Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 28 Februari 2015

Agihan wang ihsan banjir di Kelantan dijangka selesai pertengahan Mac

KUALA KRAI: Pengagihan wang ihsan kepada semua 77,000 keluarga mangsa banjir di Kelantan dijangka selesai pertengahan bulan depan, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Beliau berkata setakat ini kira-kira 10,000 keluarga di Parlimen Jeli dan Tanah Merah sudah menerima wang ihsan RM500 bagi setiap keluarga.

"Pengagihan dibuat mengikut kawasan parlimen dan kita berharap mereka (mangsa) yang belum mendapatnya bersabar kerana kita sedang mengagihkan bantuan itu secepat mungkin," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) Pasca Banjir di Dataran Chintawangsa di sini, Sabtu.

Program dirasmikan Pengarah Unit Strategi Nasional Perbendaharaan, Datuk Dr Sundaran Annamalai itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Makhtar berkata keluarga mangsa banjir yang nama tidak disenaraikan sebagai penerima bantuan wang ihsan boleh membuat rayuan kepada Jawatankuasa Banjir Negeri Kelantan.

Mengenai pembinaan rumah kekal kepada mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana itu, Makhtar berkata 1,827 rumah disahkan musnah sepenuhnya dan kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri telah memulakan pembinaan rumah tersebut.

Beliau berkata setakat ini 77 rumah kekal sedang dibina dan mangsa berkenaan kini mendiami rumah sementara atau khemah.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan tanah seluas 24 hektar di Chenulang, Kuala Krai untuk pembinaan 480 rumah kekal kepada mangsa yang tidak mempunyai tanah sendiri untuk didirikan rumah kerana mereka sebelum ini tinggal di tanah rizab kerajaan atau milik Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Beliau berkata kawasan penempatan baharu itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pusat komuniti dan premis perniagaan.

Sumber: BERNAMA | 28 Februari 2015

Jumaat, 27 Februari 2015

Bantah penutupan Hentian Bas Greenwood berkuat kuasa 8 Mac 2015

Operasi mengambil dan menurunkan penumpang masih berjalan seperti biasa di hentian sementara di Greenwood, Gombak, Selangor sebelum penutupan operasi pada 8 Mac ini. 
KUALA LUMPUR: Selepas operasi bas ekspres di Hentian Putra ditamat dan diarahkan berpindah ke Termi­nal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan pada 1 Di­sember tahun lalu, kini nasib sama menimpa pengendali bas ekspres di hentian sementara di Greenwood, Gombak.

Pengarah Urusan Darul Naim Express Sdn. Bhd., Abdul Halim Mohamed berkata, arahan penutupan operasi oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa pada 8 Mac ini benar-benar menyusahkan orang ra­mai terutama pengguna yang tinggal di kawasan berhampiran.

Menurutnya, kawasan itu telah dijadikan hentian sementara bagi mengambil dan menurunkan penumpang yang mahu ke Pantai Timur sejak 20 tahun lalu.

“Sepanjang tempoh itu segala-galanya berjalan lancar dan tiada sebarang rungutan atau aduan diterima pengguna apatah lagi penduduk berhubung kesesakan atau gangguan lalu lintas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia se­lepas mengetuai kempen mengumpul tandatangan orang ramai sebagai sokongan bantahan di hentian sementara itu, hari ini.

Dalam masa sama, Abdul Halim turut mempersoalkan tindakan SPAD yang disifatkan pilih kasih. “Mengapa SPAD hanya mengambil tindakan terhadap operasi bas ekspres ke Pantai Timur sahaja, sebaliknya tidak kepada pengendali bas ekspres ke Selatan.

“Jelas sekali pengendali mengambil dan menurunkan penumpang di tengah-tengah bandar raya yang sudah tentu menimbulkan kesesakan lalu lintas.

“Sebagai contoh berhampiran pusat beli-belah Berjaya Times Square, Hotel Corus, One Utama, Bangsar dan di Stesen Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB),” katanya.

Beliau berkata, kempen mengumpul tandatangan itu akan diadakan selama dua hari bermula hari ini. “Sebanyak 800 tandatangan berjaya dikumpulkan pada hari ini.

“Memorandum yang mengandungi tandatangan pengguna dan pengendali bas ekspres itu akan dihantar kepada pihak SPAD bagi mendesak agar arahan berpindah pada Mac ini dibatalkan,” katanya.

“Kami berharap pihak bertang­gungjawab mendengar suara rak­yat yang menjadi pengguna perkhidmatan ini sekali gus mengutamakan kehendak pengguna demi kemudahan dan kebaikan ber­sama,” katanya.

Sementara itu seorang pengguna, Roslilah Hassan, 48,berkata, dakwaan SPAD yang kononnya operasi bas ekspres ke Pantai Timur menjadi punca kesesakan lalu lintas di kawasan itu adalah tidak benar.

“Operasi menurun dan me­ngambil penumpang hanya dila­kukan selepas pukul 10 pagi dan 10 malam. “Saya berharap pihak SPAD dapat mempertimbangkan semula arahan yang dibuat demi rakyat,” katanya.

Perasaan sama turut diluah Mac Lim Ann Liang, 48,. Katanya, penutupan operasi di hentian sementara itu lebih men­da­tangkan kesulitan berban­ding kemudahan kepada pengguna.

“Adalah menyusahkan teruta­ma penduduk sekitar Gombak yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres ke Pantai Timur untuk ke TBS,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | 23 Februari 2015

Para pegawai yakin draf pasca-2015 ASEAN selesai pertengahan tahun ini

KOTA BHARU: Para pegawai kanan ASEAN melahirkan keyakinan draf Pelan dan Visi Ekonomi Pasca-2015 akan selesai pada pertengahan tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohd Rizal Sheriff berkata draf itu akan menghasilkan pelan baharu dan berani untuk menggerakkan hala tuju bagi penyepaduan serantau yang lebih kukuh untuk tempoh 2016 - 2025.

Bercakap kepada pemberita di luar Mesyuarat Ke-8 Pasukan Petugas Khas Peringkat Tinggi mengenai Penyepaduan Ekonomi ASEAN di sini, Jumaat, beliau berkata perbincangan tentang persediaan draf itu sedang berjalan lancar dan mendapat komitmen tinggi daripada 10 negara anggota.

"Mesyuarat tersebut telah berlangsung selama hampir setahun sekarang dan kami amat yakin tentang 10 tahun akan datang.

"Kami berharap dokumen draf akhir akan dapat disediakan bagi penelitian dalaman sebelum ia diumumkan oleh para pemimpin pada November," katanya.

Mohd Rizal, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata walaupun dokumen draf itu hampir siap, ia akan diteliti secara menyeluruh oleh pelbagai kumpulan sektor, sebagai contoh, penerbangan dan pengangkutan.

"Cabaran kami semasa mesyuarat itu ialah berkaitan jumlah pelan yang kami ada. Kami melihat pendekatan berasaskan sepersetujuan dalam kalangan 10 negara anggota," katanya.

Mesyuarat pasukan petugas khas peringkat tinggi selama tiga hari ini diadakan di sini bermula hari ini bersempena dengan Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-21.

Negara anggota ASEAN terdiri dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN dari Myanmar pada 1 Jan, 2015.

Sumber: BERNAMA | 27 Februari 2015

Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN akan tumpu peringkat akhir pelaksanaan AEC

KOTA BHARU: Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-21 selama dua hari yang bermula esok, menjadi platform rundingan yang antara lainnya membincangkan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) serta usaha memperluaskan penyepaduan pasaran dalam gagasan itu bagi tempoh melangkaui 2015.

Gagasan ASEAN atau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Justeru, penganjuran pemukiman itu dilihat amat tepat pada masanya serta penting ketika perkumpulan atau gagasan serantau 10 anggota itu yang tanpa mengira penat lelah, berusaha sedaya upaya bagi merealisasikan AEC - teras utama bagi kewujudan Komuniti ASEAN.

Para menteri itu juga dijangka mempertimbang dan mengemukakan panduan mengenai usaha merangka Pelan dan Visi Ekonomi Pasca 2015 untuk ASEAN.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengetuai delegasi Malaysia di acara pemukiman yang diadakan di Hotel Renaissance, di sini.

AEC yang dijadual dilaksanakan menjelang 31 Dis, 2015, bermatlamatkan pembentukan satu pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran di rantau ini bagi memacu pertumbuhan dan kemakmuran ASEAN.

Pemukiman tahunan itu bersandarkan objektif bagi membolehkan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN menilai serta memperincikan pencapaian keseluruhan penyepaduan serantau selain mempertimbang dan membincangkan kemungkinan inisiatif-inisiatif baharu.

Namun, pemukiman tahun ini dilihat sebagai kritikal kerana para menteri-menteri ekonomi ASEAN akan memberi tumpuan memastikan kesemua langkah teras penyepaduan ekonomi yang digariskan dalam Pelan Induk AEC, dapat direalisasikan.

Inilah antara tugas penting digalas kalangan menteri berkenaan ketika berdepan jangkaan pihak berkepentingan bahawa ASEAN akan mengeluarkan pelan baharu serta berani pada akhir tahun ini yang menetapkan hala tuju penyepaduan serantau yang lebih mendalam bagi dekad akan datang.

Saranan sektor swasta dan kebimbangan berhubung pertambahan sekatan bukan tarif dalam perdagangan di rantau itu, turut menjadi antara agenda utama yang bakal dibincangkan barisan menteri berkenaan.

Esok, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, dijadual membuat pembentangan bagi menggalakkan lagi pelaburan merentasi sempadan di ASEAN, manakala Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN pula akan memberi taklimat kepada delegasi menteri mengenai maklum balas sektor swasta terhadap AEC.

Acara pemukiman itu akan diteruskan dengan Mesyuarat Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Kumpulan Kerja Penyepaduan Ekonomi ASEAN mengenai Visi Ekonomi Pasca 2015 dan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi.

Selaku pengerusi dan hos, Mustapa akan memanfaatkan peluang yang ada untuk meraih sokongan negara anggota lain ASEAN bagi acara sampingan di Malaysia termasuk Persidangan Pemulihan Kawal Selia Asia Tenggara (9-12 Mac, 2015); Persidangan dan Pameran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ASEAN 2015 (26-28 Mei 2015); Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (November 2015) dan sidang kemuncak berkaitan belia dan usahawan muda.

Semua menteri ekonomi ASEAN menghadiri pemukiman berkenaan iaitu Pehin Dato Lim Jock Seng (Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negara dan Perdagangan Brunei Darussalam); Sun Chantol (Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Kemboja); Rachmat Gobel (Menteri Perdagangan Indonesia); Khemmani Pholsena (Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos); Dr Kan Zaw (Menteri Perancangan Kebangsaan dan Pembangunan Ekonomi Myanmar); Gregory L Domingo (Setiausaha Perdagangan dan Perindustrian Filipina); Lim Hng Kiang (Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura); Jeneral Chatchai Sarikalya (Menteri Perdagangan Thailand) dan Dr Vu Huy Hoang (Menteri Perdagangan dan Perindustrian Vietnam).

Hadir sama, Setiausaha Agung ASEAN Le Luong Minh.

Menteri-menteri berkenaan turut dijadualkan melawat Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan serta Zon Bebas Cukai di Rantau Panjang bagi melihat sendiri prosedur di sempadan yang merangkumi aspek pergerakan barangan, kenderaan dan orang ramai merentasi sempadan serta isu lain yang berkaitan.

Secara keseluruhannya, ada seramai 200 delegasi daripada 10 negara anggota Asia Tenggara yang mewakili gabungan penduduk lebih 600 juta orang, dijangka menghadiri Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan mesyuarat persediaan lainnya, bermula 28 Feb hingga 1 Mac ini.

Visi atau wawasan Malaysia sepanjang tempoh menduduki kerusi pengerusi yang bertemakan 'Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita,' adalah pembentukan ASEAN yang berpaksikan rakyat dan merangkumi semua sektor masyarakat dalam aktiviti gagasan berkenaan.

Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada 1 Jan lepas, daripada Myanmar.

Sumber: BERNAMA | 27 Februari 2015

Imigresen Kelantan tahan 314 PATI sejak awal Januari

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan menahan 314 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam beberapa operasi yang dijalankan di seluruh Kelantan sejak awal bulan lepas.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan Hamid Abdul Rahman berkata mereka yang ditahan berumur antara 17 dan 50 tahun termasuk warga Myanmar dan Indonesia.

"Warga asing yang ditahan kebanyakannya melakukan kesalahan seperti tidak mempunyai pas masuk yang sah dan juga tinggal lebih masa.

"Ada juga yang menyalahgunakan pas kerja sementara dengan bekerja di sektor lain, contohnya mereka mendapat pas untuk bekerja dalam sektor pertanian tetapi bekerja di sektor lain," katanya dalam sidang media di sini Khamis.

Beliau berkata operasi untuk membanteras lambakan warga asing di negeri ini akan dijalankan dari masa ke semasa.

Dalam perkembangan terbaru, beliau berkata pihaknya menahan 19 warga asing dalam operasi bersama Jabatan Pendaftaran Kelantan di Pasir Puteh, Bachok dan di sini, hari ini.

"Dalam operasi yang bermula pukul 9 malam semalam dan berakhir 4 pagi tadi, kita tahan 19 lelaki warga Pakistan berumur 22 dan 55 tahun kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tinggal lebih masa.

"Pihak kami akan mencari majikan yang membawa masuk warga asing ini ke dalam negara untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya kesemua PATI yang ditahan akan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.

Sumber: BERNAMA | 26 Februari 2015

Kelantan terima pelaburan kilang simen bernilai RM1.3 bilion

Foto ihsan: Facebook Datuk Ahmad Yakob (Menteri Besar Kelantan)
GUA MUSANG: Kelantan menerima pelaburan bernilai RM1.3 bilion menerusi pembinaan sebuah kilang simen di Chiku 8, di sini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pelaburan syarikat ASN Sdn Bhd itu dijangka memberi manfaat besar kepada ekonomi masyarakat setempat.

Kilang yang akan dibangun di atas tanah berkeluasan 100 hektar itu dijangka menggaji 1,000 pekerja apabila siap dalam tempoh dua tahun lagi, katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah kilang berkenaan, hari ini.

Katanya pembinaan kilang itu juga dijangka menjana pertumbuhan di kawasan berkenaan.

Sumber: BERNAMA | 25 Februari 2015

Fenomena ombak beku melanda pantai timur Amerika

Ombak pun turut beku di pantai timur Amerika Syarikat Rabu lalu. Menurut nelayan tempatan inilah pertama kalinya mereka melihat fenomena sedemikian rupa.
NANTUCKET (AS): Ini bukan alunan ombak rindu tetapi ombak beku. Fenomena yang jarang-jarang dilihat ini telah dirakamkan oleh seorang peluncur, Jonathan Nimerfroh di pantai Nantucket, Massachusetts, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Februari telah mencatatkan suhu paling sejuk melanda pantai timur Amerika Syarikat sejak beberapa tahun ini.

Bagaimanapun, di daerah ini, suhu menjadi tersangat sejuk sehingga ombak pun telah mula membeku.

Ia adalah fenomena yang jarang-jarang berlaku tetapi ombak beku yang digelar 'slurpee waves' ini telah berjaya dirakamkan oleh Nimerfroh.

Nimerfroh yang ke pantai untuk bermain luncur ombak sebaliknya dia melihat di ufuk pantai fenomena pelik iaitu ombak yang membeku.

Nimerfroh kemudiannya memuatnaik gambar yang diambilnya itu dalam laman Instagramnya pada Rabu.

Pada keesokan harinya, dia sekali lagi ke pantai yang sama dan mendapati ombak yang membeku itu masih berada di situ.

Dia kemudiannya bertanya kepada para nelayan tempatan dan mereka berkata, inilah pertama kalinya mereka melihat fenomena ombak beku.

Sumber: mStar Online | 27 Februari 2015