Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 14 Mei 2015

Tiada siapa berani bawa Kit Siang jika Nik Abdul Aziz masih hidup


Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: Pas Kawasan Kota Bharu diselar oleh pemimpin-pemimpin parti itu sendiri kerana memberi ruang kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menyampaikan ceramah menolak pelaksa­naan hudud di Kelantan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, perkara sedemikian tidak akan berlaku sekiranya bapa­nya masih hidup.

Beliau memberitahu, ada pihak berpandangan Pas berubah begitu cepat sekali selepas pemergian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malah kelihatan seolah-olah kematian Allahyarham dinanti-nantikan oleh golongan tertentu.

Jika ada Nik Abdul Aziz, tiada pemimpin Pas yang berani membawa dan bersama Kit Siang ke Kota Bharu untuk berceramah menolak hukum Allah.

“Semoga Allah mengukuhkan istiqamah ahli Pas seluruhnya menyambung perjuangan tuan guru yang telah menemui tuhannya di belakang tuan guru Presiden yang masih bersama berjuang melawan badai tipu daya,” katanya melalui laman Facebook beliau malam tadi.

Kit Siang semasa berucap dalam ceramah anjuran Pas Kawasan Kota Bharu di Padang Perdana, Kota Bharu Ahad lalu secara terbuka mempersoalkan komitmen Pas untuk melaksanakan hudud di negeri berkenaan. Ceramah tersebut turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan menyifatkan tindakan berucap untuk menolak pelaksanaan hudud di hadapan rakyat Kelantan adalah satu kesilapan besar.

“Majoriti rakyat Kelantan sedang menanti dan mengharapkan pelaksanaan syariat Islam menjadi kenyataan di bumi Serambi Mekah itu sejak sekian lama tergendala,” ujarnya melalui laman Facebook beliau malam tadi.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan melalui laman Facebook beliau hari ini berkata, ucapan Kit Siang tersebut telah menggores hati dan perasaan penyokong-penyokong Pas di negeri tersebut.

“Rumah ini ada tuannya, jika tuan hadir dengan jemputan anak yang derhaka, belum tentu anak yang lain boleh membiarkan rumahnya dihina sesuka hati,” jelasnya.

Ketua Dewan Pemuda Pas Gombak, Dr. Mohd. Nor Husin pula kesal dengan tindakan Pas Kawasan Kota Bharu membelakangi keputusan Pas Pusat dan kerajaan Pas Kelantan yang bertungkus-lumus untuk merealisasikan pelaksanaan hudud di negeri itu.

Sumber: Utusan Malaysia | Politik | 12 Mei 2015 | Terbitan 13 Mei 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan