KOTA BHARU: Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-21 selama dua hari yang bermula esok, menjadi platform rundingan yang antara lainnya membincangkan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) serta usaha memperluaskan penyepaduan pasaran dalam gagasan itu bagi tempoh melangkaui 2015.
Gagasan ASEAN atau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Justeru, penganjuran pemukiman itu dilihat amat tepat pada masanya serta penting ketika perkumpulan atau gagasan serantau 10 anggota itu yang tanpa mengira penat lelah, berusaha sedaya upaya bagi merealisasikan AEC - teras utama bagi kewujudan Komuniti ASEAN.
Para menteri itu juga dijangka mempertimbang dan mengemukakan panduan mengenai usaha merangka Pelan dan Visi Ekonomi Pasca 2015 untuk ASEAN.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengetuai delegasi Malaysia di acara pemukiman yang diadakan di Hotel Renaissance, di sini.
AEC yang dijadual dilaksanakan menjelang 31 Dis, 2015, bermatlamatkan pembentukan satu pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran di rantau ini bagi memacu pertumbuhan dan kemakmuran ASEAN.
Pemukiman tahunan itu bersandarkan objektif bagi membolehkan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN menilai serta memperincikan pencapaian keseluruhan penyepaduan serantau selain mempertimbang dan membincangkan kemungkinan inisiatif-inisiatif baharu.
Namun, pemukiman tahun ini dilihat sebagai kritikal kerana para menteri-menteri ekonomi ASEAN akan memberi tumpuan memastikan kesemua langkah teras penyepaduan ekonomi yang digariskan dalam Pelan Induk AEC, dapat direalisasikan.
Inilah antara tugas penting digalas kalangan menteri berkenaan ketika berdepan jangkaan pihak berkepentingan bahawa ASEAN akan mengeluarkan pelan baharu serta berani pada akhir tahun ini yang menetapkan hala tuju penyepaduan serantau yang lebih mendalam bagi dekad akan datang.
Saranan sektor swasta dan kebimbangan berhubung pertambahan sekatan bukan tarif dalam perdagangan di rantau itu, turut menjadi antara agenda utama yang bakal dibincangkan barisan menteri berkenaan.
Esok, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, dijadual membuat pembentangan bagi menggalakkan lagi pelaburan merentasi sempadan di ASEAN, manakala Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN pula akan memberi taklimat kepada delegasi menteri mengenai maklum balas sektor swasta terhadap AEC.
Acara pemukiman itu akan diteruskan dengan Mesyuarat Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Kumpulan Kerja Penyepaduan Ekonomi ASEAN mengenai Visi Ekonomi Pasca 2015 dan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi.
Selaku pengerusi dan hos, Mustapa akan memanfaatkan peluang yang ada untuk meraih sokongan negara anggota lain ASEAN bagi acara sampingan di Malaysia termasuk Persidangan Pemulihan Kawal Selia Asia Tenggara (9-12 Mac, 2015); Persidangan dan Pameran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ASEAN 2015 (26-28 Mei 2015); Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (November 2015) dan sidang kemuncak berkaitan belia dan usahawan muda.
Semua menteri ekonomi ASEAN menghadiri pemukiman berkenaan iaitu Pehin Dato Lim Jock Seng (Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negara dan Perdagangan Brunei Darussalam); Sun Chantol (Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Kemboja); Rachmat Gobel (Menteri Perdagangan Indonesia); Khemmani Pholsena (Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos); Dr Kan Zaw (Menteri Perancangan Kebangsaan dan Pembangunan Ekonomi Myanmar); Gregory L Domingo (Setiausaha Perdagangan dan Perindustrian Filipina); Lim Hng Kiang (Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura); Jeneral Chatchai Sarikalya (Menteri Perdagangan Thailand) dan Dr Vu Huy Hoang (Menteri Perdagangan dan Perindustrian Vietnam).
Hadir sama, Setiausaha Agung ASEAN Le Luong Minh.
Menteri-menteri berkenaan turut dijadualkan melawat Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan serta Zon Bebas Cukai di Rantau Panjang bagi melihat sendiri prosedur di sempadan yang merangkumi aspek pergerakan barangan, kenderaan dan orang ramai merentasi sempadan serta isu lain yang berkaitan.
Secara keseluruhannya, ada seramai 200 delegasi daripada 10 negara anggota Asia Tenggara yang mewakili gabungan penduduk lebih 600 juta orang, dijangka menghadiri Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan mesyuarat persediaan lainnya, bermula 28 Feb hingga 1 Mac ini.
Visi atau wawasan Malaysia sepanjang tempoh menduduki kerusi pengerusi yang bertemakan 'Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita,' adalah pembentukan ASEAN yang berpaksikan rakyat dan merangkumi semua sektor masyarakat dalam aktiviti gagasan berkenaan.
Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada 1 Jan lepas, daripada Myanmar.
Sumber: BERNAMA | 27 Februari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan