Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 13 Ogos 2015

Operasi bas ekspres di Pudu Sentral berpindah ke TBS awal tahun depan - SPAD

Terminal Bersepadu Selatan yang terletak di Bandar Tasik Selatan di selatan bandar raya Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan bas ekspres jarak jauh yang beroperasi di Pudu Sentral akan dipindahkan sepenuhnya ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) awal tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pemindahan itu bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di tengah-tengah ibu kota.

"Semua perkhidmatan bas ekspres ke negeri-negeri luar daripada Lembah Klang akan berpindah ke TBS.

"Bagaimanapun, perkhidmatan bas antara bandar dan di sekitar Lembah Klang akan terus beroperasi di Pudu Sentral," katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka SPAD di sini, hari ini.

Perkhidmatan bas ekspres akan tamat hujung tahun ini di Pudu Sentral atau dahulunya dikenali sebagai Hentian Puduraya setelah 39 tahun menyediakan perkhidmatan itu kepada umum.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata pihaknya sedang merancang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua jenis bas di seluruh negara.

Katanya setakat ini hanya perkhidmatan bas Go KL sahaja yang dipasang dengan alat CCTV.

"Sekiranya semua jenis bas dipasang CCTV, kita tidak jamin kadar tambangnya akan naik dan ia bergantung kepada syarikat pengusaha bas itu. Hal ini kerana jika mereka mahukan perkhidmatan terbaik maka tambang itu wajar diselaraskan," katanya.

Syed Hamid juga menasihati penumpang teksi membuat aduan kepada pihaknya sekiranya terdapat mana-mana pemandu yang didapati memandu teksi secara haram.

"Sekiranya mereka meragui kad identiti pemandu teksi yang tertera, mereka boleh membuat aduan kepada pihak SPAD dengan aplikasi 'meter go' yang boleh dimuat turun di Apps Store atau Google Play," katanya.

Katanya, penumpang-penumpang juga boleh membuat aduan dari segi tingkah laku pemandu dan memberi komen tentang perkhidmatan teksi mereka melalui aplikasi berkenaan.

Sumber: Bernama | 13 Ogos 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan