Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 3 April 2014

Dua diculik di Semporna

Sekumpulan kanak-kanak Bajau Laut menunjukkan kerang dan kulit siput untuk dijual kepada para pelancong yang berkunjung ke Pulau Mabul Semporna. -Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Seorang warga China berusia 29 tahun dan seorang pekerja resort dari Filipina diculik dari sebuah resort dekat Semporna.

Wanita dari Shanghai yang dikenal pasti sebagai Gao Hua Yun dan pekerja resort warga Filipina berusia 40 tahun itu telah diculik oleh seramai enam lelaki bersenjata yang tidak dikenali kira-kira pukul 10.30 malam Rabu dari resort di  Pulau Singgahmata, bersebelahan Pulau Bum-Bum, Semporna.

Pasukan keselamatan Malaysia telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya di sepanjang sempadan laut, selatan Filipina. Polis Sabah masih belum membuat kenyataan rasmi mengenai kejadian itu.

Walaubagaimanapun, pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek telah mengesahkan penculikan itu. Maklumat kejadian masih tidak lengkap.

Difahamkan pelancong berkenaan sedang mandi di dalam biliknya apabila kumpulan lelaki bersenjata memaksanya keluar dan menaiki bot mereka.

Masih tidak dapat dipastikan di mana perkerja resort itu berada  ketika dia diculik. Terdapat kira-kira 61 pelancong dari China di resort itu pada masa kejadian.

Salah satu pelancong di resort itu yang merupakan seorang wartawan akhbar dari China melaporkan bahawa ramai pelancong di resort itu berada di bilik mereka ketika kejadian.

Pelancong-pelancong hanya mengetahui perkara itu apabila pihak pengurusan mengarahkan semua tetamu keluar dari bilik mereka selepas polis tiba minit beberapa minit selepas lelaki bersenjata melarikan diri dengan tawanan mereka.
Sumber: mStar Online | 3 April 2014

Rabu, 2 April 2014

Tiada tempat untuk orang seperti Ibrahim Ali di Sarawak - Adenan Satem

KUCHING: Kerajaan negeri akan terus mengkaji semula senarai nama individu yang dianggap persona non grata (atau dilarang memasuki negeri itu) kerana Sarawak tidak memerlukan ekstremis dan fanatik agama atau bangsa, termasuk Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali. 

Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem (gambar) pada Isnin berkata bahawa Ibrahim boleh cuba untuk memasuki negeri itu tetapi perlu bersedia menerima akibatnya.

Beliau berkata, ia bukan lagi isu yang relevan sama ada pemimpin kumpulan Melayu berhaluan kanan yang kontroversi datang dan meninggalkan Sarawak kira-kira dua minggu lalu.

"Beliau akan tahu apa yang akan berlaku apabila beliau datang ke Sarawak lain kali," kata Adenan pada sidang media di sini.

Pada pilihan raya kecil (PRK) Balingian baru-baru ini, kerajaan negeri melarang empat pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PRK) daripada memasuki Sarawak iaitu Ketua Wanita parti, Zuraida Kamaruddin; Pengarah Strategik, Rafizi Ramli; Naib Presiden, Tian Chua dan Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan masuk ke negeri itu. Adenan menafikan khabar angin mengenai kerajaan negeri membenarkan Anwar memasuki Sarawak kerana bimbang terhadap kekecohan di peringkat antarabangsa.

"Mereka mempunyai pelbagai pandangan mengenai Anwar. Kita biarkan beliau masuk kerana kita tidak takutkannya," kata Adenan sambil menjelaskan bahawa pemimpin pembangkang tersebut tidak mempunyai apa-apa pengaruh di negeri itu.

Beliau berkata, kekalahan PKR dalam PRK Balingian menunjukkan Anwar hanya mempunyai sedikit atau tiada langsung pengaruh di kawasan itu.

Calon Barisan Nasional (BN), Yussibnosh Balo memenangi kerusi Balingian dengan peningkatan majoriti 6,911 undi, dengan mendapat 8,194 undi, menewaskan Abdul Jalil Bujang dari PKR, yang hanya memperoleh 1,283 undi.

Sumber: mStar Online | 1 April 2014

Kelantan mohon Parlimen lulus hudud

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memohon agar Parlimen dapat meluluskan undang-undang bagi memberikan kebenaran kepada negeri ini melaksanakan hudud kerana ia boleh dilakukan mengikut peruntukkan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Fadzli Hassan (gambar) berkata, kelulusan tersebut penting kerana sebahagian besar dari undang-undang hudud di bawah bidang kuasa persekutuan begitu juga dengan jabatan-jabatan yang akan terlibat dalam perlaksanaan ini seperti pihak polis dan penjara.

“Bagi membolehkan Mahkamah Syariah mengadili dan menghukum kes-kes hudud, Parlimen juga hendaklah meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa) dengan meluaskan kuasa menghukum sehingga maksimum denda, penjara dan sebatan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa kerajaan pusat bersedia untuk memberikan laluan pelaksanaan hudud dan memberikan syarat agar ia dibentangkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Mohamed Fadzli berkata, kuasa yang ada pada mahkamah syariah sedia ada tidak memungkinkan hudud dapat dilaksanakan.

Tambahnya, kuasa untuk meminda akta tersebut hanya ada pada Parlimen seterusnya  kuasa negeri terhadap agama Islam hendaklah diterjemahkan sebagai kuasa yang eksklusif.

“Kerajaan pusat melalui Parlimen atau mahkamah sivil tiada hak untuk campur urusan perlaksanaan undang-undang Islam ini. Mereka (kerajaan pusat) perlu lakukan perkara tersebut bagi membuktikan kesungguhan dan keikhlasan mereka barulah kerajaan negeri dapat laksanakannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berharap kerajaan negeri boleh mempercepatkan pewartaan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah 1993 (Hukum Hudud) yang diluluskan Dun Kelantan sebagai langkah untuk pelaksanaan hukum tersebut.

"Dalam masa yang sama, ahli-ahli Pas perlu digerakkan untuk membawa sekurang-kurangnya satu usul pindaan perlembagaan secepat mungkin bagi memberikan laluan ke arah pelaksanaan undang-undang tersebut di sini.

“Langkah ini bersesuaian dengan tindakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menggesa Pas agar membentangkan draf undang-undang hudud di Parlimen jika benar-benar mahu menyaksikan satu perubahan besar dalam pelaksanaan undang-undang Islam," kata Ketua Pemuda Pas negeri itu lagi.
 
Sumber: Sinar Harian | 2 April 2014

Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai bermula

Muhyiddin Yasin (duduk) melakukan simbolik majlis pecah tanah projek Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai di Kota Bharu, semalam. Turut hadir, Mustapa Mohamed (kiri) dan Fadillah Yusof (belakang) - Utusan/Irwan Majid
KOTA BHARU: Impian rakyat negeri ini bakal menjadi realiti apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (Pakej 1B: Pasir Hor ke Kadok) di Tiong di sini hari ini. 

Lebuh raya tersebut merupakan salah satu daripada tujuh janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih pentadbiran negeri itu. 

Muhyiddin berkata, projek itu membuktikan bahawa slogan Janji Ditepati oleh Kerajaan Pusat bukan sekadar omongan semata-mata.

"Ini bukti jelas apa yang disebut oleh Perdana Menteri dalam lawatan ke Kelantan sebelum PRU-13, kita laksanakan.

"Walaupun dibuat secara berperingkat, pastinya kita tidak akan buat setakat itu sahaja, kita akan buat hingga selesai lebuh raya ini," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut. 

Yang hadir sama Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Dr. Awang Adek Husin dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Tan Sri Shukry Md Salleh. 

Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 73.5 km dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM1.8 bilion dan melalui tiga fasa pembinaan. 

Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok sepanjang tujuh km melibatkan kos RM168.5 juta itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Perancangan projek tersebut dibuat sepenuhnya oleh Kementerian Kerja Raya bermula Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sehingga RMK-11.

Muhyiddin yang Timbalan Pengerusi BN berkata, Kerajaan Pusat mempunyai kemampuan untuk melaksanakan projek lebuh raya tanpa tol tersebut sehingga siap sepenuhnya. 

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk membina lebuh raya yang sama, beliau berkata, kerajaan Pusat bersedia untuk bekerjasama. 

"Saya diberitahu sebahagian fasa pembangunan ini akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Kita sokong." Di bawah kerajaan Pusat kita sudah mulakan dan kita serah kepada kebijaksanaan kerajaan negeri bagaimana mereka mahu melaksanakannya," katanya.

Sementara itu, menurut Muhyiddin, Kerajaan Pusat telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion untuk membiayai 116 projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di negeri ini. 

Menurutnya, sebanyak 77 projek atau 66 peratus daripada jumlah keseluruhan rancangan itu di negeri ini telah siap sepenuhnya manakala bakinya masih dalam peringkat pembinaan, reka bentuk dan perolehan. 

"Pada masa sama, sebanyak 50 daripadanya adalah projek-projek infrastruktur untuk membina dan membaik pulih jalan serta jambatan atau jejambat di negeri ini. 

"Tanggungjawab kerajaan Persekutuan tidak hanya terbatas dengan pembinaan atau naik taraf jalan sahaja, malah bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM26 juta setahun bagi menyelenggara 1,261.22 kilometer (km) jalan Persekutuan sedia ada di negeri ini. 

Sumber: Utusan Malaysia | Dalam Negeri | 1 April 2014 | Terbitan 2 April 2014

Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai mula dibina

Muhyiddin merasmikan pecah tanah projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di Kota Bharu, semalam.  Foto: Fathil Asri
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan menunaikan janjinya dengan membina Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 73.5 kilometer (km) bernilai RM1.8 bilion, yang akan bermula Jumaat ini.

Ia dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama dari Pasir Hor ke Kadok, Kota Bharu sepanjang 12.5 km dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun sebelum diteruskan dengan fasa kedua Kadok ke Bukit Tiu, Machang (28.5 km) dan fasa ketiga dari Bukit Tiu ke Kampung Dusun Damar, Kuala Krai (32.5 km).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merasmikan pecah tanah lebuh raya berkenaan berkata, pelaksanaan projek itu adalah satu daripada tujuh janji Barisan Nasional (BN) yang akan dilaksanakan di Kelantan.

“Ini bukti jelas apa yang disebut oleh Perdana Menteri dalam lawatan ke Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dulu, kita laksanakan, walaupun ia dibuat secara berperingkat, pastinya kita tidak akan buat setakat itu saja, kita akan buat hingga selesai lebuh raya ini.

RM2.5b biayai 116 projek

“Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) sejumlah RM2.5 bilion diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membiayai 116 projek pembangunan di Kelantan dan daripada itu terdapat 77 projek yang sudah siap sepenuhnya (66 peratus) dan baki 33 projek pula dalam pelbagai peringkat seperti reka bentuk, perolehan dan dalam pembinaan.

“Kira-kira 50 daripada 116 projek pembangunan di Kelantan adalah membabitkan infrastruktur jalan dan jambatan iaitu membina jalan baru, naik taraf jalan, membina dan membaikpulih jalan sedia ada dan membina jambatan.

“Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM26 juta setahun bagi menyenggara 1,261.22 km jalan Persekutuan sedia ada di Kelantan.

Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan infrastruktur berkualiti kepada rakyat terutama rakyat Kelantan,” katanya berucap pada perasmian berkenaan, di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Muhyiddin berkata, pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai berkenaan, sebahagian daripada projek Central Spine Road (CSR) di bawah pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan apabila siap akan membuka satu lembaran baharu dari segi rangkaian hubungan, aksesibiliti dan mobiliti di Kelantan.

Bercakap kepada media kemudian, Muhyiddin berkata, tiada perbincangan antara Kerajaan Pusat dan negeri mengenai Lebuh Raya Rakyat yang dilaporkan mahu dibina kerajaan Kelantan sebelum ini. 
 
Sumber: Berita Harian | Nasional | 2 April 2014

HRPZ II nafi terlibat program amal

Dr. Ghazali Hasni (kiri) menunjukkan surat yang didakwa mengaitkan HRPZ II dalam program terbabit.
KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menafikan penglibatannya dalam satu program amal bagi membantu pesakit kanser anjuran sebuah organisasi yang kini giat mengedarkan surat permohonan sumbangan.

Atas rasa tanggungjawab bagi mengelak orang ramai tertipu dengan pihak terbabit, pihak HPRZ II diwakili pengarahnya, Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan membuat laporan polis pada jam 11 pagi semalam bersama Pegawai Perhubungan Awam hospital berkenaan, Zaid Ahmad.

Dr. Ghazali Hasni berkata, pihaknya tidak terlibat dalam program yang dinamakan Larian Amal dan Makan Malam Cegah Kanser yang dijadualkan pada 7 Jun ini.

Beliau berkata, pihaknya sama sekali tidak tidak mengetahui kewujudan program tersebut sebagaimana yang diwar-warkan kepada umum.

“Kami amat terkejut apabila dihubungi oleh sebuah syarikat menjual barangan elektrik mengenai sumbangan yang diminta dan bertanyakan kesahihan program tersebut.

“Sedangkan kami baru sahaja mengadakan program berkaitan kanser iaitu dengan kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (OKB) 23 Mac lepas,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata, dalam surat permohonan tersebut tercatat juga nama Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian malah alamat operasi tersebut juga beralamat di USM di atas nama sebuah persatuan.

Dr. Ghazali Hasni memberitahu, pegawainya cuba menghubungi pihak USM bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara tersebut namun masih belum mendapat maklum balas dan mereka masih menyiasat.

Menurutnya, kandungan surat permohonan tersebut tertera lambang Kementerian Kesihatan dan juga HRPZ II serta tujuan program tersebut (Larian Amal dan Makan Malam Cegah Kanser) adalah bagi mengutip dana Tabung Jabatan Perubatan Nuklear HUSM dan juga Tabung Kebajikan Kanser HRPZ II.

“Tidak ada masalah jika mereka hendak mengadakan program tersebut tetapi tak perlulah nyatakan nama kami sekali terlibat.

“Sekiranya ada apa-apa berlaku, mereka yang membeli meja (makan malam) akan salahkan kami sedangkan kami tidak tahu menahu pun,” katanya yang memberitahu khabarnya harga bagi satu meja makan malam tersebut bernilai RM10,000.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 1 April 2014

Mahkamah AS tolak petisyen terhadap MAS

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) berkata syarikat dimaklumkan bahawa petisyen yang difailkan bagi pihak seorang penumpang pesawat MH370 yang hilang telah ditolak dengan perintah Mahkamah Amerika Syarikat.
  
MAS mengumumkan perkara ini kepada Bursa Malaysia hari ini. Petisyen terhadap syarikat penerbangan nasional itu dan juga Boeing Company, pengeluar pesawat berkenaan, difailkan di Mahkamah AS baru-baru ini.
  
MAS menerima salinan petisyen itu pada 27 Mac. Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi pada 8 Mac dan hilang dari skrin radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di Laut China Selatan. Pesawat B777-200 dijadualkan tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada yang hari yang sama.
  
Operasi mencari melibatkan pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di sepanjang dua koridor - koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. 

Sumber: Bernama | 1 April 2014