Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 3 Julai 2014

Alam Flora sumbang tong sisa mudah alih kepada MPKB-BRI

KOTA BHARU: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menyerahkan 320 unit tong sisa mudah alih kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sebagai suatu sumbangan khidmat sosial syarikat itu kepada penduduk setempat.

Pengurus Besar Operasi Alam Flora Darwishah Osman berkata inisiatif itu diambil bagi memastikan penduduk Kota Bharu dapat meraikan sambutan bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana alam sekitar yang lebih bersih.

"Sebanyak 70 unit tong sisa mudah alih berkapasiti 660 liter dan 250 unit berkapasiti 120 liter diserahkan untuk kegunaan dan keselesaan penduduk sekitar Kota Bharu," katanya di majlis penyerahan tong sampah dan peralatan kebersihan kepada MPKB-BRI di sini, Rabu malam.

Katanya tong sisa mudah alih itu mempunyai penutup yang mampu menghalang cairan daripada keluar sekali gus boleh mengurangkan bau busuk.

Tong berkenaan juga diperbuat daripada bahan yang kekal lama, tahan cuaca dikenali sebagai polietelina padat (HDPE) selain mempunyai jangka hayat sehingga tujuh tahun, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood menerima baik inisiatif Alam Flora itu bagi merealisasikan kempen Kelantan Bersih tahun ini.

Semalam, kerajaan negeri mengumumkan persetujuan menyerahkan pengurusan sisa pepejal di negeri ini yang sebelum ini dilakukan pihak berkuasa tempatan kepada Alam Flora.

Sumber: Bernama | 3 Jul. 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan