Bendera Timor Leste |
KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Timor Leste diterima masuk sebagai anggota terbaharu ASEAN atau tidak, dijangka hanya dapat ditentukan pada awal tahun depan.
Wakil Tetap Indonesia ke ASEAN, Rahmat Pramono berkata, pada masa ini, perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan.
“Hala tuju penyertaan Timor Leste dalam ASEAN ada dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Wakil Tetap (CPR) ASEAN hari ini.
“Difahamkan, ada dalam kalangan negara anggota sudah selesai kajian dan ada lagi masih sedang kaji. Setelah proses ini berakhir, satu perbincangan akan diadakan bagi menilai penyertaan Timor Leste,” katanya yang ditemui selepas mesyuarat CPR sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke- 48 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rahmat berkata, ASEAN akan menilai kemasukan Timor Leste berdasarkan tiga perkara utama iaitu politik, ekonomi dan sosial.
“Indonesia mahu Timor Leste diterima secepat mungkin namun ia bergantung kepada perbincangan yang sedang berjalan.
“Malah, kajian penyertaan negara itu dilakukan setelah mendapat persetujuan semua negara anggota ASEAN,” katanya.
Menyentuh mengenai mesyuarat CPR pula, Rahmat berkata, jawatankuasa itu ada berbincang tentang keperluan membuat rancangan lima tahun ke depan iaitu 2016 sehingga 2020 bagi mengukuhkan kerjasama dalam ASEAN.
“Kita membicarakan dan mengenal pasti isu berkaitan tiga perkara asas iaitu politik, ekonomi dan sosial yang selama ini menjadi pegangan semua negara.
“Apa yang dibincangkan adalah usaha memastikan masa depan ASEAN dapat dikukuhkan dengan kerjasama dan sokongan pembangunan komuniti ASEAN,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 1 Ogos 2015 | Terbitan 2 Ogos 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan