Pramugari MAS membuat pemeriksaan di bahagian kabin sebelum pesawat dinaiki penumpang. |
KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) dan
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaksanakan pemeriksaan
keselamatan penerbangan lebih ketat di udara dan di darat berikutan
tragedi pesawat MH370.
Menurut satu pekeliling MAS, juruterbang dan pembantu juruterbang
kini tidak dibenarkan untuk ditinggalkan bersendirian di dalam kokpit,
walaupun salah seorang daripada mereka pergi ke tandas.
Di bawah peraturan baharu itu, seorang anak kapal kabin perlu berada di
dalam kokpit sehingga juruterbang atau pembantu juruterbang kembali
semula dari tandas.
Apabila makanan dibawa ke kokpit, krew penerbangan dikehendaki
berjaga di pintu untuk memastikan tiada penumpang memasuki kawasan
larangan itu.
Ketua Jurutebang MAS bagi keselamatan penerbangan dan faktor manusia,
Datuk Kapten Missman Leham mengeluarkan pekeliling tersebut kepada
semua krew penerbangan.
Sementara itu, MAHB mewajibkan mereka yang terlibat dalam penerbangan
antarabangsa untuk melalui dua pengesan logam dan menjalani pemeriksaan
badan sebelum mereka dapat memasuki pesawat.
Para pelancong juga kini perlu menanggalkan kasut, tali pinggang,
jaket dan meletakkan sebarang peranti elektronik seperti telefon bimbit
dan komputer riba untuk pengimpasan secara berasingan. Air minuman yang
dibotolkan tidak dibenarkan dibawa ke dalam pesawat.
Amerika Syarikat, Britain dan Australia meminta supaya pemeriksaan
keselamatan ke atas semua penumpang yang terbang ke negara-negara itu
dipertingkatkan.
MAHB turut melaksanakan pemeriksaan tersebut untuk penerbangan
antarabangsa lain dan mengguna pakai senarai barangan larangan, yang
sama digunakan oleh Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan Amerika
Syarikat.
Peraturan itu berkuat kuasa pada minggu 8 Mac, hari di mana pesawat
MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang bersama 239 penumpang dan anak
kapal.
Jurucakap MAS mengesahkan bahawa syarikat penerbangan itu
mempertingkatkan keselamatan dan menyediakan prosedur pemantauan di
dalam semua pesawat.
"Bagaimanapun, untuk tujuan keselamatan kami tidak dapat membincangkan sebarang prosedur ini secara terbuka.
"Pemeriksaan keselamatan adalah mandat oleh pihak berkuasa
keselamatan penerbangan dan ia dijalankan oleh mereka," kata jurucakap
itu.
Seorang juruterbang MAS memberitahu The Star bahawa terdapat beberapa keselamatan dan prosedur keselamatan untuk anak-anak kapal dan kokpit pesawat.
Beliau berkata, terdapat satu peraturan di mana juruterbang dan
pembantu juruterbang akan diberikan set hidangan makanan berbeza, yang
bertujuan menggelakkan sebarang kemungkinan kedua-dua mengalami
keracunan makanan pada masa yang sama.
"Langkah lain apabila anak kapal perlu membuat semakan terhadap semua
bahagian di dalam kokpit, kabin , kawasan rehat anak-anak kapal, dapur
dan tandas untuk mengesan sebarang objek asing sebelum pesawat dinaiki
penumpang.
"Pramugara dan pramugari juga mesti memantau pelancong yang
berkelakuan mencurigakan atau penumpang yang mengambil bagasi masuk ke
dalam tandas," kata juruterbang itu yang enggan dikenali.
MAHB mengingatkan semua pelancong yang berlepas dari KLIA untuk
penerbangan destinasi antarabangsa bahawa mereka perlu membuat
pemeriksaan di dalam tempoh tiga jam yang ditetapkan.
"Ini adalah supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk
pemeriksaan imigresen dan keselamatan. Pemeriksaan ketat adalah untuk
keselamatan pesawat, penumpang dan anak kapal, dan semua orang perlu
memberi kerjasama sepenuhnya," kata jurucakap itu.
Sumber: mStar Online | 31 Mac 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan