Khairy Jamaluddin (tengah) bersama Ahmad Jazlan (dua, kiri) dan Rosmadi (dua, kanan) melakukan senaman pada perasmian Fit Malaysia peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu, semalam. |
KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat menganjurkan Maraton Antarabangsa Kelantan buat julung kalinya, bermula tahun depan.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penganjuran acara sukan yang akan digerakkan oleh KBS dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan itu bakal melengkapkan program Fit Malaysia yang berlangsung di negeri berkenaan.
“Saya telah bincang dengan Pengerusi MSN Kelantan, Datuk Rosmadi Ismail, kita hendak bawa satu acara bertaraf antarabangsa ke Kelantan.
Kita sudah ada (Standard Chartered Maraton Kuala Lumpur), di Pantai Timur saya tengok tak ada, jadi saya rasa sangat sesuailah diadakan di sini.
“Saya harap ia boleh menjadi acara tahunan, bukan setakat untuk rakyat Kelantan tetapi juga dapat meletakkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan sukan di peringkat Asia Tenggara dan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Fit Malaysia peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kelantan, Md Sulji Zakaria.
Menurutnya, kementeriannya bersikap terbuka dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan Kelantan bagi memastikan acara sukan berskala besar itu dapat dilangsungkan di negeri berkenaan.
Mengulas mengenai Fit Malaysia yang memasuki siri penjelajahannya ke-10 tahun ini, Khairy Jamaluddin memberitahu, beliau amat gembira dengan sambutan menggalakkan daripada pelbagai masyarakat di Kelantan.
“Hari ini kita terima lebih 15,000 peserta, larian sahaja mencecah 11,000 orang, selain beberapa aktiviti lain seperti kayuhan basikal, seni mempertahankan diri dan kecergasan. Ini adalah satu angka cukup besar dan pencapaian hebat di Kelantan.
“Saya percaya program sukan seperti ini begitu dinantikan rakyat negeri ini. Sambutan Fit Malaysia sangat baik, mana-mana kita pergi penglibatannya mencecah puluhan ribu peserta, ini menunjukkan kesedaran untuk bersukan semakin meningkat dalam kalangan masyarakat hari ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 23 Ogos 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan