Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 1 Ogos 2015

Harapan rakyat kepada Dr. Asyraf Wajdi di Kelantan

Datuk Dr. Asyraf Wajdi bin Dusuki
PERTAMA sekali rasanya belum terlewat untuk kami mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr. Asyraf Wajdi bin Dusuki atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) pada 29 Julai lepas. 

Anak kelahiran Tumpat, Kelantan ini merupakan anggota Dewan Negara berusia 39 tahun berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam perbankan Islam dan kewangan dari Universiti Loughborough, United Kingdom. 

Pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) amatlah tepat sekali dan pastinya ia disambut baik oleh seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira fahaman parti politik utama di negeri ini, iaitu PAS dan UMNO. 

Menurut Dr. Asyraf Wadji melalui laman Facebook-nya bertarikh 29 Julai 2015, beliau ditugaskan untuk memberi tumpuan kepada enam agensi berkaitan hal ehwal agama Islam, iaitu Jabatan Wakaf, Haji, dan Zakat (JAWHAR), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), TV Alhijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Lembaga Tabung Haji (TH), dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Tambah beliau lagi, yang paling penting bagi memastikan agenda Rang Undang-undang (RUU) 355 berkaitan hukuman hudud dapat direalisasikan

Selain pelaksanaan hukuman hudud yang amat diharapkan oleh kerajaan dan rakyat Kelantan, beliau juga perlu memastikan projek hotel wakaf di Kota Bharu, Kelantan yang sepatutnya dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9: 2006 - 2010) diteruskan Kerajaan Persekutuan

Di bawah RMK9, lima buah hotel wakaf dirancang untuk dibina oleh JAWHAR di lima buah lokasi di Semenanjung Malaysia, iaitu Kuala Terengganu (Terengganu), Taiping (Perak), Tanjung Kling (Melaka), Port Dickson (Negeri Sembilan), dan Kota Bharu (Kelantan). 

Namun, hanya projek hotel wakaf di Kota Bharu, Kelantan yang masih belum dibina sehingga ke hari ini, manakala empat lagi buah hotel sudah lama beroperasi. 

Oleh itu, diharap Dr. Asyraf Wadji dapat memberi perhatian akan dua perkara ini, iaitu pelaksanaan hukuman hudud dan projek hotel wakaf di Kota Bharu, Kelantan agar kedua-duanya dapat dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11: 2016 - 2020). 

Sumber: Penulis Gerbang KBBRI | www.kbbri.blogspot.com 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan