Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 13 Februari 2015

Jenazah Nik Aziz disemadikan sebelah pusara bapa

KOTA BHARU: Jenazah Allahyarham bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka di sini hari ini.

Jenazah dikebumikan sekitar 11.30 pagi bersebelahan kubur bapanya Nik Mat Raja Banjar yang meninggal dunia kira-kira 40 tahun lepas.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin tertinggi PAS lain menyertai ribuan rakyat hadir mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Terdahulu, solat jenazah dilangsungkan di Masjid Pulau Melaka di sini pada 10 pagi, diimamkan Abdul Hadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di masjid itu bagi memberi penghormatan terakhir serta menyertai solat jenazah.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah adalah antara orang kenamaan yang memberi penghormatan terakhir. Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turut hadir.

Jenazah Nik Abdul diusung oleh anak-anaknya ke tanah perkuburan berkenaan. Allahyarham Nik Abdul Aziz, yang juga Murshidul Am Pas, meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka di sini pada 9.40 malam tadi.

Allahyarham Nik Abdul Aziz yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Chempaka dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, pada 8.40 malam.

Allahyarham dirawat di hospital berkenaan sejak 19 Jan lepas kerana kanser prostat dan keadaan kesihatannya kian merosot sejak Disember tahun lepas.

Sumber: BERNAMA | 13 Februari 2015

Nik Aziz: Perginya seorang pemimpin dan ulama yang dihormati

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, bukan sahaja terkenal sebagai seorang pemimpin dan tokoh ulama yang dihormati oleh pelbagai pihak, malah merupakan seorang pemimpin yang amat sederhana kehidupannya.

Bekas menteri besar Kelantan selama 22 tahun itu adalah juga merupakan pemimpin PAS yang mampu menyatukan parti-parti pembangkang - PAS, PKR dan DAP.

Nik Abdul Aziz, yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah, meninggal dunia akibat kanser prostat di kediamannya di Pulau Melaka, di sini, pada pukul 9.40 Khamis malam. Beliau berusia 84 tahun.

Walaupun dilihat tegas dalam mempertahankan kesucian Islam, Allahyarham juga memperlihatkan sikap toleransi terhadap kaum lain.

Malah telah membenarkan semua etnik di Kelantan bebas mengamalkan budaya dan agama masing-masing, serta mengisytiharkan sekitar Jalan Kebun Sultan di negeri itu sebagai 'China Town' berikutan kawasan itu sejak abad ke-17 merupakan kawasan tumpuan masyarakat peniaga Cina.

Anak kelahiran Kampung Pulau Melaka, Kubang Kerian, Allahyarham memiliki Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti Al-Azhar di Mesir yang sebelum itu mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab di universiti yang sama.

Sebelum itu, beliau pernah menuntut di Universiti Deoband, India pada 1952 dan Universiti Lahore, Pakistan pada 1957.

Allahyarham juga mampu berkomunikasi dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan Tamil.

Walaupun terlibat aktif dalam politik, tidak pernah lupa untuk menurunkan ilmunya di kuliah-kuliah subuh dan juga kuliah Jumaat serta dalam ceramah-ceramah agama, dan terkenal dengan nama gelaran 'Tuan Guru'.

Nik Abdul Aziz, yang memulakan kariernya sebagai guru agama di beberapa sekolah agama di Kelantan termasuk Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban.

Malah walaupun menjadi menteri besar sejak 1990 sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu pada 2013, beliau tidak pernah menduduki kediaman rasmi menteri besar tetapi terus tinggal di rumahnya di Kampung Pulau Melaka yang tidak banyak bezanya dengan penduduk kampung tersebut.

Tanpa pagar dan pengawal keselamatan, rumahnya sentiasa terbuka untuk orang ramai. Hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.

Allahyarham mula menjadi anggota PAS pada 1967 dan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka sejak 1990.

Beliau mula bertanding mewakili PAS pada Julai 1967 dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa) dan pada 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan DUN Semut Api (sekarang Chempaka) hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat hingga 1995 dan pada 1978 dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Pernah dituduh mengamalkan kronisme dengan melantik menantunya Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, tetapi beliau menyatakan pelantikan itu berdasarkan kelayakan pendidikan tinggi dan pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan, namun Ariffahmi akhirnya meletak jawatan.

Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Datin Tuan Sabariah Tun Ishak, Allahyarham dikurniakan 10 orang cahaya mata.

Sumber: BERNAMA | 13 Februari 2015

Isnin, 9 Februari 2015

Hakisan bukit bahayakan penduduk Orang Asli di Lojing

Add caption
GUA MUSANG: Hakisan tanah di kawasan berbukit Tanah Tinggi Lojing di sini, semakin meruncing sehingga membahayakan nyawa ratusan penduduk Orang Asli yang menetap di sekitarnya.

Malah, beberapa Orang Asli yang ditemui Bernama turut mengakui sungai di kawasan tersebut terutamanya Sungai Belatop semakin tercemar kerana dipenuhi lumpur akibat hakisan yang berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Kamal Rami berkata masalah berkenaan telah membelenggu penduduk di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lepas tanpa sebarang penyelesaian daripada pihak bertanggungjawab.

Kamal mendakwa hujan lebat yang berlaku tahun lepas tambah meruncingkan keadaan apabila ia menyebabkan hakisan semakin teruk berikutan banyak hutan ditebang tanpa kawalan.

"Kemungkinan banjir buruk yang berlaku di bandar Gua Musang (Disember lepas) juga akibat daripada penebangan hutan di Hulu Kelantan dan bukit tidak lagi mempunyai ketahanan untuk menyerap air hujan.

"Kami bersetuju dengan dakwaan beberapa menteri baru-baru ini bahawa banjir lumpur itu berpunca daripada kelemahan pihak tertentu yang terlalu banyak meluluskan tanah untuk pembangunan ladang," katanya ketika ditemui Bernama di sini, Ahad.

Beliau berharap kelulusan kawasan baharu untuk dijadikan tanah pertanian dihentikan kerana ia akan menjejaskan alam sekitar dan mencemarkan Sungai Belatop.

"Memang sungai itu sudah tidak lagi boleh digunakan penduduk Orang Asli untuk keperluan harian kerana bukan sahaja berlumpur, malah terdedah kepada racun tanaman sayur-sayuran," katanya.

Seorang penduduk, Udang Bujang, 60, berkata, setiap kali berlaku hujan lebat kebanyakan penduduk Orang Asli yang tinggal di lereng bukit dan pinggir sungai berada dalam kebimbangan.

Katanya, ini kerana sebelum ini sudah beberapa kali kediaman mereka hampir menyembah bumi akibat ditolak tanah di kawasan bukit yang terhakis.

"Ketika kejadian banjir besar baru-baru ini juga, kami semua telah bersiap sedia untuk pindah, tetapi bernasib baik kejadian hakisan tidak membabitkan kawasan penempatan," katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gua Musang Ab Aziz Yusof berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk Orang Asli kerana kampung mereka terdedah hakisan tanah bukit.

Beliau memandang serius kejadian yang berlaku namun menegaskan kerajaan pusat tidak boleh menghalang aktiviti pertanian kerana ia bukan di bawah bidang kuasa mereka.

Sumber: Bernama | 8 Februari 2015

Hatta dituduh terlibat rancang gulingkan Hadi

Antara poster yang digunakan oleh penyokong Abdul Hadi ketika berkumpul di perkarangan Pejabat Agung PAS pada Ahad. Foto: Norafifi Ehsan/The Star
KUALA LUMPUR: Krisis dalaman PAS dilihat semakin parah apabila sekumpulan ahli yang menyokong Datuk Seri Abdul Hadi Awang menuduh Ahli Jawatankuasa Pusat, Dr Hatta Ramli sebagai antara yang berkomplot untuk menggulingkan presiden parti itu.

Ketua Pemuda PAS Kuantan, Fadhli Ibrahim pada Ahad mendakwa bahawa kumpulan itu mempunyai bukti dalam bentuk paparan skrin mesej aplikasi WhatsApp yang menunjukkan Ahli Parlimen Kuala Krai itu mengeluarkan arahan supaya 'menyerang' Abdul Hadi.

Selain Hatta, beliau juga mengaitkan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu; Naib Presiden, Datuk Husam Musa; Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Nawawi Ahmad dan Ketua Penerangan Muslimat, Aiman ​​Athirah Aljundi bersekongkol untuk menjatuhkan presiden dan kepimpinan ulama.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairil Faizi Omar (kemeja putih) menerima memorandum daripada Fadhli Ibrahim (kanan).
"Kami merasakan bahawa ahli-ahli PAS perlu sedar bahawa terdapat percubaan jahat untuk menjatuhkan presiden, kepimpinan ulama dan mengambil alih PAS.

"Kami juga meminta mereka yang terlibat dalam konspirasi ini untuk meletakkan jawatan berikutan mendedahkan ini," katanya sebelum menyerahkan memorandum kepada parti itu menjelang mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat di sini.

Fadhli juga berkata beliau mempunyai salinan Akuan Berkanun (SD) untuk menyokong dakwaannya yang kemudiannya diedarkan kepada media di Pejabat Agung PAS di sini.

Mesej WhatsApp yang dilampirkan dalam SD itu mendedahkan bahawa kumpulan yang bernama 'Hawaii Five-O' berkenaan mendakwa bahawa presiden telah bersetuju untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

Terdahulu, Abdul Hadi diberikan sambutan menggalakkan oleh para penyokongnya ketika tiba untuk menghadiri mesuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Sumber: mStar Online | 8 Februari 2015

Khamis, 22 Januari 2015

RM360 juta anggaran kos baik pulih perkhidmatan kereta api di Pantai Timur

KEMAMAN: Kementerian Pengangkutan menganggarkan kos sebanyak RM360 juta diperlukan untuk membaik pulih perkhidmatan kereta api di Kelantan dan Pahang yang musnah dan rosak akibat bencana banjir baru-baru ini.

Timbalan menterinya Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata kerja baik pulih tersebut akan terbahagi kepada empat pakej dengan pakej pertama melibatkan Kuala Krai ke Kemubu, Kuala Krai ke Gua Musang (pakej kedua), Bertam Bharu ke Lipis (pakej ketiga) dan Bertam Bharu ke Kemubu (pakej keempat).

"Kita menjangkakan kerja baik pulih ini akan siap dalam tempoh 12 bulan melibatkan kerja baik pulih landasan, jambatan yang runtuh di Kemubu, stesen keretapi yang rosak serta membaiki lokomotif dan gerabak," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan banjir kepada 30 kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terengganu.

Beliau berkata ketika ini Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telahpun mempunyai peruntukan RM200 juta untuk projek fasa pertama yang perlu dipercepatkan kerja baik pulih landasan di Kuala Krai, Manek Urai, Dabong dan Kemubu kerana ia merupakan pengangkutan penting penduduk di pedalaman Kelantan selain menjadi pengangkutan utama anak-anak penduduk setempat ke sekolah.

Menurutnya beberapa penilaian semula akan dibuat melibatkan jarak landasan sepanjang 250 kilometer di kawasan terjejas banjir di kedua-dua negeri berkenaan sebelum mendapatkan peruntukan tambahan.

Katanya, KTMB juga akan menaik taraf landasan yang berisiko dilanda banjir, diancam kejadian tanah mendap dan tanah runtuh melalui pembinaan tapak landasan yang lebih kukuh.

"Perkhidmatan kereta api ini bukan sahaja untuk kegunaan membawa penumpang, malah juga pengangkutan untuk kargo kerana ia lebih murah untuk Pantai Timur," katanya.

Sumber: Bernama 
| 22 Januari 2015

Larangan bina semula rumah di kawasan setinggan di Gua Musang

Suasana perkampungan setinggan Kampung Kundur di tebing Sungai Galas, Gua Musang.
GUA MUSANG: Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang melarang mangsa banjir di kawasan setinggan sekitar bandar ini membina semula rumah yang hanyut atau rosak akibat bencana itu bulan lepas, di kawasan berkenaan.

Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusoff berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang membina semula rumah di kawasan berkenaan.

Pihaknya akan memantau semua kawasan setinggan terbabit termasuk Jalan Sungai China, Kampung Tiong, Kampung Baru Hilir, Kampung Baru Hulu, Jalan Kesedar Inn, Kampung Nerang, Kampung Kundur dan Kampung Kerinting, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya, ini bagi menjaga keselamatan penduduk daripada terus berdepan dengan risiko kejadian banjir musim tengkujuh pada masa depan.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang berkata mangsa banjir yang kehilangan rumah itu boleh tinggal di penempatan sementara disediakan kerajaan.

Kerajaan negeri kini dalam proses menyediakan tapak bagi pembinaan rumah kekal di samping menempatkan mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Persiaran Raya di bandar ini.

Sumber: mStar Online | 19 Januari 2015

Kawasan seluas 460 hektar untuk bina rumah mangsa banjir di Kuala Krai dan Gua Musang

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengenal pasti kawasan seluas 460 hektar di Kuala Krai dan Gua Musang bagi pembinaan rumah kekal untuk mangsa banjir yang kehilangan kediaman akibat bencana itu bulan lepas.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 360 hektar tanah dikenal pasti di Kuala Krai manakala 100 hektar lagi di Gua Musang.

Kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan akan membina rumah kekal berkenaan di kawasan itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini. 

Menurutnya, perkara itu dipersetujui oleh kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan pada mesyuarat khas pelan tindakan pasca banjir yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya semalam.

Kerajaan Pusat mengumumkan dua model rumah setingkat tiga bilik bernilai RM48,000 seunit bagi pembinaan semula rumah mangsa banjir yang musnah sepenuhnya. 

Muhyiddin berkata, rumah berkeluasan 660 kaki persegi itu menggunakan kaedah binaan terus di atas tanah dan binaan di atas tiang setinggi lapan kaki dari aras tanah. Rumah itu mempunyai tiga bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, satu tandas dan satu bilik mandi. 

Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan Kelantan akan membina 600 unit rumah kekal itu melalui dana yang disumbangkan pelbagai pihak di kawasan berkenaan manakala bakinya akan dibina kerajaan Pusat. 

"Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan membiayai pembinaan 300 unit rumah manakala selebihnya daripada dana," katanya. 

Menurutnya mangsa yang sebelum ini mendiami tanah rizab sungai tidak akan dibenarkan membina rumah di kawasan terbabit. 

Beliau juga berkata, kerajaan Pusat bersetuju memberi bantuan antara RM5,000 dan RM10,000 kepada mangsa yang mengalami kerosakan rumah. 

Sumber: Bernama | 21 Januari 2015