Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 3 Julai 2014

Budak 5 tahun hafaz 29 juzuk al-Quran

Juri, Abi Amir mengucup tangan Musa kerana kagum dengan kebolehannya pada usia muda.

JAKARTA: Seorang juri program hafaz al-Quran, Hafiz Indonesia sebak dan kagum melihat bakat seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang mampu menghafaz 29 juzuk kitab suci itu.

Mengakui keistimewaan kanak-kanak lelaki itu, juri berkenaan, Abi Amir Faisol Fath pergi kepada peserta yang dikenali sebagai Musa itu dan mencium tangan kanak-kanak berkenaan bagi mengambil keberkatan mukjizat Al-Quran yang dihafalnya.

Musa yang berasal dari Bangka membuat penonton rancangan itu menitiskan air mata apabila mampu menjawab soalan yang diberikan juri serta penonton.

Program itu disiarkan di stesen televisyen RCTI, malah turut dimuat naik ke YouTube, manakala episod membabitkan Musa dimuat naik pada 29 Jun lalu.

Ketika ditemui, Abi Amir berkata, kanak-kanak itu membuatnya kagum kerana menganggap Allah sendiri memuliakannya walaupun usianya masih muda.

“Tiada perkataan yang boleh saya ucapkan... Subhanallah. Ayah bonda semua, inilah buktinya bahawa sekali pun anak kecil masih sangat lemah kemahuannya, namun kita tunduk dengan kemuliaannya kerana al-Quran maka kerana Allah memuliakannya,” katanya.

Menurutnya, wang kertas tetap bernilai biarpun dipijak kerana manusia telah menetapkan nilai untuk wang kertas.

“Bagi Musa, Allah menetapkan nilai yang mulia ke atasnya kerana dia sudah pun menghafaz Al-Quran pada usia muda,” katanya.


Sumber: mStar Online | 3 Jul. 2014

Alam Flora sumbang tong sisa mudah alih kepada MPKB-BRI

KOTA BHARU: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menyerahkan 320 unit tong sisa mudah alih kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sebagai suatu sumbangan khidmat sosial syarikat itu kepada penduduk setempat.

Pengurus Besar Operasi Alam Flora Darwishah Osman berkata inisiatif itu diambil bagi memastikan penduduk Kota Bharu dapat meraikan sambutan bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana alam sekitar yang lebih bersih.

"Sebanyak 70 unit tong sisa mudah alih berkapasiti 660 liter dan 250 unit berkapasiti 120 liter diserahkan untuk kegunaan dan keselesaan penduduk sekitar Kota Bharu," katanya di majlis penyerahan tong sampah dan peralatan kebersihan kepada MPKB-BRI di sini, Rabu malam.

Katanya tong sisa mudah alih itu mempunyai penutup yang mampu menghalang cairan daripada keluar sekali gus boleh mengurangkan bau busuk.

Tong berkenaan juga diperbuat daripada bahan yang kekal lama, tahan cuaca dikenali sebagai polietelina padat (HDPE) selain mempunyai jangka hayat sehingga tujuh tahun, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood menerima baik inisiatif Alam Flora itu bagi merealisasikan kempen Kelantan Bersih tahun ini.

Semalam, kerajaan negeri mengumumkan persetujuan menyerahkan pengurusan sisa pepejal di negeri ini yang sebelum ini dilakukan pihak berkuasa tempatan kepada Alam Flora.

Sumber: Bernama | 3 Jul. 2014

Kelantan serah kepada Alam Flora urus sisa pepejal

KOTA BHARU: Alam Flora Sdn Bhd diberi tanggungjawab menguruskan sisa pepejal di Kelantan berikutan kerajaan negeri itu menerima pakai pelaksanaan Akta 672, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
  
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata syarikat itu akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal yang sebelum ini dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT).
  
"Alam Flora akan mengambil alih semua pengurusan berkaitan kutipan sampah dan pembersihan awam di kawasan yang telah dipersetujui bersama dengan pihak berkuasa tempatan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan (Exco) di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
  
Abdul Fattah berkata peringkat pertama pelaksanaan akan melibatkan kawasan di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Bachok.
  
Berdasarkan kajian dan keperluan semasa, syarikat berkenaan memerlukan lebih 800 kakitangan dalam pengurusan sisa pepejal di Kelantan dan dengan perkembangan itu, Syarikat Alam Flora dijangka menggaji lebih ramai petugas kerana kakitangan MPKB-BRI kini, hanya 500 orang, katanya.

Abdul Fattah berkata bagaimanapun Syarikat Alam Flora akan memberi pilihan kepada kakitangan MPKB-BRI sama ada mereka mahu kekal bersama majlis perbandaran itu atau berkerja dengan syarikat berkenaan.
  
"Mengikut perbincangan awal, Alam Flora akan memulakan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal seminggu sebelum Aidilfitri hujung bulan ini.
  
"Bagaimanapun berikutan peningkatan jumlah sisa pepejal tiga kali ganda sejak tiga hari lalu, kerajaan negeri akan berbincang dengan syarikat itu untuk memulakan kerja lebih awal," katanya.
  
Sementara itu, kerajaan negeri turut bersetuju untuk meluluskan permohonan MPKB-BRI bagi membina sebuah masjid baharu bernilai RM5.5 juta di tapak seluas 0.72 hektar berhampiran Terminal Bas Lembah Sireh di sini.
  
Pembinaan masjid terbabit yang boleh menampung lebih 1,000 jemaah pada satu masa adalah bagi memenuhi keperluan di kawasan itu, katanya.

Sumber: Bernama | 2 Jul. 2014

Pengurusan sisa pepejal: Kelantan terima pakai Akta 672

Abdul Fattah menunjukkan gambaran sebuah masjid yang akan dibina di Lembah Sireh berhampiran Terminal Bas Kota Bharu dengan kos RM5.5 juta.

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersetuju menerima pakai Akta 672 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 bagi meningkatkan lagi tahap kebersihan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kajian mengenainya sebelum ini dibuat Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

Katanya, kerajaan negeri menerima cadangan daripada UPEN dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara serta Alam Flora Sdn Bhd.

“Kerajaan negeri akan membuat keputusan muktamad sebelum majlis menandatangani perjanjian dibuat,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Akta 672 digubal bagi memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawal seliaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh Semenanjung Malaysia.

Akta itu juga memberikan kuasa untuk kerajaan Persekutuan mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada PBT di seluruh Semenanjung Malaysia.

Abdul Fattah berkata, penyerahan pengurusan sisa pepejal kepada Alam Flora akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

“Ia akan dimulakan di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam.

“Alam Flora hanya akan ambil alih soal kutipan dan kebersihan awam. Misalnya di pasar Alam Flora yang akan membersihkan parit, taman, pemotongan rumput dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau juga memberitahu MPKB-BRI belum membuat sebarang keputusan untuk menjadikan Bulatan Jam sebagai tempat pelancongan baharu memandangkan terdapat pokok kurma yang menjadi tumpuan ramai.

Katanya, MPKB BRI tidak menghalang orang ramai untuk melihat pokok kurma berbuah dari dekat. “Bagaimanapun diharap orang ramai tidak mengambil buah tamar sesuka hati kerana ia belum lagi masak,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain MPKB-BRI akan membina sebuah masjid dua tingkat di Terminal Bas Kota Bharu di Lembah Sireh yang bernilai RM5.5 juta. Katanya lokasinya terletak bersebelahan tapak terminal bas ekspress yang ada sekarang.

Menurutnya masjid berkenaan akan dibina di kawasan seluas 1.8 ekar dan apabila siap dapat mampu menampung kira-kira 1,000 jemaah. 

Sumber: Harakah Daily | 2 Jul. 2014

Royalti: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Kelantan

Kompleks Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, Putrajaya, Wilayah Persekutuan.
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan Rabu memutuskan tiada keperluan untuk memanggil saksi-saksi dalam saman pelanggaran kontrak yang dibawa kerajaan negeri Kelantan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung royalti minyak.
 
Oleh itu, saman itu akan dibawa semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk diselesaikan dengan cara menentukan daripada sudut undang-undang tanpa perbicaraan penuh mengikut Perintah 14A Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 22 Julai di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop.
Dalam keputusan itu, lima anggota panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Abdull Hamid Embong berkata tiada pertikaian fakta dalam kes ini yang memerlukan mahkamah memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan.

Bernama melaporkan Hakim Abdull Hamid yang mempengerusikan panel itu dengan Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Zainun Ali berkata mahkamah mendapati rayuan dalam saman itu adalah komprehensif dan mencukupi bagi mengecualikan mengadakan keterangan lisan dan saksi-saksi.

"Tafsiran perjanjian itu (royalti minyak)) tidak memerlukan testimoni saksi-saksi dan tidak ada keperluan untuk memanggil saksi memberi keterangan," katanya.

Hakim Abdull Hamid juga berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 18 Jan, 2012 yang membenarkan permohonan Petronas dan kerajaan persekutuan supaya saman itu dilupuskan.

"Kami dapati tiada kesilapan salah arah di pihak hakim Mahkamah Tinggi dan oleh itu tidak memerlukan campur tangan mahkamah (Mahkamah Persekutuan)," kata Hakim Abdull Hamid.

Oleh itu, beliau menolak rayuan kerajaan negeri Kelantan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 April, 2012, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan kerajaan negeri membayar RM150,000 sebagai kos kepada Petronas. Mahkamah juga menolak rayuan kerajaan negeri Kelantan berhubung penemuan dokumen berhubung saman itu. 

Pada 30 Ogos 2010, kerajaan negeri Kelantan memfailkan saman pelanggaran kontrak terhadap Petronas menuntut Petronas membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti ditetapkan dalam perjanjian cari gali petroleum.

Kerajaan negeri Kelantan turut menuntut ganti rugi dan kos. Bagaimanapun, ia tidak meletakkan jumlah keseluruhan yang dituntut daripada Petronas.

Dalam saman itu, kerajaan negeri menyatakan bahawa Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei, 1975, jelas menyebut bahawa Petronas perlu membayar secara tunai lima peratus daripada hasil minyak sama ada daripada usaha carigali di kawasan pantai atau luar pantai.

Ia menyatakan satu perenggan daripada perjanjian itu menyebut bahawa pembayaran hendaklah dibuat secara tunai dua kali setahun pada atau sebelum 1 Mac dan pada atau sebelum 1 Sept.

Dalam saman itu, kerajaan negeri Kelantan menamakan Petronas sebagai defendan tunggal. Bagaimanapun, kerajaan persekutuan berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan defendan kedua dalam saman itu.

Peguam Tommy Thomas mewakili kerajaan negeri Kelantan manakala Tan Sri Cecil Abraham mewakili Petronas dan peguam kanan persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan persekutuan.

Sumber: Bernama | 2 Jul. 2014

Rabu, 2 Julai 2014

Kurma di Bulatan Tuan Padang masih belum boleh dimakan

Pokok kurma yang berbuah lebat di Bulatan Tuan Padang di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan.
KOTA BHARU: Buah kurma daripada pokok di Bulatan Jam Besar (Bulatan Tuan Padang) masih belum masak dan orang ramai perlu menunggu sehingga penghujung Ramadan jika mahu menikmatinya.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin berkata, pihaknya tidak menghalang orang ramai untuk menikmati buah berkenaan sekiranya ada yang gugur.

“Buah yang ada sekarang masih belum masak, bagaimana hendak dimakan, jadi kita tidak akan melayan sebarang permintaan untuk menikmatinya melainkan apabila ia masak nanti,” katanya, semalam.

Rosnazli berkata demikian bagi menjawab persoalan sama ada MPK-BRI akan melayan sebarang permintaan untuk menikmati buah kurma berkenaan jika ada pihak berhasrat berbuat demikian.

Mengakui kemungkinan ada permintaan daripada orang ramai termasuk ibu mengandung yang dibuat melalui kakitangan bawahannya, namun tidak ada yang dilakukan secara langsung melalui beliau.

“Mungkin ada yang meminta, kerana buah berkenaan pertama kali berbuah lebat tahun ini dan kebetulan pula dengan kedatangan Ramadan, tidak mustahil ada permintaan, tapi kami tidak mampu menunaikannya buat masa ini kerana buahnya belum masak,” katanya.

Dalam pada itu, Rosnazli berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima arahan untuk menghantar buah kurma berkenaan ke istana.

Cerita kurma berbuah lebat di Kelantan mendapat liputan meluas media di Kelantan, sekali gus menarik perhatian umum sehingga kawasan yang memiliki 37 batang pokok itu menjadi tumpuan orang ramai.

Buahnya dijangka masak penghujung Ramadan ini dan MPKB-BRI tidak keberatan mengizinkan orang ramai menikmatinya apabila tiba masanya nanti.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 2 Jul. 2014

Kesedar bakal bangunkan 556 buah kampung tradisional

Abdul Aziz Derashid (kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 kepada seorang kakitangan Kesedar, Abdul Razak Mohd. Zain di Pusat Sivik, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini.
GUA MUSANG: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan membangunkan 556 buah kampung tradisional di kawasan selatan negeri ini bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan tersebut.

Pengerusinya, Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, pihaknya akan menumpukan perhatian untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur supaya relevan dengan perubahan zaman.

Beliau berkata, pembangunan kampung tradisional itu akan membawa perubahan dalam corak kehidupan kumpulan sasar.

"Kesedar akan terus berusaha memacu pembangunan kampung dengan melibatkan diri secara dekat dengan penduduk kampung melalui pelbagai program kemasyarakatan.

"Kita juga akan mewujudkan suasana keceriaan serta menitikberatkan kebersihan kampung tradisional, selain mengurangkan jurang politik serta menyatupadukan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2013 dan Hari Inovasi Kesedar 2014 di Pusat Sivik, di sini baru-baru ini.

APC merupakan acara tahunan yang memberi suntikan semangat kepada 547 orang kakitangan Kesedar untuk memberi perkhidmatan cemerlang kepada organisasi. Yang turut hadir, Pengurus Besar Kesedar Gua Musang, Mohd. Arshad Ismail.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menempatkan kakitangan Kesedar di kampung-kampung bagi memfokuskan perancangan serta program yang bakal dilaksanakan.

"Banyak lagi program yang bakal dimajukan oleh Kesedar bagi menggerakkan ekonomi penduduk kawasan luar bandar.

"Saya yakin perancangan harus dibuat secara teratur, daripada kita buat secara cepat tetapi gagal kerana kurangnya perancangan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 1 Jul. 2014 | Terbitan 2 Jul. 2014