Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 28 Februari 2015

Agihan wang ihsan banjir di Kelantan dijangka selesai pertengahan Mac

KUALA KRAI: Pengagihan wang ihsan kepada semua 77,000 keluarga mangsa banjir di Kelantan dijangka selesai pertengahan bulan depan, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Beliau berkata setakat ini kira-kira 10,000 keluarga di Parlimen Jeli dan Tanah Merah sudah menerima wang ihsan RM500 bagi setiap keluarga.

"Pengagihan dibuat mengikut kawasan parlimen dan kita berharap mereka (mangsa) yang belum mendapatnya bersabar kerana kita sedang mengagihkan bantuan itu secepat mungkin," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) Pasca Banjir di Dataran Chintawangsa di sini, Sabtu.

Program dirasmikan Pengarah Unit Strategi Nasional Perbendaharaan, Datuk Dr Sundaran Annamalai itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Makhtar berkata keluarga mangsa banjir yang nama tidak disenaraikan sebagai penerima bantuan wang ihsan boleh membuat rayuan kepada Jawatankuasa Banjir Negeri Kelantan.

Mengenai pembinaan rumah kekal kepada mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana itu, Makhtar berkata 1,827 rumah disahkan musnah sepenuhnya dan kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri telah memulakan pembinaan rumah tersebut.

Beliau berkata setakat ini 77 rumah kekal sedang dibina dan mangsa berkenaan kini mendiami rumah sementara atau khemah.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan tanah seluas 24 hektar di Chenulang, Kuala Krai untuk pembinaan 480 rumah kekal kepada mangsa yang tidak mempunyai tanah sendiri untuk didirikan rumah kerana mereka sebelum ini tinggal di tanah rizab kerajaan atau milik Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Beliau berkata kawasan penempatan baharu itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pusat komuniti dan premis perniagaan.

Sumber: BERNAMA | 28 Februari 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan