Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 2 April 2014

Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai bermula

Muhyiddin Yasin (duduk) melakukan simbolik majlis pecah tanah projek Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai di Kota Bharu, semalam. Turut hadir, Mustapa Mohamed (kiri) dan Fadillah Yusof (belakang) - Utusan/Irwan Majid
KOTA BHARU: Impian rakyat negeri ini bakal menjadi realiti apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (Pakej 1B: Pasir Hor ke Kadok) di Tiong di sini hari ini. 

Lebuh raya tersebut merupakan salah satu daripada tujuh janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih pentadbiran negeri itu. 

Muhyiddin berkata, projek itu membuktikan bahawa slogan Janji Ditepati oleh Kerajaan Pusat bukan sekadar omongan semata-mata.

"Ini bukti jelas apa yang disebut oleh Perdana Menteri dalam lawatan ke Kelantan sebelum PRU-13, kita laksanakan.

"Walaupun dibuat secara berperingkat, pastinya kita tidak akan buat setakat itu sahaja, kita akan buat hingga selesai lebuh raya ini," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut. 

Yang hadir sama Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Dr. Awang Adek Husin dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Tan Sri Shukry Md Salleh. 

Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 73.5 km dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM1.8 bilion dan melalui tiga fasa pembinaan. 

Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok sepanjang tujuh km melibatkan kos RM168.5 juta itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Perancangan projek tersebut dibuat sepenuhnya oleh Kementerian Kerja Raya bermula Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sehingga RMK-11.

Muhyiddin yang Timbalan Pengerusi BN berkata, Kerajaan Pusat mempunyai kemampuan untuk melaksanakan projek lebuh raya tanpa tol tersebut sehingga siap sepenuhnya. 

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk membina lebuh raya yang sama, beliau berkata, kerajaan Pusat bersedia untuk bekerjasama. 

"Saya diberitahu sebahagian fasa pembangunan ini akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Kita sokong." Di bawah kerajaan Pusat kita sudah mulakan dan kita serah kepada kebijaksanaan kerajaan negeri bagaimana mereka mahu melaksanakannya," katanya.

Sementara itu, menurut Muhyiddin, Kerajaan Pusat telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion untuk membiayai 116 projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di negeri ini. 

Menurutnya, sebanyak 77 projek atau 66 peratus daripada jumlah keseluruhan rancangan itu di negeri ini telah siap sepenuhnya manakala bakinya masih dalam peringkat pembinaan, reka bentuk dan perolehan. 

"Pada masa sama, sebanyak 50 daripadanya adalah projek-projek infrastruktur untuk membina dan membaik pulih jalan serta jambatan atau jejambat di negeri ini. 

"Tanggungjawab kerajaan Persekutuan tidak hanya terbatas dengan pembinaan atau naik taraf jalan sahaja, malah bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM26 juta setahun bagi menyelenggara 1,261.22 kilometer (km) jalan Persekutuan sedia ada di negeri ini. 

Sumber: Utusan Malaysia | Dalam Negeri | 1 April 2014 | Terbitan 2 April 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan