KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan memerlukan sekurang-kurangnya RM10 bilion sehingga tahun 2025 bagi penyelesaian menyeluruh masalah banjir di negeri ini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri berkata peruntukan tersebut bagi melaksanakan pelbagai projek berkaitan dalam beberapa fasa.
"Bagi RMK11 sahaja, kita memohon RM1.75 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek tebatan banjir di Sungai Kelantan, Sungai Golok serta hakisan pantai dan sungai.
"Kita masih menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan menerusi pembentangan dalam sesi Parlimen akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Menyusuri Sungai Kelantan di sini Selasa.
Hadir sama Pengarah Kanan (Sektor Pengurusan) JPS Ir Ab Qahar Osman dan Pengarah JPS Kelantan Ir Shahimi Sharif.
Pada program berkenaan, beliau meluangkan masa kira-kira dua jam untuk menyusuri Sungai Kelantan bermula di Tambatan Diraja di sini hingga Kuala Besar di Pantai Cahaya Bulan sejauh 10 kilometer bagi meninjau kemajuan beberapa projek tebatan banjir di bawah RMK10 yang dijalankan di sungai berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata 13 projek di bawah RMK10 melibatkan peruntukan sebanyak RM165.8 juta di Kelantan telah 90 peratus siap.
Hamim berkata antara projek di bawah RMK10 ialah Rancangan Menstabilkan Tebing Sungai Golok (KESBAN) Fasa II, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kelantan dan Projek Mencegah Hakisan Pantai Sabak (Fasa 5).
Selain itu, katanya, 124 projek pemulihan pasca banjir melibatkan baik pulih sistem longkang dan parit berjumlah RM19.54 juta juga masih dalam proses dan dijangka siap pada November ini.
Ia jelas menunjukkan Kelantan sentiasa diberi keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi kerajaan dalam pembangunan negara, katanya.
Sumber: Bernama | 15 September 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan