Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. |
MERSING: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menasihatkan kerajaan supaya tidak memperbodohkan rakyat dengan membuat kenyataan yang hanya sedap didengar bagi menutup keadaan sebenar.
Baginda menggesa kerajaan untuk menyelesaikan segera masalah negara terutamanya kejatuhan nilai ringgit yang semakin teruk.
"Sebagai Sultan, saya tidak boleh mencampuri urusan politik tetapi sebagai Sultan, saya bertanggungjawab untuk memastikan suasana kehidupan rakyat dalam keadaan baik, maju dan makmur," katanya pada Selasa.
Sultan Ibrahim berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-50 di Kem Iskandar di sini.
Sultan Ibrahim juga mengingatkan kepada pemimpin pemimpin kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat supaya memikul tanggung jawab dengan penuh amanah untuk kepentingan umum dan jangan mengutamakan kepentingan peribadi.
Baginda juga menegur pemimpin yang memperbodohkan rakyat dengan membuat kenyataan yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar.
“Rakyat pada hari ini adalah generasi yang berilmu dan bijak menilai maklumat yang diterima, janganlah cuba memperbodohkan rakyat dengan memberikan berita dan maklumat yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar.
"Selesaikanlah masalah masalah yang timbul dengan segera,” titah baginda.
Sumber: mStar Online | 25 Ogos 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan