Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 1 Ogos 2015

Kuching diisytihar sebagai bandar raya perpaduan

Ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara di Petra Jaya, Kuching, Sarawak. Foto: Azahan Rosli
PETRA JAYA: Sambutan Hari Bandar Raya Kuching Ke-27 di Stadium Perpaduan, di sini pagi ini, mencatatkan sejarah tersendiri dengan pengisytiharan bandar raya Kuching sebagai bandar raya perpaduan. 

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Wahap Abang Julai, berkata pencapaian itu seharusnya dibanggakan oleh setiap warga bandar raya ini, lebih-lebih lagi ia pengiktirafan pertama seumpamanya di Malaysia. 

"Pengisytiharan bandar raya Kuching sebagai bandar raya perpaduan adalah anugerah yang cukup menakjubkan dan penghormatan besar kepada warga kota. Ia juga sebagai penanda aras kecemerlangan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sebagai badan pentadbir bagi bandar raya ini. 

"Sepanjang 27 tahun lalu, pelbagai cabaran ditempuh dua agensi pentadbir ini, khususnya dalam mewujudkan persekitaran cantik, bersih dan selamat ke arah menjadikan Kuching sebagai bandar raya lestari dan sejahtera," katanya dalam perutusan Sambutan Hari Bandar Raya Kuching Ke-27, semalam. 

Pada masa yang sama, katanya, DBKU dan MBKS melaksanakan pelbagai usaha dalam menawarkan perkhidmatan terbaik, termasuk penyediaan prasarana awam dan infrastruktur berkaitan untuk kemudahan serta keselesaan warga kota. 

"Bandar raya Kuching memperlihatkan pencapaian yang memberangsangkan. Malah, ia kini semakin membangun pesat dalam pelbagai sektor, termasuk ekonomi, sosial dan fizikal. 

"Sebagai pihak yang bertanggungjawab secara langsung dalam pembangunan bandar ini adalah menjadi tanggungjawab DBKU dan MBKS untuk memberi infrastruktur dan prasarana terbaik dalam perkhidmatan agar ia boleh dinikmati oleh seluruh warga Kuching," katanya. 

Beliau berkata, pelbagai program dan acara bakal dianjurkan sempena sambutan hari bermakna terbabit sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga daripada warga bandar raya bagi meraikan kejayaan berkenaan. 

Antara program yang akan berlangsung sepanjang Ogos ini adalah Pesta Macam-Macam Laksa, Ceramah Perdana Bandar RayaKU, 'I Luv Kuching City Programe', 'Kuching City Street Parade' dan 'Grand Finale'. 

"Saya mengajak orang ramai untuk turut serta dalam program yang dianjurkan sepanjang Pesta Kuching 2015 ini agar dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat dan platform untuk memantapkan momentum pelaksanaan Pelan Penambahbaikan Cantik, Bersih dan Selamat (CBS) Kuching 2013-2017," katanya.

Sumber: Berita Harian Online | Semasa | 1 Ogos 2015

NOTA KAKI: Syarikat penerbangan AirAsia menawarkan perkhidmatan penerbangan terus dari Kota Bharu Bandar Raya Islam ke Kuching Bandar Raya Perpaduan dan sebaliknya dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. Penerbangan terus ini mengambil masa kira-kira 90 minit sahaja. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.airasia.com dan 'like' (menjadi ahli) bagi laman sesawang Facebook www.facebook.com/laluankbkuching

Tiada ulasan:

Catat Ulasan