KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersetuju menanggung kos tambang penerbangan ke Makkah bagi setiap seorang waris jemaah haji dari negeri ini, yang cedera atau terkorban dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Jumaat lepas.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, persetujuan itu dicapai selepas meneliti keperluan untuk menenangkan semua anggota keluarga jemaah haji yang terlibat dalam insiden itu.
"Kebetulan musibah di Makkah itu turut membabitkan rakyat Kelantan. Kami bersetuju hantar seorang wakil bagi setiap keluarga dengan kos tambang penerbangan ditanggung oleh kerajaan negeri.
"Kita hantar seorang wakil untuk bertemu dan melihat sendiri anggota keluarga mereka di sana (Makkah) sama ada yang meninggal atau cedera untuk menenangkan mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mohd Amar berkata, keputusan itu juga tertakluk kepada kelulusan visa daripada pihak berkuasa Arab Saudi bagi menentukan wakil yang dihantar itu diberi status sebagai pelawat (pelancong) atau boleh mengerjakan ibadah haji.
"Sehingga kini tiga rakyat Kelantan dilaporkan terkorban dalam kejadian itu sementara tiga lagi cedera ringan. Kita akan kumpulkan semua maklumat berkaitan sebelum menghantar mereka (wakil keluarga) ke sana dalam masa terdekat," katanya.
Tiga jemaah dari Kelantan yang disahkan terkorban dalam tragedi itu ialah Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Pasir Puteh.
Dua lagi jemaah Malaysia yang terkorban ialah Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor dan Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak.
Jemaah dari Kelantan yang cedera dalam kejadian itu pula ialah Abdul Razak Mahmood, 61, dari Tanah Merah serta Mat Deris Mohd Noor, 62, dan Faridah Mat Yacob, 46, kedua-duanya dari Bachok.
Anak Allahyarham Munah, Che Wil Che Muda, 41, berkata keputusan kerajaan negeri itu memberi kelegaan kepada dirinya dan keluarga yang lain kerana berpeluang menemui bapanya, Che Muda Che Tahir, 76, di Makkah, selain dapat menziarahi pusara ibunya.
"Semalam kami ada menghubungi ayah di Makkah. Walaupun ayah memberitahu dia sihat dan dapat menjalani ibadah seperti biasa, kami tetap dapat rasakan ayah masih dalam keadaan bersedih.
"Terima kasih atas keprihatinan ini. Rasanya lebih puas kalau dapat berjumpa sendiri dengan ayah dan mengetahui keadaan sebenar ayah di sana," katanya.
Sementara itu, tiga keluarga jemaah haji dari negeri ini yang terkorban, masing-masing menerima sumbangan RM3,000 daripada seorang dermawan.
Penderma, Gan Leong Piow berkata sumbangan itu tanda simpatinya kepada keluarga mangsa, yang diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mereka
ketika ini.
"Kita tolong ini atas dasar simpati dengan apa yang berlaku dan kesedihan yang ditanggung keluarga mangsa.
"Ini masa yang sesuai untuk kita tampil menderma tanpa mengira bangsa dan fahaman," kata pemilik syarikat pengeluar minyak masak itu, di negeri ini.
Sumber: Bernama | 15 September 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan