Operasi mengambil dan menurunkan penumpang masih berjalan seperti biasa di hentian sementara di Greenwood, Gombak, Selangor sebelum penutupan operasi pada 8 Mac ini. |
KUALA LUMPUR: Selepas operasi bas ekspres di Hentian Putra ditamat dan diarahkan berpindah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan pada 1 Disember tahun lalu, kini nasib sama menimpa pengendali bas ekspres di hentian sementara di Greenwood, Gombak.
Pengarah Urusan Darul Naim Express Sdn. Bhd., Abdul Halim Mohamed berkata, arahan penutupan operasi oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa pada 8 Mac ini benar-benar menyusahkan orang ramai terutama pengguna yang tinggal di kawasan berhampiran.
Menurutnya, kawasan itu telah dijadikan hentian sementara bagi mengambil dan menurunkan penumpang yang mahu ke Pantai Timur sejak 20 tahun lalu.
“Sepanjang tempoh itu segala-galanya berjalan lancar dan tiada sebarang rungutan atau aduan diterima pengguna apatah lagi penduduk berhubung kesesakan atau gangguan lalu lintas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas mengetuai kempen mengumpul tandatangan orang ramai sebagai sokongan bantahan di hentian sementara itu, hari ini.
Dalam masa sama, Abdul Halim turut mempersoalkan tindakan SPAD yang disifatkan pilih kasih. “Mengapa SPAD hanya mengambil tindakan terhadap operasi bas ekspres ke Pantai Timur sahaja, sebaliknya tidak kepada pengendali bas ekspres ke Selatan.
“Jelas sekali pengendali mengambil dan menurunkan penumpang di tengah-tengah bandar raya yang sudah tentu menimbulkan kesesakan lalu lintas.
“Sebagai contoh berhampiran pusat beli-belah Berjaya Times Square, Hotel Corus, One Utama, Bangsar dan di Stesen Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB),” katanya.
Beliau berkata, kempen mengumpul tandatangan itu akan diadakan selama dua hari bermula hari ini. “Sebanyak 800 tandatangan berjaya dikumpulkan pada hari ini.
“Memorandum yang mengandungi tandatangan pengguna dan pengendali bas ekspres itu akan dihantar kepada pihak SPAD bagi mendesak agar arahan berpindah pada Mac ini dibatalkan,” katanya.
“Kami berharap pihak bertanggungjawab mendengar suara rakyat yang menjadi pengguna perkhidmatan ini sekali gus mengutamakan kehendak pengguna demi kemudahan dan kebaikan bersama,” katanya.
Sementara itu seorang pengguna, Roslilah Hassan, 48,berkata, dakwaan SPAD yang kononnya operasi bas ekspres ke Pantai Timur menjadi punca kesesakan lalu lintas di kawasan itu adalah tidak benar.
“Operasi menurun dan mengambil penumpang hanya dilakukan selepas pukul 10 pagi dan 10 malam. “Saya berharap pihak SPAD dapat mempertimbangkan semula arahan yang dibuat demi rakyat,” katanya.
Perasaan sama turut diluah Mac Lim Ann Liang, 48,. Katanya, penutupan operasi di hentian sementara itu lebih mendatangkan kesulitan berbanding kemudahan kepada pengguna.
“Adalah menyusahkan terutama penduduk sekitar Gombak yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres ke Pantai Timur untuk ke TBS,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | 23 Februari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan