Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 2 April 2014

Kelantan mohon Parlimen lulus hudud

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memohon agar Parlimen dapat meluluskan undang-undang bagi memberikan kebenaran kepada negeri ini melaksanakan hudud kerana ia boleh dilakukan mengikut peruntukkan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Fadzli Hassan (gambar) berkata, kelulusan tersebut penting kerana sebahagian besar dari undang-undang hudud di bawah bidang kuasa persekutuan begitu juga dengan jabatan-jabatan yang akan terlibat dalam perlaksanaan ini seperti pihak polis dan penjara.

“Bagi membolehkan Mahkamah Syariah mengadili dan menghukum kes-kes hudud, Parlimen juga hendaklah meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa) dengan meluaskan kuasa menghukum sehingga maksimum denda, penjara dan sebatan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa kerajaan pusat bersedia untuk memberikan laluan pelaksanaan hudud dan memberikan syarat agar ia dibentangkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Mohamed Fadzli berkata, kuasa yang ada pada mahkamah syariah sedia ada tidak memungkinkan hudud dapat dilaksanakan.

Tambahnya, kuasa untuk meminda akta tersebut hanya ada pada Parlimen seterusnya  kuasa negeri terhadap agama Islam hendaklah diterjemahkan sebagai kuasa yang eksklusif.

“Kerajaan pusat melalui Parlimen atau mahkamah sivil tiada hak untuk campur urusan perlaksanaan undang-undang Islam ini. Mereka (kerajaan pusat) perlu lakukan perkara tersebut bagi membuktikan kesungguhan dan keikhlasan mereka barulah kerajaan negeri dapat laksanakannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berharap kerajaan negeri boleh mempercepatkan pewartaan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah 1993 (Hukum Hudud) yang diluluskan Dun Kelantan sebagai langkah untuk pelaksanaan hukum tersebut.

"Dalam masa yang sama, ahli-ahli Pas perlu digerakkan untuk membawa sekurang-kurangnya satu usul pindaan perlembagaan secepat mungkin bagi memberikan laluan ke arah pelaksanaan undang-undang tersebut di sini.

“Langkah ini bersesuaian dengan tindakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menggesa Pas agar membentangkan draf undang-undang hudud di Parlimen jika benar-benar mahu menyaksikan satu perubahan besar dalam pelaksanaan undang-undang Islam," kata Ketua Pemuda Pas negeri itu lagi.
 
Sumber: Sinar Harian | 2 April 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan