ke negara ini.

Berkeluasan 577.52 kilometer persegi, kawasan yang majoritinya dihuni oleh masyarakat Melayu ini menyimpan pelbagai khazanah sejarah tidak ternilai harganya kepada peradaban bangsa di negara ini.

Penemuan syiling lama di tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Kubang Pak Amin, Tendong baru-baru ini telah membuka lembaran baharu kepada perkembangan sejarah di negeri ini.

Siapa sangka, tebing sungai yang sebelum ini dipandang sepi oleh penduduk tempatan dan hanya dijadikan tempat beriadah pada waktu petang serta hujung minggu sebenarnya menyimpan rahsia tidak terhitung nilainya.

Penemuan sejumlah duit syiling lama telah menarik puluhan penduduk setempat dan dari luar kawasan itu untuk turut sama menjalankan kerja-kerja mengorek serta mencari gali tinggalan sejarah di kawasan berkenaan.

Kawasan yang dulunya sunyi bertukar meriah apabila penduduk tidak putus-putus mengunjungi lokasi penemuan untuk melihat dengan lebih dekat tinggalan sejarah itu, selain mencuba nasib untuk mencari gali artifak tersebut.

Temui syiling lama ketika bawa anak mandi

Seorang penduduk, Wan Mohd Yusof Wan Ahmad, 36 berkata, duit syiling tersebut ditemuinya ketika sedang menjala berhampiran kawasan tersebut sambil membawa anak-anaknya untuk bermain air.

“Tiba-tiba beberapa keping duit syiling lama tersangkut pada jala dan ia sesuatu yang mengejutkan saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, dia kemudiannya mengorek pasir di kawasan berkenaan dan terkejut apabila menemui beberapa keping lagi duit syiling lantas membawanya pulang ke rumah.

Wan Mohd Yusof berkata, berita penemuan duit syiling itu telah tersebar ke seluruh pelosok kampung dan menarik orang ramai untuk menjalan kerja-kerja mencari gali tinggalan sejarah itu.

Difahamkan kawasan tersebut merupakan laluan utama perdagangan dari Kota Bharu ke kawasan-kawasan hulu Kelantan suatu ketika dahulu.

Tutup kawasan elak kerja cari gali

Menyedari terdapat nilai sejarah tinggi di kawasan berkenaan Perbadanan Muzim Negeri Kelantan telah memaklumkan penemuan tersebut kepada Jabatan Warisan Negara.

Pihak Jabatan Warisan Negara melalui peraturan yang ada telah menutup kawasan tersebut dari dimasuki orang awam dengan kerjasama pihak polis.

Sekumpulan penyelidik dari Jabatan Warisan Negara Wilayah Timur sedang giat menjalankan kajian di kawasan berkenaan untuk melihat nilai sejarah yang terdapat di situ.

Penemuan pisau Tembeling

Penemuan pisau Tembeling di tebing Sungai Kelantan, berhampiran Kampung Kubang Pak Amin membuka lembaran baharu dalam pengkajian sejarah negara, iaitu berkaitan kehidupan manusia pra-sejarah di zaman Neolitik.

Ketua Pegawai Arkeologi Jabatan Warisan Negara Wilayah Timur, Ruzairy Arbi berkata, sebelum ini pisau berkenaan pernah dijumpai oleh pengkaji Inggeris, I.H.N. Evans di sekitar Sungai Tembeling pada 1930-an.

“Kami tidak menolak kemungkinan kawasan tersebut pernah diduduki oleh masyarakat yang tinggal pada zaman Neolitik dan penemuan ini menjadikan kajian lebih menarik. Kami sedang mengenal pasti permukaan kawasan sekitar sebelum meneruskan kerja-kerja cari gali.

"Kajian lanjut akan dijalankan ke atas artifak ditemui untuk mengetahui nilai sejarah di sebalik penemuan ini. Sepanjang seminggu menjalankan kajian, kami telah menemui pelbagai artifak bersejarah yang mempunyai nilai cukup tinggi," katanya.

Katanya, antara barangan yang ditemui ialah seramik, alatan batu dan duit syling serta terdapat sesetengah serpihan tembikar ditemui dipercayai berasal dari zaman pra-sejarah sehingga ke zaman awal Kesultanan Kelantan.

Malahan katanya, Jabatan Warisan Negara tidak menolak kemungkinan terdapat kapal pedagang karam di kawasan tersebut kerana dipercayai menjadi laluan utama maritim pada zaman dahulukala.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 31 Mac 2014

Jambatan Gantung Sultan Ismail terbiar tanpa penyelenggaraan

NAMA Jambatan Gantung Sultan Ismail Sungai Nal mungkin kurang diketahui umum termasuk masyarakat di daerah ini kerana monumen ini lebih dikenali sebagai Gertak Gantung Sungai Nal dalam kalangan penduduk tempatan.

Jambatan yang mempunyai seni bina kukuh ini mempunyai nilai sejarah begitu bermakna kepada masyarakat di Kuala Krai kerana suatu ketika dulu, ia merupakan laluan utama menghubungkan penduduk sekitar Kota Bharu dengan daerah ini.

Terletak kira-kira 11 kilometer dari bandar Kuala Krai, jambatan itu  pernah menjadi jalan penghubung utama yang membantu sektor ekonomi masyarakat setempat khususnya dalam memasarkan hasil pertanian.

Dibuka kepada umum pada 19 April 1932, jambatan tersebut  dirasmikan sendiri oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad IV dan dinamakan bersempena nama baginda.

Reka bentuknya menyerupai kebanyakan jambatan yang terdapat di Eropah berdasarkan struktur binaannya menggunakan besi keluli yang begitu teguh dan kuat.

Jambatan berkenaan mempunyai ukuran panjang 21 meter dan lebar sembilan meter digantung menggunakan tali besi dengan ukur lilit 12 inci, dipintal di bahagian luar dengan dawai besi lebih kecil menampakkan seperti tali berpintal.

Unsur-unsur digunakan untuk memastikan keteguhan jambatan tersebut sekali gus memberikan ciri-ciri keunikan kepada Gertak Gantung Sungai Nal yang kekal sehingga ke hari ini.

Terbiar selepas jambatan baharu dibina

Bermula 1986, jambatan itu  tidak lagi digunakan setelah jambatan baharu berhampirannya siap dibina, menyebabkan jambatan yang begitu bermakna kepada penduduk dan  mempunyai nilai sejarah itu terbiar.

Jambatan berkenaan mampu menjadi salah satu produk pelancongan terkenal, bukan hanya di daerah ini malah kepada Kelantan secara umumnya sekiranya ia diberi penjagaan dan pemuliharaan sempurna.

Kini, Jambatan Gantung Sultan Ismail Sungai Nal yang menjadi simbol Daerah Kuala Krai dikhuatiri akan lenyap dalam lipatan sejarah negeri berikutan kayu lantai jambatan itu sudah semakin reput.

Pastinya jambatan tersebut  menyimpan begitu banyak nostalgia bagi orang lama di Daerah Kuala Krai dan penduduk di sini, terutama mereka yang pernah menggunakan jambatan berkenaan suatu ketika dahulu tidak mahu melihat ia terus dibiarkan begitu sahaja.

Dalam keadaan sekarang, ia dilihat seakan-akan tiada nilai kerana kawasan sekitarnya tidak diselenggarakan dengan sempurna berikutan tiada pihak bertanggungjawab memulihara kawasan itu.

Pernah terbakar

Kawasan yang mempunyai nilai sejarah ini pernah terbakar dipercayai berpunca daripada puntung rokok yang dibuang warga asing ketika dalam perjalanan untuk ke pasar malam tidak jauh dari kawasan tersebut.

Generasi baharu di Kuala Krai mahu kawasan ini dipulihara dan dijadikan kawasan tumpuan ramai kerana melihat ia berpotensi untuk dimajukan memandangkan lokasinya terletak di tengah-tengah laluan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Anak jati Kuala Krai, Zuraihah Muhammad mengharapkan jambatan tersebut diselenggarakan dengan baik bagi mengelak warisan sejarah itu hanya tinggal nama dan berpendapat, kawasan yang mempunyai nilai begitu tinggi harus diabadikan dalam peta pelancongan negeri.

"Jambatan ini memang sudah tidak digunakan untuk tujuan perhubungan memandangkan telah ada jambatan baharu di sebelahnya. Namun ia mempunyai nilai tinggi dalam sejarah dan  industri pelancongan, malah ramai pengantin baharu memilih tempat ini untuk merakam momen indah dalam hidup mereka," katanya.

Sementara itu, seorang lagi anak jati Kuala Krai yang ditemui, Nazman Che Iberahim berkata, pelbagai kemudahan boleh dibina di kawasan jambatan berkenaan bagi memastikan warisan sejarah itu terus dapat dinikmati generasi seterusnya.

Katanya, sebagai contoh, restoran jejantas sepertimana terdapat di Ayer Keroh, Melaka boleh dibina di kawasan itu dan kemudahan kedai makan yang banyak di kawasan itu boleh menarik orang ramai untuk singgah di lokasi bersejarah tersebut setelah melalui perjalanan jauh.

"Sekiranya lokasi ini mempunyai pelbagai kemudahan, tidak mustahil ia akan maju. Orang ramai bukan sahaja boleh berhenti rehat malah boleh menikmati keindahan persekitaran kawasan ini yang masih dipenuhi tumbuhan hijau.

"Sekiranya kawasan Jambatan Gantung Sultan Ismail Sungai Nal ini belum diwartakan sebagai kawasan bersejarah, saya rasa pihak berkenaan perlu berbuat demikian dalam kadar segera," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 31 Mac 2014

Angelina Jolie berselendang ketika melawat Bosnia

Jolie tampil berselendang ketika melawat perkuburan mangsa perang di Bosnia.
PADA Jumaat lalu, Angelina telah melakukan kunjungan ke Bosnia melawat perkuburan mangsa korban perang wilayah tersebut.

Menurut Reuters, kunjungan Angelina ke negara tersebut menarik perhatian ramai apabila dia tampil sopan dengan pemakaian serba hitam selain mengenakan selendang di kepala.


"Penampilannya cukup memberi kesan kepada orang disekelilingnya kerana ia menunjukkan dia cukup menghormati masyarakat Islam," kata sumber.


Bagaimanapun penampilan berselendang itu bukanlah pertama kali digayakan Angelina, sebaliknya dia akan berpakaian sopan apabila mengunjungi negara-negara Islam.

Sumber: mStar Online | 30 Mac 2014