KUCHING: Kerajaan negeri akan terus mengkaji semula senarai nama individu yang dianggap persona non grata (atau
 dilarang memasuki negeri itu) kerana Sarawak tidak memerlukan ekstremis
 dan fanatik agama atau bangsa, termasuk Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim
 Ali. 
Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem (gambar) pada Isnin berkata bahawa 
Ibrahim boleh cuba untuk memasuki negeri itu tetapi perlu bersedia 
menerima akibatnya.
Beliau berkata, ia bukan lagi isu yang relevan sama ada pemimpin 
kumpulan Melayu berhaluan kanan yang kontroversi datang dan meninggalkan
 Sarawak kira-kira dua minggu lalu.
"Beliau akan tahu apa yang akan berlaku apabila beliau datang ke Sarawak lain kali," kata Adenan pada sidang media di sini.
Pada pilihan raya kecil (PRK) Balingian baru-baru ini, kerajaan 
negeri melarang empat pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PRK) daripada 
memasuki Sarawak iaitu Ketua Wanita parti, Zuraida Kamaruddin; Pengarah 
Strategik, Rafizi Ramli; Naib Presiden, Tian Chua dan Setiausaha Agung, 
Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan masuk ke negeri itu. Adenan menafikan khabar angin mengenai kerajaan negeri membenarkan 
Anwar memasuki Sarawak kerana bimbang terhadap kekecohan di peringkat 
antarabangsa.
"Mereka mempunyai pelbagai pandangan mengenai Anwar. Kita biarkan 
beliau masuk kerana kita tidak takutkannya," kata Adenan sambil 
menjelaskan bahawa pemimpin pembangkang tersebut tidak mempunyai apa-apa
 pengaruh di negeri itu.
Beliau berkata, kekalahan PKR dalam PRK Balingian menunjukkan Anwar 
hanya mempunyai sedikit atau tiada langsung pengaruh di kawasan itu.
Calon Barisan Nasional (BN), Yussibnosh Balo memenangi kerusi 
Balingian dengan peningkatan majoriti 6,911 undi, dengan mendapat 8,194 
undi, menewaskan Abdul Jalil Bujang dari PKR, yang hanya memperoleh 
1,283 undi.
Sumber: mStar Online | 1 April 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan