KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan menahan 314 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam beberapa operasi yang dijalankan di seluruh Kelantan sejak awal bulan lepas.
Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan Hamid Abdul Rahman berkata mereka yang ditahan berumur antara 17 dan 50 tahun termasuk warga Myanmar dan Indonesia.
"Warga asing yang ditahan kebanyakannya melakukan kesalahan seperti tidak mempunyai pas masuk yang sah dan juga tinggal lebih masa.
"Ada juga yang menyalahgunakan pas kerja sementara dengan bekerja di sektor lain, contohnya mereka mendapat pas untuk bekerja dalam sektor pertanian tetapi bekerja di sektor lain," katanya dalam sidang media di sini Khamis.
Beliau berkata operasi untuk membanteras lambakan warga asing di negeri ini akan dijalankan dari masa ke semasa.
Dalam perkembangan terbaru, beliau berkata pihaknya menahan 19 warga asing dalam operasi bersama Jabatan Pendaftaran Kelantan di Pasir Puteh, Bachok dan di sini, hari ini.
"Dalam operasi yang bermula pukul 9 malam semalam dan berakhir 4 pagi tadi, kita tahan 19 lelaki warga Pakistan berumur 22 dan 55 tahun kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tinggal lebih masa.
"Pihak kami akan mencari majikan yang membawa masuk warga asing ini ke dalam negara untuk tindakan lanjut," katanya.
Katanya kesemua PATI yang ditahan akan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
Sumber: BERNAMA | 26 Februari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan