Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 1 Ogos 2015

Penduduk minta bina jambatan gantung

Jambatan gantung di Kampung Baru Hulu runtuh akibat dilanda banjir akhir tahun lalu.
GUA MUSANG: Penduduk meminta agar dua jambatan gantung yang runtuh dibina semula demi kelancaran rutin harian mereka.

Jambatan gantung merintasi Sungai Galas di Bandar Lama dan Sungai Ketil di Kampung Baru Hulu runtuh akibat kejadian banjir besar akhir tahun lalu.

Sinar Harian difahamkan, penduduk sukar untuk berulang alik ke kebun dan kampung lain berhampiran.

Seorang penduduk di Kampung Kerinting, Seman Abdullah, 43, berkata, jambatan gantung itu penting bagi penduduk untuk berulang alik ke bandar lama di sini, setiap hari termasuk menghantar anak ke sekolah.

Katanya, walaupun ada laluan lain untuk ke bandar ini, namun ia terlalu jauh. “Kita harap pihak berkenaan dapat bina jambatan gantung yang baharu.

“Lagipun kos pembinaan dua jambatan gantung itu tidaklah terlalu mahal kerana ia hanya untuk laluan pejalan kaki dan bermotosikal sahaja,” katanya.

Ching Chan Liong, 53, pula berkata, jambatan gantung yang terletak di belakang kedai di Jalan Besar Bandar Lama penting untuk laluan penduduk yang mempunyai kebun di seberang sungai itu.

“Setelah jambatan itu runtuh, penduduk yang hendak ke kebun terpaksa mengharungi sungai itu.

“Sekali gus mereka terdedah kepada bahaya terutama apabila hujan menyebabkan air sungai naik,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 1 Ogos 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan