Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 26 Jun 2014

Penggunaan pil kuda di Kelantan tinggi - Ketua Polis Negeri

TUMPAT: Masalah penggunaan dadah terutama pil kuda di Kelantan mencatat jumlah tertinggi berbanding negeri lain, kata Ketua Polis Negeri Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

"Permintaan pil kuda yang tinggi di Kelantan menjadi faktor utama kes penyalahgunaan dadah tinggi di negeri ini berbanding negeri lain," katanya kepada pemberita selepas menutup perlawanan futsal antara polis dengan masyarakat tempatan di sini padas Khamis.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad dalam persidangan Dewan Negeri semalam yang mendakwa kerajaan PAS Kelantan gagal menangani masalah penagihan pil kuda sehingga menyebabkan keadaan semakin serius termasuk berlakunya kes-kes rogol.

Jalaluddin berkata jika keadaan itu tidak dibendung kemungkinan kes penyalahgunaan pil kuda itu akan bertambah serius di negeri ini dalam beberapa tahun akan datang.

Jalaluddin berkata permintaan yang tinggi terhadap pil kuda itu menyebabkan beberapa usaha untuk mencegahnya sukar dilakukan dan mengharapkan kerjasama semua pihak untuk bersama-sama membantu pihak berkuasa.

Mengulas berkaitan kawalan di sempadan terutama menjelang Ramadan, beliau berkata tahap keselamatan masih terkawal dan polis akan menggiatkan kawalan kerana yakin kes penyeludupan akan meningkat menjelang Aidilfitri.

"Kita akan memberikan tumpuan dan menjalankan operasi bersepadu dengan agensi lain bagi menghindar apa jua bentuk jenayah di sempadan terutama yang membabitkan kes penyeludupan,' katanya.

Sementara itu mengenai Ops Warta, beliau berkata lebih 5,000 waran tangkap sudah dikeluarkan di negeri ini dan sebanyak 404 waran sudah disempurnakan.

Katanya pelaksanaan operasi itu akan diteruskan untuk mengesan lebih ramai pesalah yang belum melunaskan saman.

Sumber: Bernama | 26 Jun 2014

Penutupan landasan kereta api Gemas - Gua Musang ditangguh

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersetuju untuk menangguhkan penutupan landasan bagi operasi tren di Sektor Gemas-Gua Musang sehingga 15 Ogos ini.
Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, keputusan itu dibuat selepas menimbang rayuan yang dibuat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang memohon supaya tempoh berkenaan dilanjutkan. 
Katanya, bagaimanapun selepas 15 Ogos ini, landasan berkenaan hanya akan ditutup pada waktu malam untuk kerja pembaikkan dan akan beroperasi seperti biasa pada waktu siang. 

"Sebelum ini kita mengarahkan KTMB menutup landasan bagi operasi tren di sektor Gemas-Gua Musang yang berkuatkuasa esok berasaskan peruntukkan Seksyen 105 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Namun semalam KTMB mengemukakan rayuan kepada SPAD bagi menangguhkan penutupan itu dan selepas menimbang rayuan itu kita bersetuju tertakluk kepada syarat," katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan di sini, sebentar tadi.



Sumber: Harian Metro Online | Mutakhir | 26 Jun 2014

SPAD: Gemas - Gua Musang railway closure postponed till after Aidilfitri

PETALING JAYA: The closure of the 321km Gemas - Gua Musang railway track has been postponed to Aug 15 this year, a month after the Aidilfitri holidays.

Land Public Transport Commission (SPAD) chairman Tan Sri Syed Hamid Albar said Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) was allowed to operate the track after it appealed for a postponement.

"On Jun 25, KTMB appealed to SPAD to postpone the closure of train services at the sector until Aug 15 2014," he said in a statement Thursday.

Syed Hamid said SPAD agreed to KTMB's request on condition that it made sure that its services on the track -previously reported to have suffered operational damages- were safe.

Other conditions included having more track monitoring and maintenance, readying staff for critical events, imposing slower speed limits if necessary, preparing higher quality train car stocks and even a special monitoring committee.

He said KTMB agreed to these conditions and would accept full responsibility over its operations on the stretch.

"SPAD will taking closing actions (on the track) if any incidents occur during the postponement period," Syed Hamid added.

The track was originally supposed to have been closed down for repairs on June 27. Previously, the Railwaymen's Union of Malaya said closing the stretch would strand hundreds of thousands of passengers, put 300 KTMB staff at risk and cost the company RM100,000 in revenue a day.

Source: The Star Online | 26 Jun 2014

Gantung lesen setahun jika langgar syarat berniaga

TUMPAT: Peniaga di bazar Ramadan yang dikenakan notis saman apabila melanggar syarat perlesenan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah ini akan digantung lesen penjaja sementara selama setahun.

Ketua Whip Majlis Daerah Tumpat (MDT), Mohd Nawawi Adam berkata, ia berkuat kuasa Ramadan ini dan mana-mana peniaga yang dikenakan notis saman itu mereka tidak akan  dibenarkan berniaga untuk Ramadan tahun hadapan.

“Notis saman itu sama ada daripada MDT atau pun ketika pemeriksaan daripada Pejabat Kesihatan Daerah.

“Notis saman ini dikeluarkan bagi peniaga yang tidak pamerkan lesen, tidak menjaga kebersihan dan melanggar syarat berniaga sebelum jam 3 petang.

“Jika ada peniaga dikenakan notis saman, mereka tidak akan dibenarkan berniaga di bazar Ramadan tahun hadapan, hanya setahun lesen digantung dan selepas itu dibenarkan berniaga semula setelah memohon lesen penjaja sementara ini dengan MDT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Taklimat dan Penyerahan Lesen Penjaja Sementara Bazar Ramadan Kawasan Pasar Besar Wakaf Bharu, semalam. Penyampaian lesen tersebut disempurnakan oleh Adun Wakaf Bharu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Mohd Nawawi berkata, pihaknya memaklumkan lebih awal berkaitan pergantungan lesen tersebut agar peniaga lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan dan berdisiplin.

Katanya, tindakan berkenaan adalah untuk mendidik peniaga supaya tidak melakukan kesalahan pada masa akan datang.

“Jangan ada peniaga yang gerainya kotor, tidak memakai apron, menjual makanan kitar semula yang tidak habis dijual kerana semua itu boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan kepada pengguna,” katanya.

Sebanyak 216 tapak gerai di bazar Ramadan Wakaf  Bharu disediakan oleh MDT termasuk 74 gerai kuih-muih, 51 gerai minuman, 59 lauk pauk dan 32 gerai lauk bakar.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Jun 2014

Kelantan perlu tingkatkan program antidadah

KOTA BHARU: Kerajaan negeri digesa memberi tumpuan menangani masalah penagihan dadah di negeri ini berbanding mengadakan acara yang tidak memberi kesan langsung kepada golongan itu.

Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berkata, mengikut laporan yang diterima pihak berkuasa, kejadian rogol secara beramai-ramai yang berlaku di Ketereh baru-baru ini adalah berpunca daripada gejala dadah.

“Senarai program yang dirancang pihak kerajaan negeri sebagaimana yang dinyatakan tidak melibatkan program pencegahan atau antidadah, hampir kesemua program tersebut hanyalah bersifat suka-suka sahaja.

“Mereka (penagih) tidak akan menyertai program sebagaimana yang dinyatakan, maka ia tidak akan mendatangkan hasil kepada cara kita menangani masalah ini. Sepatutnya kursus dan pendedahan yang boleh menarik mereka kepada kita perlu dilakukan, barulah kita boleh berusaha untuk memperbaiki mereka,” katanya.

Beliau menyatakan gesaan tersebut ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Dr Ramli Mamat pada hari terakhir sidang Dun Kelantan semalam.

Dr Ramli sebelum itu menjawab soalan yang Abdul Halim Abd Rahman (Pas-Chetok) mengenai perancangan program-program yang boleh dilakukan kerajaan negeri bagi mengawal belia dan beliawanis dari terlibat dengan gejala tidak sihat dan tidak terkawal.

Sementara itu, Dr Ramli yang juga Adun Bunut Payong menyatakan permasalahan tersebut merupakan masalah global yang boleh berlaku di mana-mana sahaja dan tanggungjawab yang perlu dipikul juga melibatkan kerajaan pusat dan negeri.

“Walaupun begitu diharap dengan perkara yang berlaku itu dapat ditangani bersama, kemungkinan mereka ini terpengaruh oleh kawan dan mungkin dipengaruhi pendedahan media seperti televisyen dan sebagainya, kita harap semua pihak akan mainkan peranan masing-masing,” katanya.

Ketika ditemui di luar dewan, Alwi berkata, kerajaan negeri perlu merancang satu program yang lebih spesifik untuk menangani masalah tersebut yang dilihat sebagai satu tanggungjawab bersama di antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga Adun-Adun setiap kawasan.

“Jangan salahkan sesiapa, kita perlukan satu pendidikan ke arah akhlak yang baik. Kelantan yang dikatakan membangun bersama Islam sudah 25 tahun, ada lagi masalah seperti ini, maka semua pihak perlu ambil tanggungjawablah, lakukan program yang lebih berfaedah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Jun 2014

Landasan kereta api Gemas - Gua Musang ditutup untuk dibaik pulih

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sepakat memutuskan landasan sektor Gemas - Gua Musang, ditutup atas faktor keselamatan untuk kerja baik pulih.

Keputusan ini dicapai selepas lawatan kerja sehari membabitkan kedua-dua agensi itu untuk melihat tahap keselamatan di 11 lokasi kritikal di landasan berkenaan, semalam. 

Lawatan kerja itu diadakan untuk membolehkan mereka melihat dan menilai sendiri keadaan landasan itu, antara tertua negara yang kali terakhir dinaik taraf pada 1981. 

Kerajaan baru-baru ini sudah meluluskan peruntukkan RM400 juta untuk menaik taraf laluan Gemas - Gua Musang sepanjang 322 kilometer. Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api dari Gua Musang - Tumpat akan beroperasi seperti biasa.

Kira-kira 500,000 penumpang menggunakan Ekspres Senandung Wau dan Ekspres Senandung Timuran pada 2013, sebahagian besar daripada alirannya dipercayai berlaku pada musim perayaan. 

Sumber: Berita Harian | Nasional | 23 Jun 2014 

Projek Jejambat Tanah Merah: Janji wakil BN belum jadi kenyataan

Gambar hiasan: Jejambat Pasir Mas di bandar Pasir Mas, Kelantan.
KOTA BHARU: Janji anggota parlimen Barisan Nasional (BN) Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz untuk membina laluan bertingkat (jejambat) melintasi landasan kereta api di Tanah Merah belum menjadi kenyataan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri masih lagi menunggu janji pemimpin terbabit.

“Malah ketika saya berjumpa dengan anggota parlimen terbabit baru-baru ini beliau menyebut peruntukan sudah ada.

“Namun sehingga ke hari ini belum ada hitam putih lagi projek berkenaan. Kita masih tunggu sehingga sekarang. Saya harap Adun BN yang ada di Dewan Negeri memperingatkan kembali wakil rakyat terbabit,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Bakri Mustapha (BN-Gual Ipoh) pada persidangan Dun hari ini.

Sebelum ini kerajaan negeri membina laluan bertingkat melintasi landasan kereta api di Pasir Mas selepas janji yang ditabur pemimpin Umno tidak dilaksanakan.

Projek tersebut tidak disenaraikan kerajaan pusat di bawah Rancangan Malaysia sehingga menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membinanya bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar Pasir Mas.

Semasa kempen pilihan raya umum lepas orang ramai di Tanah Merah memberitahu pemimpin Umno terbabit menjanjikan projek membina jejantas melintasi landasan kereta api.

Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri masih lagi menunggu keputusan Kerajaan Pusat sama ada mahu meneruskan projek berkenaan atau sebaliknya.

“Kalau Kerajaan Pusat tidak berminat membinanya, kerajaan negeri berusaha mencari peruntukan untuk dimasukkan ke dalam bajet tahunan,” ujarnya.

Sementara itu menjawab soalan Zulkifle Ali (BN-Selising) Abdul Fattah berkata, stadium sukan di Bukit Merbau Selising akan dibina dengan kerjasama sebuah syarikat. Katanya, pembinaan stadium itu dibuat menggunakan konsep siap baru bayar.

Bagaimanapun katanya, beberapa pengubahsuaian dilakukan termasuk kapasiti penonton dikurangkan kepada 35,000 orang.

“Bagaimanapun tapak struktur tapaknya boleh diperbesarkan pada bila-bila masa sehingga boleh menampung 45,000 penonton apabila diperlukan kelak,” katanya.

Beliau juga berkata, sebelum ini kerajaan negeri pernah memohon pinjaman sebanyak RM500 juta daripada kerajaan pusat bagi membina stadium di kawasan seluas 45 ekar di Bandar Baru Tunjung.

Namun katanya, pinjaman itu tidak diluluskan dan tapak di Tunjung pun sekarang sudah dimiliki pihak lain. 

Sumber: Harakah Daily | 25 Jun 2014