Add caption |
GUA MUSANG: Hakisan tanah di kawasan berbukit Tanah
Tinggi Lojing di sini, semakin meruncing sehingga membahayakan nyawa
ratusan penduduk Orang Asli yang menetap di sekitarnya.
Malah, beberapa Orang Asli yang ditemui Bernama turut mengakui sungai
di kawasan tersebut terutamanya Sungai Belatop semakin tercemar kerana
dipenuhi lumpur akibat hakisan yang berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli
(JKKKOA) Kamal Rami berkata masalah berkenaan telah membelenggu penduduk
di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lepas tanpa sebarang
penyelesaian daripada pihak bertanggungjawab.
Kamal mendakwa hujan lebat yang berlaku tahun lepas tambah
meruncingkan keadaan apabila ia menyebabkan hakisan semakin teruk
berikutan banyak hutan ditebang tanpa kawalan.
"Kemungkinan banjir buruk yang berlaku di bandar Gua Musang (Disember
lepas) juga akibat daripada penebangan hutan di Hulu Kelantan dan bukit
tidak lagi mempunyai ketahanan untuk menyerap air hujan.
"Kami bersetuju dengan dakwaan beberapa menteri baru-baru ini bahawa
banjir lumpur itu berpunca daripada kelemahan pihak tertentu yang
terlalu banyak meluluskan tanah untuk pembangunan ladang," katanya
ketika ditemui Bernama di sini, Ahad.
Beliau berharap kelulusan kawasan baharu untuk dijadikan tanah
pertanian dihentikan kerana ia akan menjejaskan alam sekitar dan
mencemarkan Sungai Belatop.
"Memang sungai itu sudah tidak lagi boleh digunakan penduduk Orang
Asli untuk keperluan harian kerana bukan sahaja berlumpur, malah
terdedah kepada racun tanaman sayur-sayuran," katanya.
Seorang penduduk, Udang Bujang, 60, berkata, setiap kali berlaku
hujan lebat kebanyakan penduduk Orang Asli yang tinggal di lereng bukit
dan pinggir sungai berada dalam kebimbangan.
Katanya, ini kerana sebelum ini sudah beberapa kali kediaman mereka
hampir menyembah bumi akibat ditolak tanah di kawasan bukit yang
terhakis.
"Ketika kejadian banjir besar baru-baru ini juga, kami semua telah
bersiap sedia untuk pindah, tetapi bernasib baik kejadian hakisan tidak
membabitkan kawasan penempatan," katanya.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gua Musang Ab
Aziz Yusof berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk
Orang Asli kerana kampung mereka terdedah hakisan tanah bukit.
Beliau memandang serius kejadian yang berlaku namun menegaskan
kerajaan pusat tidak boleh menghalang aktiviti pertanian kerana ia bukan
di bawah bidang kuasa mereka.
Sumber: Bernama | 8 Februari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan