KOTA BHARU: Tindakan peniaga yang masih berdegil dengan menjalankan operasi niaga di sebuah restoran di Lundang di sini, walau tidak mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Banda Raya Islam (MPKB-BRI), akhirnya disita dalam operasi di sini malam kelmarin.
Restoran berkenaan yang bukan sahaja tidak mengikut spesifikasi pelan bangunan yang ditetapkan walau telah mengadakan perbincangan dengan mantan Yang Dipertua MPKB-BRI sebelum ini.
Setiausaha MPKB-BRI, Rosnazli Amin (gambar) berkata, bukan sahaja kita sebelum ini sudah keluarkan 32 kompaun kepada pihak pengendali restoran namun tidak diendahkan.
“Susulan itu, kita kompaun dan sita restoran berkenaan ekoran peniaga masih ingkar dan berniaga tanpa mendapat sebarang kelulusan dengan pihak MPKB-BRI.
“Walau pada asalnya restoran itu telah diluluskan dan melalui akuan tanah bahagian belakang yang dikemukakan mendapat permohonan jiran, rupanya surat akuan sumpah yang dikemukakan adalah surat akuan palsu,” katanya.
Rosnazli berkata, pihaknya tidak akan mengeluarkan lesen terhadap restoran berkenaan selagi ia tidak mendapat kelulusan pelan bangunan.
“Pihak pengurusan restoran masih tetap meneruskan operasi restoran terbabit walau tiada lesen dan turut membuang tali sita yang diletakkan pihak MPKB-BRI.
“Mereka seolah-olah mencabar kewibawaan pihak berkuasa dan malam kelmarin kita menyita restoran berkenaan untuk tindakan susulan,” katanya.
Kelmarin, restoran terbabit dikompaun ekoran berniaga tanpa lesen.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 1 Ogos 2015
Artikel berkaitan: MPKB-BRI sita Restoran Kapal Terbang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan