Kompleks Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, Putrajaya, Wilayah Persekutuan. |
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan Rabu memutuskan tiada keperluan untuk memanggil
saksi-saksi dalam saman pelanggaran kontrak yang dibawa kerajaan negeri
Kelantan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung royalti
minyak.
Oleh itu, saman itu akan dibawa semula ke Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur untuk diselesaikan dengan cara menentukan daripada sudut
undang-undang tanpa perbicaraan penuh mengikut Perintah 14A
Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.
Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 22 Julai di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop.
Dalam keputusan itu, lima anggota panel hakim Mahkamah Persekutuan
yang diketuai Tan Sri Abdull Hamid Embong berkata tiada pertikaian fakta
dalam kes ini yang memerlukan mahkamah memanggil saksi-saksi untuk
memberi keterangan.
Bernama melaporkan Hakim Abdull Hamid yang mempengerusikan panel itu
dengan Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop, Datuk
Hasan Lah dan Datuk Zainun Ali berkata mahkamah mendapati rayuan dalam
saman itu adalah komprehensif dan mencukupi bagi mengecualikan
mengadakan keterangan lisan dan saksi-saksi.
"Tafsiran perjanjian itu (royalti minyak)) tidak memerlukan testimoni
saksi-saksi dan tidak ada keperluan untuk memanggil saksi memberi
keterangan," katanya.
Hakim Abdull Hamid juga berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan
Mahkamah Rayuan dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 18 Jan,
2012 yang membenarkan permohonan Petronas dan kerajaan persekutuan
supaya saman itu dilupuskan.
"Kami dapati tiada kesilapan salah arah di pihak hakim Mahkamah
Tinggi dan oleh itu tidak memerlukan campur tangan mahkamah (Mahkamah
Persekutuan)," kata Hakim Abdull Hamid.
Oleh itu, beliau menolak rayuan kerajaan negeri Kelantan terhadap
keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 April, 2012, yang mengekalkan
keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan kerajaan negeri membayar
RM150,000 sebagai kos kepada Petronas. Mahkamah juga menolak rayuan kerajaan negeri Kelantan berhubung penemuan dokumen berhubung saman itu.
Pada 30 Ogos 2010, kerajaan negeri Kelantan memfailkan saman
pelanggaran kontrak terhadap Petronas menuntut Petronas membayar
tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang
dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti ditetapkan dalam perjanjian
cari gali petroleum.
Kerajaan negeri Kelantan turut menuntut ganti rugi dan kos.
Bagaimanapun, ia tidak meletakkan jumlah keseluruhan yang dituntut
daripada Petronas.
Dalam saman itu, kerajaan negeri menyatakan bahawa Perjanjian
Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei, 1975, jelas menyebut
bahawa Petronas perlu membayar secara tunai lima peratus daripada hasil
minyak sama ada daripada usaha carigali di kawasan pantai atau luar
pantai.
Ia menyatakan satu perenggan daripada perjanjian itu menyebut bahawa
pembayaran hendaklah dibuat secara tunai dua kali setahun pada atau
sebelum 1 Mac dan pada atau sebelum 1 Sept.
Dalam saman itu, kerajaan negeri Kelantan menamakan Petronas sebagai
defendan tunggal. Bagaimanapun, kerajaan persekutuan berjaya dalam
permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan defendan kedua dalam
saman itu.
Peguam Tommy Thomas mewakili kerajaan negeri Kelantan manakala Tan
Sri Cecil Abraham mewakili Petronas dan peguam kanan persekutuan Suzana
Atan dan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan persekutuan.
Sumber: Bernama | 2 Jul. 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan