Ahmad (tiga, kiri) merasmikan Persidangan Geosains Kebangsaan 2015, semalam. Foto oleh Zam UKMB |
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bagi mengenal pasti kawasan yang boleh dibangunkan secara terancang khasnya dalam aktiviti perlombongan dan mineral.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sumber mineral seperti emas dan besi antara yang dicari gali oleh rakyat negeri ini terutamanya di kawasan hulu dan pedalaman Kelantan.
Menurutnya, dengan kepakaran yang ada di JMG akan digunakan sepenuhnya demi manfaat dan kesejahteraan semua.
“Saya harap dengan pelbagai kajian yang dilakukan oleh saintis bukan sahaja dapat membangunkan kemakmuran ekonomi, tetapi dapat memastikan alam sekitar tetap terpelihara untuk dinikmati oleh generasi akan datang.
“Dalam merancakkan penglibatan geosains kita perlu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama-sama memelihara khazanah bumi selain memberi pulangan ekonomi,” katanya demikian ketika merasmikan Persidangan Geosains Kebangsaan ke-28 (NCG 2015) dengan tema ‘Geosciene for Societal Benefits and National Development di sini, semalam.
Persidangan dua hari itu merupakan usaha bersama Persatuan Geologi Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Ahmad berkata, sumbangan dan peranan ahli geologi dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang bersifat lestari dan saling bekerjasama menjadikan bumi sebagai tempat tinggal yang sihat, selamat serta kondusif.
“Hal ini akan mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke hadapan sekali gus menyumbang kepada teknologi masa depan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 1 Ogos 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan