Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 13 Februari 2015

Nik Aziz: Perginya seorang pemimpin dan ulama yang dihormati

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, bukan sahaja terkenal sebagai seorang pemimpin dan tokoh ulama yang dihormati oleh pelbagai pihak, malah merupakan seorang pemimpin yang amat sederhana kehidupannya.

Bekas menteri besar Kelantan selama 22 tahun itu adalah juga merupakan pemimpin PAS yang mampu menyatukan parti-parti pembangkang - PAS, PKR dan DAP.

Nik Abdul Aziz, yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah, meninggal dunia akibat kanser prostat di kediamannya di Pulau Melaka, di sini, pada pukul 9.40 Khamis malam. Beliau berusia 84 tahun.

Walaupun dilihat tegas dalam mempertahankan kesucian Islam, Allahyarham juga memperlihatkan sikap toleransi terhadap kaum lain.

Malah telah membenarkan semua etnik di Kelantan bebas mengamalkan budaya dan agama masing-masing, serta mengisytiharkan sekitar Jalan Kebun Sultan di negeri itu sebagai 'China Town' berikutan kawasan itu sejak abad ke-17 merupakan kawasan tumpuan masyarakat peniaga Cina.

Anak kelahiran Kampung Pulau Melaka, Kubang Kerian, Allahyarham memiliki Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti Al-Azhar di Mesir yang sebelum itu mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab di universiti yang sama.

Sebelum itu, beliau pernah menuntut di Universiti Deoband, India pada 1952 dan Universiti Lahore, Pakistan pada 1957.

Allahyarham juga mampu berkomunikasi dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan Tamil.

Walaupun terlibat aktif dalam politik, tidak pernah lupa untuk menurunkan ilmunya di kuliah-kuliah subuh dan juga kuliah Jumaat serta dalam ceramah-ceramah agama, dan terkenal dengan nama gelaran 'Tuan Guru'.

Nik Abdul Aziz, yang memulakan kariernya sebagai guru agama di beberapa sekolah agama di Kelantan termasuk Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban.

Malah walaupun menjadi menteri besar sejak 1990 sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu pada 2013, beliau tidak pernah menduduki kediaman rasmi menteri besar tetapi terus tinggal di rumahnya di Kampung Pulau Melaka yang tidak banyak bezanya dengan penduduk kampung tersebut.

Tanpa pagar dan pengawal keselamatan, rumahnya sentiasa terbuka untuk orang ramai. Hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.

Allahyarham mula menjadi anggota PAS pada 1967 dan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka sejak 1990.

Beliau mula bertanding mewakili PAS pada Julai 1967 dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa) dan pada 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan DUN Semut Api (sekarang Chempaka) hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat hingga 1995 dan pada 1978 dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Pernah dituduh mengamalkan kronisme dengan melantik menantunya Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, tetapi beliau menyatakan pelantikan itu berdasarkan kelayakan pendidikan tinggi dan pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan, namun Ariffahmi akhirnya meletak jawatan.

Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Datin Tuan Sabariah Tun Ishak, Allahyarham dikurniakan 10 orang cahaya mata.

Sumber: BERNAMA | 13 Februari 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan