KOTA BHARU: Para pegawai kanan ASEAN melahirkan keyakinan draf Pelan dan Visi Ekonomi Pasca-2015 akan selesai pada pertengahan tahun ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohd Rizal Sheriff berkata draf itu akan menghasilkan pelan baharu dan berani untuk menggerakkan hala tuju bagi penyepaduan serantau yang lebih kukuh untuk tempoh 2016 - 2025.
Bercakap kepada pemberita di luar Mesyuarat Ke-8 Pasukan Petugas Khas Peringkat Tinggi mengenai Penyepaduan Ekonomi ASEAN di sini, Jumaat, beliau berkata perbincangan tentang persediaan draf itu sedang berjalan lancar dan mendapat komitmen tinggi daripada 10 negara anggota.
"Mesyuarat tersebut telah berlangsung selama hampir setahun sekarang dan kami amat yakin tentang 10 tahun akan datang.
"Kami berharap dokumen draf akhir akan dapat disediakan bagi penelitian dalaman sebelum ia diumumkan oleh para pemimpin pada November," katanya.
Mohd Rizal, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata walaupun dokumen draf itu hampir siap, ia akan diteliti secara menyeluruh oleh pelbagai kumpulan sektor, sebagai contoh, penerbangan dan pengangkutan.
"Cabaran kami semasa mesyuarat itu ialah berkaitan jumlah pelan yang kami ada. Kami melihat pendekatan berasaskan sepersetujuan dalam kalangan 10 negara anggota," katanya.
Mesyuarat pasukan petugas khas peringkat tinggi selama tiga hari ini diadakan di sini bermula hari ini bersempena dengan Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-21.
Negara anggota ASEAN terdiri dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia.
Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN dari Myanmar pada 1 Jan, 2015.
Sumber: BERNAMA | 27 Februari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan