Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 2 Julai 2014

Kesedar bakal bangunkan 556 buah kampung tradisional

Abdul Aziz Derashid (kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 kepada seorang kakitangan Kesedar, Abdul Razak Mohd. Zain di Pusat Sivik, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini.
GUA MUSANG: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan membangunkan 556 buah kampung tradisional di kawasan selatan negeri ini bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan tersebut.

Pengerusinya, Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, pihaknya akan menumpukan perhatian untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur supaya relevan dengan perubahan zaman.

Beliau berkata, pembangunan kampung tradisional itu akan membawa perubahan dalam corak kehidupan kumpulan sasar.

"Kesedar akan terus berusaha memacu pembangunan kampung dengan melibatkan diri secara dekat dengan penduduk kampung melalui pelbagai program kemasyarakatan.

"Kita juga akan mewujudkan suasana keceriaan serta menitikberatkan kebersihan kampung tradisional, selain mengurangkan jurang politik serta menyatupadukan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2013 dan Hari Inovasi Kesedar 2014 di Pusat Sivik, di sini baru-baru ini.

APC merupakan acara tahunan yang memberi suntikan semangat kepada 547 orang kakitangan Kesedar untuk memberi perkhidmatan cemerlang kepada organisasi. Yang turut hadir, Pengurus Besar Kesedar Gua Musang, Mohd. Arshad Ismail.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menempatkan kakitangan Kesedar di kampung-kampung bagi memfokuskan perancangan serta program yang bakal dilaksanakan.

"Banyak lagi program yang bakal dimajukan oleh Kesedar bagi menggerakkan ekonomi penduduk kawasan luar bandar.

"Saya yakin perancangan harus dibuat secara teratur, daripada kita buat secara cepat tetapi gagal kerana kurangnya perancangan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 1 Jul. 2014 | Terbitan 2 Jul. 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan