KUALA TERENGGANU: Operasi perniagaan pulau bebas cukai di Tasik Kenyir akan mula dibuka pada Januari tahun depan, walaupun pembinaan keseluruhan projek berkenaan pada tempoh itu belum siap sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee berkata projek pembangunan pulau bebas cukai itu mempunyai dua komponen iaitu di Pulau Bayas dan Pengkalan Gawi.
"Di Pulau Bayas, kita ada enam pakej dan sehingga kini sudah siap 65 peratus manakala di Pengkalan Gawi, terdapat lima pakej di mana sebahagiannya sudah siap 100 peratus seperti Kompleks Kastam.
"Ada beberapa pakej lagi akan siap pada Mac 2016 dan ada yang akan siap pada April 2016, namun atas permintaan banyak pihak, operasi perniagaan di zon bebas cukai itu akan dimulakan pada Januari depan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini Selasa.
Menjawab soalan tambahan Syed Azman mengenai kerugian ditanggung kerajaan negeri berikutan kelewatan projek itu menyebabkan ia tidak dapat beroperasi mengikut jadual, Mohd Jidin berkata isu pembaziran tidak berbangkit kerana ia masih dalam pembinaan.
"Macam mana kita nak kata projek itu membazir, siap pun belum, jual pun belum...menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memastikan kejayaan projek ini untuk membantu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu sekali gus meningkatkan tahap ekonomi rakyat terutama penduduk di kawasan berkenaan.
"Setakat ini kos yang diperuntukkan di Taman Burung ialah RM5.5 juta, Taman Orkid (RM7.085 juta), Taman Rama-Rama (RM7.399 juta) dan Taman Tropika (RM7.399 juta)," katanya.
Menjawab soalan tambahan Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) mengenai barangan yang akan dijual di pulau bebas cukai itu, Mohd Jidin berkata ia adalah berkonsepkan 'factory outlet' merangkumi pelbagai barangan seperti kelengkapan dapur, pakaian berjenama dan aksesori wanita.
Sumber: Bernama | 8 September 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan