KOTA BHARU: Masyarakat sekitar Kota Bharu mula membuat persiapan menyambut Aidilfitri walaupun Ramadan masih berbaki kira-kira 20 hari lagi.
Tinjauan Bernama di beberapa pusat beli-belah di Jalan Hamzah dan Lembah Sireh di sini, mendapati tempat tersebut mulai sesak dengan kehadiran orang ramai.
Keadaan trafik di jalan masuk dan sekitar ke pusat beli-belah berkenaan juga agak sesak dengan keluar masuk kenderaan pengunjung.
Seorang pengunjung pusat beli-belah, Che Hussin Che Othman, 47, berkata beliau memilih untuk membuat persiapan awal bagi mendapatkan warna baju kegemaran yang akan dipakai oleh beliau, isteri dan tiga anaknya.
"Bila keluar membuat persiapan awal ni banyak pilihan dari segi warna dan juga saiz, kalau terlambat nanti saiz yang ada terhad dan sukar untuk mendapatkan baju pilihan kerana khuatir warna yang diinginkan kehabisan stok."
"Hampir setiap tahun keluarga saya akan memilih warna baju yang sepadan agar kemeriahannya lebih terasa walaupun disambut secara sederhana," katanya ketika ditemui di sebuah pusat beli-belah di Jalan Hamzah di sini, hari ini.
Sementara itu, Rosnorhanan Abdul Rahman, 34, berkata beliau membuat persiapan Aidilfitri lebih awal pada kali ini bagi mengelak kesesakan lalu lintas jika membuat persiapan di saat-saat akhir.
Katanya beliau hanya menyediakan tiga pasang baju yang siap dijahit untuk suami dan dua anaknya sebagai langkah berjimat-cermat.
Sumber: Bernama | 26 Mei 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan