Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 29 September 2015

‘Azab’ balik kampung berhari raya di Kelantan

Setiap kali menjelang musim perayaan, laluan Kuala Lipis-Gua Musang pasti sesak dengan puluhan ribu kenderaan memasuki Kelantan.
BUKAN merungut, namun itu ia hakikat apabila perantau di Kelantan yang tinggal di merata negeri berasa ‘azab’ apabila berhadapan dengan keadaan jalan sesak teruk semasa pulang ke kampung dan kembali semula ke tempat masing-masing.

Sepanjang jalan, dengan ratusan kenderaan berderet panjang, ia cukup menguji kesabaran bagi membolehkan perantau tiba ke destinasi, namun jika tidak bernasib baik, mereka boleh menghadapi malapetaka atau masalah.

Ada yang menempuhi keadaan perit, 12 jam hingga 16 jam untuk sampai ke destinasi, namun semuanya demi niat yang baik… pulang berhari raya bersama keluarga dan merasai ‘manisnya’ daging lembu yang disembelih segar.

Lebih mencabar apabila mereka pulang secara konvoi dengan bilangan ahli dalam kenderaan yang agak ramai, juga perlu melayani karenah anak kecil, buang air besar, buang kecil, mahu mandi dan makan.

Bagi perantau, Wan Mazlina Wan Mohamed, 36, dari Kampung Pasir Hor, Kota Bharu, perjalanan balik kampung diambil hampir 12 jam agak menyeksakan dirinya, suami dan anak-anak.

“Kita perantau hanya bersandarkan pada semangat dan tekad untuk meraikan Hari Raya Korban dengan keluarga memandangkan suasana raya ini lebih meriah terutama jika keluarga sembelih lembu.

“Berlandaskan pengalaman seronok tersebut, biarpun perjalanan panjang, kami tempuhi dengan penuh cabaran,” katanya yang pulang ke Selayang, Selangor pada Ahad, 1.30 pagi lalu.

Kononnya bertolak seawal jam 1.30 pagi berniat untuk mengelak perjalanan sesak, namun jangkaan dia dan suami, Tengku Mohd Azian Raja Othman, 38, meleset apabila bertembung juga dengan kesesakan.

“Sebenarnya sudah dua tahun saya tidak sambut raya haji di kampung memandangkan tidak mendapat cuti berkerja, namun tahun ini saya agak teruja apabila diberi cuti, tambahan pula baru-baru ini sekali dengan cuti sekolah seminggu.

“Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur pagi kelmarin agak perit kerana bukan sahaja ambil masa 12 jam, tetapi saya diduga dengan anak bengkak mulut (seperti ulser yang teruk) akibat bibir kering, seorang lagi demam, manakala yang kecil diriba sepanjang jalan,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, Wan Mazlina berkata, pada mulanya kesesakan di Kuala Krai bermula dari Keroh hingga sampai ke simpang Sungai Durian, kemudian perjalanan ke Gua Musang.

“Simpang nak masuk Dabong (Kuala Krai) juga jem (sesak) teruk, tetapi apabila melepasi Gua Musang, jalan kembali seperti sedia kala.

“Rasa ngeri dengan 'jem' sebelumnya, menyebabkan kami ‘lari’ ke jalan alternatif iaitu dari Raub melalui Sungai Koyan, tidak mahu ikut jalan Bentong, kami lalu jalan Bentong Lama. Itupun selepas melihat jalan Raub dan Bentong dari awal lagi sudah sesak teruk,” katanya.


Segera bawa anak ke hospital sebaik tiba destinasi

Pengalaman tersebut mungkin lagi memberi makna kepada anak-anaknya, Tengku Muhammad Aqil Amsyar, 10, Tengku Muhammad Aisy Amsyar, 8, dan Tengku Muhammad Ariq Amsyar, 3.

“Mujurlah perjalanan ini biarpun awal pagi, namun suasana gelap menyebabkan mereka banyak tidur di dalam kereta, tambahan pula mereka sakit dan sebaik sampai di Selayang, saya terus bawa mereka ke Hospital Selayang untuk rawatan,” katanya.

Berbeza pengalaman seorang lagi perantau, Roshazila Mat Daud, 36, dari Kampung Kukang, jalan Perol, Kota Bharu yang mengalami perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selama 13 jam.

“Biasanya perjalanan kami lapan jam sahaja dari Kota Bharu ke Kota Damansara, tetapi hari raya haji lepas, kami terkejut kerana jalan sesak merata tempat.

“Kali ini, dari Machang jalan sudah mulai sesak, kemudian ke jalan Kuala Krai agak sempit menyebabkan laluan perlahan dan ‘beratur’ untuk ke Gua Musang, memang terasa azab, tetapi kalau ingat keluarga, kami pujuk hati semasa bersesak tu,” katanya.

Dia dan suaminya, Shulhisham Mohd, 37, memulakan perjalanan malam kelmarin dari Mulong, Kota Bharu dari jam 12.30 pagi, namun akhirnya ‘tewas’ apabila terpaksa akur dengan kesesakan sebaik tiba di Machang.

“Kalau ada jalan lebih lebar, rasanya perkara ini boleh diatasi, sekurang-kurangnya masa perjalanan dipendekkan dan tidaklah memberi tekanan kepada pemandu,” katanya yang mempunyai dua anak.


Perantau mahu jalan disegerakan naik taraf

Pengalaman yang sama turut dikongsi Shafzool Salmi, 28 yang menempuh perjalanan lebih 10 jam walaupun menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) semata-mata untuk pulang beraya bersama keluarga di Kelantan.

Pengalaman sebagai anak perantau sebelum ini banyak membantu Shafzool untuk memilih jalan dan waktu yang sesuai, namun ramalan tidak sebagaimana yang berlaku apabila kesesakan luar biasa tetap berlaku di kawasan lebuh raya.

“Sebelum ini ramai yang mahu mengelak menggunakan laluan Bentong, Gua Musang dan laluan-laluan utama yang melibatkan kesesakan teruk. Paling kurang pun kebanyakan rakan-rakan dan saya sendiri akan memilih waktu yang sesuai, tidak kira lah jam tiga atau empat pagi pun, kami gagahkan juga konvoi pulang beramai-ramai.

“Saya berharap kerajaan akan menyediakan pelbagai alternatif lain kepada perantau supaya kami tidak berdepan masalah seperti ini lagi. Selain menghadapi masalah kenderaan, kebanyakan mereka yang mempunyai anak kecil juga berdepan pelbagai kesusahan,”katanya.

Perkara yang sama juga turut disokong Mohd Ihsan Che Ismail, 30 yang juga meredah kesesakan selama lebih 13 jam dari laluan Machang ke Kuala Lumpur dan ia merupakan pengalaman yang sukar dilupai beliau sekeluarga.

“Paling lama pun tujuh jam untuk perjalanan biasa, tapi kali ini, lebih 13 jam, dan yang paling teruk bermula di Kuala Krai. Banyak faktor yang menyebabkan kesesakan tersebut berlaku. Di antaranya ialah jalan sempit, berliku dan juga sikap pemanduan masyarakat yang masing-masing berlumba untuk memotong, walaupun keadaan kenderaan di depan masih tidak bergerak,” katanya.


Kerajaan negeri ambil tindakan

Berada dalam kenderaan selama hampir 15 jam adalah perkara biasa bagi perantauan Kelantan sama pulang atau kembali ke Kuala Lumpur, namun faktor itu dijangka berterusan pada masa hadapan memandangkan jajaran lebuh raya masih dalam perancangan

Sementara itu, mengulas mengenai situasi lazim yang dilalui perantau mahupun penduduk setempat setiap kali cuti perayaan, kerajaan negeri mengenal pasti beberapa faktor berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa, Infrastruktur, Utiliti, dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, perkhidmatan kereta api yang terganggu kesan bah kuning yang membadai Kelantan baru-baru ini turut mempengaruhi kesesakan laluan musim perayaan.

Mengakui kesesakan kali ini dilihat lebih teruk berbanding kebiasaannya, Hanifa berkata, masing-masing memilih menggunakan kenderaan sendiri kerana laluan kereta api belum pulih sepenuhnya.

“Raya ini, kenderaan bertambah di jalan raya, sebab ada yang balik ke kampung menggunakan kenderaan sendiri,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 29 Sept. 2015

2 ulasan:

  1. Assalaamu'alaikum wbr. Ini adalah satu info menarik. Sememangnya kemeriahan itu dapat dirasakan dan rasa tidak sunyi bila kita diiringi oleh saudara-mara, sahabat handai - malah semangat juga menyebabkan kita mengenali satu sama lain rakyat Kelantan yang sama-sama pulang berhariraya.

    Saya sebenarnya; setiap kali tiba musim raya; saya akan bertolak pagi-pagi sebelum subuh untuk pulang ke kampung halaman. Ini untuk mengelakkan kesesakan lalulintas dan Alhamdulillah, walaupun lewat, saya dan keluarga tetap selamat pulan ke kampung.

    Jika saya ingin kembali lebih awal (terutamanya 'peak hours' rakyat Kelantan pulang ke kampung) - saya akan mengambil jalan yang sedikit jauh melalui LPT atau 'jalan lama' menerusi 'coastal area' Negeri Terengganu. Terimbau kembali kenangan semasa kecil dibawa berjalan-jalan oleh ibubapa ke Kuala Lumpur dari Kelantan menerusi jalan 'lama' ini. Walaupun masa yang akan diambil akan lambat sedikit, namun, yang penting keselamatan dan keselesaan diri dan anak-anak.

    Wassalamu'alaikum wbr.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih banyak2 atas cadangan laluan tersebut sahabat hamba Nik Zafri.

      Padam