Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 13 Ogos 2015

ECER tarik pelaburan RM78 bilion, 76,120 peluang pekerjaan dari 2007 hingga Jun 2015

PUTRAJAYA: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan bernilai RM78 bilion dan mewujudkan 76,120 peluang pekerjaan antara 2007 dan akhir Jun tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata pelaburan itu -- dari dalam dan luar negara -- mewakili 71 peratus daripada sasaran pelaburan ECER bernilai RM110 bilion menjelang 2020.

Daripada jumlah pelaburan komited, katanya kluster pembuatan menjadi penyumbang terbesar dengan RM44.35 bilion, diikuti pelancongan (RM13.56 bilion), bio-ekonomi (RM5.62 bilion) serta minyak, gas dan petrokimia (RM4.8 bilion).

"ECER mencatatkan pelaburan sebanyak RM6.3 bilion pada suku kedua 2015. Ini lebih daripada separuh sasaran pelaburannya sebanyak RM12 bilion bagi tahun ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Kedua Majlis ECERDC 2015 di sini Khamis.

Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi ECERDC.

Jebasingam berkata ECER dijangka mencapai sasaran yang ditetapkan pada akhir tahun ini berikutan ia telah menunjukkan keputusan positif, seperti yang ditunjukkan dalam pelaburan yang meningkat dan kumpulan modal insan dan usahawan yang kukuh.

Mengenai Suku Kedua 2015 ECER, beliau berkata ECERDC berjaya menarik lapan pelaburan baharu dalam ECER berjumlah RM2.59 bilion, mewakili 21.6 peratus daripada sasaran pelaburan tahun ini.

"Pelaburan itu akan mewujudkan 4,832 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata taman perindustrian ECER seperti Taman Industri Kuantan Malaysia-China, Taman Automotif Pekan, Taman Halal Gambang dan Taman Halal Pasir Mas telah menarik komitmen pelaburan sebanyak RM24.7 bilion setakat ini, yang akan mewujudkan 14,809 peluang pekerjaan baharu.

"Pelaburan awam ternyata membuahkan hasil dan ini dicerminkan dalam pembangunan tenaga kerja tempatan dalam ECER melalui program seperti 'empower ECER', usahawan ECER, Program Peningkatan Tenaga Kerja ECER dan TERAJU@ECER," katanya.

Beliau berkata program pembangunan usahawan dan modal insan ECERDC telah memberi manfaat kepada lebih 48,000 rakyat tempatan dalam ECER dan mewujudkan lebih 9,000 usahawan, 80 peratus daripadanya adalah wanita.

Selepas mesyuarat tersebut, Najib turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dan dokumen kerjasama ECERDC dengan empat buah universiti -- Universiti Malaysia Pahang (UMP), Swansea University dari United Kingdom, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu (Unisza) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Di bawah MoU itu, UMP dan Swansea University akan membuka laluan kepada kerjasama ahli akademik-industri dalam ECER, selain menggalakkan kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua universiti.

Dalam kenyataan, ECERDC berkata Unisza, UMK dan UMP akan dilantik sebagai penyedia latihan untuk Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan 'empower ECER' di Terengganu, Kelantan dan Pahang.

"empower ECER dirangka khusus untuk graduan menganggur, golongan berpendapatan rendah dan ibu tunggal, dengan latihan kemahiran dan maklumat pembangunan keusahawanan, dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran dan peluang mendapat pekerjaan," katanya.

ECERDC berkata skim empower ECER telah dilaksanakan di 20 buah lokasi dan memberi manfaat kepada lebih 33,400 pelajar luar bandar melalui Program Latihan Akademik dan lebih 11,600 golongan dewasa di bawah Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan.

Najib turut menyaksikan pertukaran dokumen antara ECERDC dan lapan pelabur baharu.

Sumber: Bernama | 13 Ogos 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan