PASIR MAS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan Persekutuan tidak akan menganaktirikan rakyat dan negeri Kelantan dalam program pembangunan yang dilaksanakan di negara ini.
Beliau berkata rakyat negeri ini tidak perlu bimbang kerana melalui kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Kelantan tetap akan mendapat pertimbangan yang adil dan saksama.
"Kelantan akan mendapat pertimbangan yang adil dan saksama selagi saya menjadi Perdana Menteri Malaysia," katanya semasa berucap pada majlis "Pemimpin Bersama Rakyat" dan perasmian persidangan perwakilan UMNO bahagian Rantau Panjang di sini hari ini.
Kira-kira 20,000 masyarakat tempatan dan perwakilan UMNO bahagian hadir pada majlis itu, yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO bahagian Rantau Panjang Datuk Abdullah Mat Yassin.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata kerajaan pimpinan UMNO dan BN akan berlaku adil kepada semua negeri apatah lagi Kelantan yang memerlukan pertolongan kerana ketidakmampuan kerajaan negeri pimpinan PAS.
"Kerajaan negeri kemampuannya terbatas. Lagi pun banyak juga yang belawok (tipu), tapi bab hak baik, kita kata baik juga sebab kita fikir soal masa depan umat Islam," katanya.
"Ambo nak kata PAS dengan UMNO ini ada juga bab (perkara) yang boleh kita kerjasama tapi bab dia belawok, dia belawok juga tetapi ada bab yang dia boleh kerjasama.
"Ada juga pemimpin PAS yang membela ambo, baru-baru ini dalam masa fitnah dilemparkan hari-hari, ada pemimpin PAS kata Datuk Najib tidak boleh dianggap salah melainkan seseorang itu terbukti salahnya, ini prinsip Islam," katanya.
Najib meminta anggota UMNO menjadi penyokong 'berani mati' demi perjuangan parti untuk agama, bangsa dan negara.
Beliau berkata dalam politik ini ada beberapa jenis penyokong iaitu penyokong lemah, tegar dan berani mati namun UMNO memerlukan penyokong 'berani mati' yang sanggup berjuang untuk parti.
Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan pembinaan jalan persekutuan empat lorong sepanjang 16 kilometer dari pekan Rantau Panjang ke bandar Pasir Mas yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas.
Sumber: Bernama | 22 Ogos 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan