Lubang besar yang pernah menjadi lokasi penemuan rangka tulang manusia terpanjang dunia. |
GUA MUSANG: Indah khabar dari rupa. Itulah gambaran yang berlaku di pusat pelancongan menarik Gua Cha di Pos Tohoi, dekat sini, yang berdepan kemusnahan teruk tanpa ada perhatian daripada pihak berkenaan untuk dibaik pulih.
Gua Cha pernah menjadi tumpuan pengkaji sejarah berikutan penemuan pelbagai barangan purba dan turut menjadi pilihan sebagai pusat ekspedisi berakit Sungai Nenggiri, namun kini ia semakin terbiar dengan kebanyakan kemudahan rosak serta runtuh.
Kebanyakan pengunjung sama ada peserta ekspedisi atau pelancong yang kerap mengunjungi Gua Cha kini tidak lagi berbuat demikian kerana tidak mahu mengambil risiko berlaku kejadian tidak diingini berikutan kawasan yang semakin semak.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, hampir semua kemudahan yang disediakan termasuk bilik mandi dan tandas di kawasan pusat pelancongan itu rosak, malah ada juga yang runtuh dan keadaan itu menyulitkan bagi pengunjung yang mahu berkhemah di kawasan berkenaan.
Tarikan ekspedisi berakit
Seorang pengunjung, Muhamad Salmi Abdillah, 32, berkata, tempat bersejarah yang pernah menjadi lokasi penemuan rangka manusia terpanjang di dunia, dipercayai mati dan ditanam dalam gua berkenaan beratus tahun lalu perlu dijaga dengan baik.
Ini kerana katanya, ia menjadi tarikan pengunjung sepanjang masa yang mahu melihat sendiri keunikan Gua Cha, selain berpeluang menyertai ekspedisi berakit dianjurkan pelbagai pihak dari gua tersebut ke kampung Orang Asli di Pos Tohoi.
"Bagaimanapun saya lihat kemudahan yang ada di sini terbiar rosak sejak hampir dua tahun lalu. Pihak berkenaan tidak membaikinya menyebabkan pengunjung sukar untuk mandi atau membuang air.
“Kami juga sedih lihat kawasan persekitaran terbiar dan tidak terurus. Tidak mustahil jika keadaan ini berterusan, pelancong tidak lagi berminat berkunjung ke sini," katanya.
Menurutnya, jika itu yang berlaku, daerah Gua Musang semakin ketandusan pusat pelancongan.
"Gua Cha suatu ketika dahulu adalah lokasi bersejarah yang kerap dikunjungi pengkaji sejarah tanah air tetapi disebabkan ia dibiarkan tanpa ada sebarang usaha untuk dibaik pulih, ia semakin sepi," katanya.
Sementara itu, Kamal Muhamad, 41, pula berkata, jika Gua Cha sentiasa dijaga dan dipelihara, ia mampu menjadi destinasi pelancongan paling tersohor di negara ini.
Menurutnya, dia yang kerap berkunjung ke Gua Cha untuk menyertai ekspedisi berakit turut terkejut melihat kawasan berkenaan kini terbiar.
"Tak sanggup saya berkhemah di sini. Sepatutnya keadaan ini tidak berlaku kerana sepanjang masa ada sahaja kumpulan dari merata tempat yang datang melakukan aktiviti lasak termasuk meneroka gua.
"Sebagai pencinta lokasi bersejarah, saya amat kecewa dengan apa yang berlaku di Gua Cha. Saya harap pihak berkenaan ambil berat lokasi tumpuan pelancongan di daerah ini," katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 2 Ogos 2015
Artikel berkaitan:-
- Gua Cha sepi tanpa pengunjung
- Tempat bersejarah Gua Cha terbiar - Exco Kebudayaan, Pelancongan, dan Warisan Kelantan diminta ambil perhatian
PERTANYAAN: ADAKAH EXCO KEBUDAYAAN, PELANCONGAN, DAN WARISAN KELANTAN TIDUR MAMPUS? MAKAN GAJI BUTA?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan