Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 30 September 2017

RM24 juta bina, turap jalan kampung di Kelantan

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (kanan) bersalaman dengan orang ramai ketika hadir merasmikan Jalan Perhubungan Desa SK Pangkal Nering ke Kampung Kerawang serta Jambatan Lubok Agong, Pulai Chondong, Machang hari ini.
MACHANG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan sebanyak RM24 juta untuk membina dan menurap jalan sepanjang 25 kilometer di bawah program jalan perhubungan desa di seluruh Kelantan pada tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata setakat ini jalan sepanjang 23 kilometer telah siap dibina manakala selebihnya akan siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

"Kita yakin akan ada lagi peruntukan tambahan yang akan diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan berasaskan keperluan semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan dan jalan perhubungan desa dari Sekolah Kebangsaan Pangkal Nering ke Kampung Kerawang di sini, hari ini.

Jambatan dan jalan perhubungan desa sepanjang dua kilometer itu mula dibina pertengahan tahun lepas mambabitkan peruntukan hampir RM500,000 yang memberi manfaat kepada kira-kira 500 penduduk di kawasan itu.

Berhubung pemasangan lampu jalan, Ahmad Jazlan yang juga Anggota Parlimen Machang berkata kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan lebih RM5.3 juta untuk membina 500 lampu jalan yang berkuasa tinggi di negeri ini.

Sumber: Bernama | 30 September 2017

Musclemen Spa: Lembaran baharu One Forteen

One Forteen (kiri) bersama rakannya, Jaspal Singh Ajaib Singh berbangga kerana membuka Musclemen Spa yang dikhaskan untuk lelaki selepas bersenam di gimnasium.
BEGITU ramai selebriti menceburi bidang perniagaan seperti penghasilan produk sendiri, membuka restoran dan syarikat persendirian.

Sebagai jaminan kerjaya dan minat, figura kegemaran remaja iaitu One daripada kumpulan Forteen tidak mahu terlepas peluang menceburi bidang perniagaan.

Menurut One atau Muhammad Ridzuan Shariffudin, karier nyanyiannya bersama kumpulan Forteen masih menjadi keutamaan, namun dia juga mempunyai hobi iaitu gemar pergi ke gimnasium.

Berkongsi minat sama iaitu rakannya, Jaspal Singh Ajaib Singh, mereka berdua terfikir membuka sebuah spa untuk para kaki gimnasium seperti mereka.

“Tercetus fikiran untuk buka spa lelaki ekoran minat saya dan rakan, Jaspal Singh gemar melakukan aktiviti latihan fizikal di gimnasium.

“Kami memang kaki gimnasium, bila selalu workout (latihan bina badan) kita akan mengalami sakit-sakit badan, otot lenguh dan kadangkala kecederaan pada otot.

“Saya dan rakan terfikir iaitu kita boleh pergi untuk buat aktiviti merehatkan badan seperti di spa yang khusus untuk lelaki,” katanya ketika ditemui S2.

Khuatir dengan masalah tersebut, One berkata, kebanyakan spa yang ada di Malaysia khususnya sekitar Lembah Klang adalah untuk wanita.

“Memang ada spa untuk lelaki tetapi jumlahnya terlalu sedikit dan terletak jauh. Bayangkan anda pergi gimnasium di Shah Alam tetapi spa lelaki ada di Kuala Lumpur.

“Dalam keadaan penat, letih dan sakit badan, pasti sukar untuk memandu jauh semata-mata untuk pergi ke spa. Kalau sekadar berehat menghilangkan sakit badan pasti makan masa lama.

“Daripada situ tercetus idea membuka spa khusus untuk lelaki dan menyediakan perkhidmatan khas bagi kaki gimnasium terutama yang memerlukan rawatan kesakitan otot,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jaspal Singh berkata, spa mereka yang diberi nama Musclemen Spa itu dibuka pada akhir Ogos lalu dan menawarkan pelbagai perkhidmatan.

“Kita ada lima jenis perkhidmatan kepada pelanggan iaitu fokus keterampilan seperti waxing, pedicure dan manicure. Kedua pula urutan dan istimewanya adalah kami menyediakan rawatan aromaterapi serta urutan sukan.

“Rawatan badan turut ditawarkan seperti bekam, mandian susu, ‘body mask’, body scrub, rawatan detoks dan muka.

“Namun, apa yang menjadikan Musclemen Spa istimewa adalah perkhidmatan khas iaitu ‘muscular wax, ‘black ice cube peel of mask’, rawatan ais untuk otot, rawatan buang lemak, rawatan pemulihan otot dan vichy shower,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Hiburan | 30 September 2017

Khamis, 28 September 2017

Pembelian 16 pesawat jimatkan kos pajakan hingga 20%

Peter Bellew
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines mempertahankan langkah pembelian 16 pesawat Boeing yang merupakan sebahagian daripada penyusunan semula kumpulan pesawatnya bagi menjimatkan kos pajakan antara lima hingga 20 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Peter Bellew berkata, sebagai sebahagian daripada langkah itu juga, Malaysia Airlines turut menandatangani surat hasrat (LOI) dengan AerCap untuk memajak enam pesawat terpakai A330-200 bagi menggantikan enam pesawat bersaiz kecil Boeing 737 yang akan dipulangkan semula kepada syarikat pemajak.

Ketika ini, Malaysia Airlines beroperasi dengan 69 pesawat dengan 48 pesawat bersaiz kecil (narrow­body), manakala sele­bihnya adalah pesa­wat bersaiz besar (widebody).

Jelasnya, jumlah itu akan meningkat kepada 80 pesawat menjelang 2022 apabila pesawat bersaiz kecil yang tidak boleh beroperasi lagi akan digantikan dengan pe­sawat bersaiz besar yang menyaksikan pengimbangan semula rangkaian kumpulan pesawat daripada 70:30 kepada 55:45.

“Bagi penyusunan semula kumpulan pesawat ini, kami secara dasarnya tetap mempertimbangkan mekanisme pajakan kerana ia amat praktikal tanpa melibatkan sebarang pembiayaan tambahan apatah lagi kos pajakan bagi semua pesawat ini adalah lebih rendah dan mungkin lebih rendah lagi berbanding kos pajakan sedia ada.

“Sehubungan itu, dengan kadar pajakan baharu tersebut (bagi pesawat A330-200) adalah sangat kompetitif dan kami cuba mengambil peluang melalui pajakan ini,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan terbaharu pelan pemulihan Malaysia Airlines di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Malaysia Airlines, Tan Sri Md. Nor Yusof.

Berdasarkan LOI itu yang ditandatangani hari ini, A330-200 akan dipajakkan selama enam tahun mulai 2018 hingga 2023 dan akan digunakan untuk meme­nuhi perjalanan jarak jauh.

Pesawat tersebut akan mula diterima secara berperingkat pada Februari 2018 diikuti Jun dan Oktober bagi membolehkan syarikat penerbangan itu menempah pesawat bersaiz besar yang sete­rusnya.

Setakat ini, Malaysia Airlines beroperasi dengan enam buah pesawat A380, 15 buah A330-300 dan 48 buah B737-800.

Pada 12 September lalu, Boeing dan Malaysia Airlines menandatangani Memorandum Persefahaman untuk membeli 16 pesawat, masing-masing lapan 787 Dreamliners dan 737 MAXs, di Washington D.C.

Syarikat penerbangan negara itu melalui proses penstrukturan semula sejak 2014 yang menyaksikan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), sebagai pemegang saham utama menyuntik sebanyak RM6 bilion dengan separuh daripadanya digunakan sebagai modal permulaan untuk pembentukan entiti baharu (kemudiannya dikenali sebagai MAB pada Julai 2015).

Bellew turut mengalu-alukan pelantikan Habibul Rahman Kadir Shah sebagai pengarah bukan eksekutif MAS pada 18 Mei lalu, yang disifatkannya sebagai ‘bertenaga’ dan mempunyai pandangan yang kukuh berhubung bagaimana syarikat penerbangan itu harus dipertingkatkan.

“Saya fikir dia mempunyai perspektif berbeza. Beliau seorang akauntan bertauliah dan mempunyai pengalaman dengan syarikat multinasional. Beliau seorang ahli perniagaan yang banyak pengalaman, sentiasa bergerak sepanjang masa,’’ ujarnya.

Habibul Rahman merupakan graduan UiTM dan ahli bersekutu Chartered Institute of Secretaries and Administrators, Park Crescent, London. Beliau pernah berkhidmat sebagai akauntan di tiga konglomerat iaitu Bata, Nestle dan L’oreal lebih 10 tahun sebelum menubuhkan firma perunding Strategi Korporat dan Penasihat Kewangan dalam bidang penggabungan, pengambilalihan, penyusunan semula dan penyah­laburan.

Bellew juga mengalu-alukan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa dalam menyertai lembaga pengarah MAS.

Sumber: Utusan Malaysia | Ekonomi | 27 September 2017 | Terbitan 28 September 2017

HUSM terima bantuan pakar jantung Kanak-kanak dari UK

KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi menerima bantuan kepakaran sepasukan doktor pakar bedah jantung kanak-kanak dari United Kingdom, kali ini bagi melakukan pembedahan kepada 10 orang pesakit jantung, di Hospital USM (HUSM) Kubang Kerian di sini.

Timbalan Pengarah Kanan (Klinikal) HUSM Dr Nik Min Ahmad berkata rombongan pakar berkenaan adalah kesinambungan program yang dimulakan sejak 2015 dibiayai sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan badan amal, Yayasan 'Healing Little Heart' (HLH).

"Kali ini rombongan pakar diketuai Dr Edward Peng bersama tiga orang doktor, tiga jururawat dan seorang perfusionis daripada Royal Hospital For Children, Glasgow, Scotland dalam usaha membantu 10 pesakit jantung kanak-kanak di HUSM," katanya pada sidang akhbar bagi memperkenalkan projek amal itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains HUSM Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah dan Pakar Pediatrik Kardiologis HUSM Dr Mohd Rizal Mohd Zain.

Dr Nik Min berkata pesakit jantung terbabit yang berumur antara tujuh hari dan 18 tahun menjalani pembedahan tersebut yang bermula Ahad lepas hingga Khamis ini.

Beliau berkata sehingga kini empat bantuan yang sama berjaya memberi manfaat kepada 40 pesakit jantung kanak-kanak di Kelantan sejak program itu dilaksanakan pada 2015.

Katanya HUSM amat bertuah dan berterima kasih atas usaha murni yang dilakukan oleh semua pakar bedah berkenaan kerana ia bukan sahaja satu perkongsian perubatan bijak tetapi lebih penting mampu memendekkan tempoh menunggu pesakit selain dapat menjimatkan kos sehingga RM50,000.

Beliau berkata kerjasama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit jantung di negeri ini yang dianggarkan sebanyak 400 kes setahun selain pesakit lain di seluruh negara.

Sementara itu, bapa seorang pesakit jantung Mohd Fairus Razali, 38, berkata beliau amat bersyukur selepas anaknya Nur Qurattun Ain, 4, selamat menjalani pembedahan semalam.

"Saya amat berterima kasih kepada HUSM kerana telah menyegerakan pembedahan ke atas anak saya tanpa bayaran yang tinggi. Ia benar-benar membantu kerana saya hanya penoreh getah dan tidak mampu membiayai semua kos pembedahan," katanya.

Beliau berkata anak tunggalnya itu mengalami penyakit jantung berlubang sejak lahir dan menjalani pembedahan pertama ketika berumur tujuh hari.

Majlis sama turut menyaksikan penyerahan cek sumbangan peralatan pembedahan kepada dua pesakit jantung bernilai RM7,950 setiap seorang oleh Tabung Kebajikan dan Pendidikan Persatuan Alumni Doktor USM (Paducare).

Paducare adalah projek kerjasama bersama Pasar Raya Mydin bertujuan mencari dana untuk pembelian peralatan jantung bagi merawat masalah jantung dalam kalangan kanak-kanak.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Paducare di akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03018010143422.

Sumber: Bernama | 26 September 2017

50 graduan jalani Program Latihan Kemahiran Industri ECRL

KUANTAN: Seramai 50 siswazah lulusan diploma dan ijazah pusat pengajian tinggi tempatan mencatat sejarah menjadi peserta pertama Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL), selama tiga bulan bermula hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata mereka akan ditempatkan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang di sini, bagi menjalani latihan yang bertujuan memantapkan pengetahuan dalam bidang teknologi kereta api.

Katanya, pengambilan peserta program itu dikendalikan Malaysian Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan mereka yang berkelulusan kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrikal itu menerusi proses temuduga.

"MRL menerima 760 permohonan bagi PLKI-ECRL sebaik sahaja majlis pecah tanah projek ECRL dirasmikan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) pada 9 Ogos lalu, sebelum disenarai pendek kepada 250 untuk sesi temuduga.

"50 peserta akhir ini akan ditawarkan pekerjaan secara automatik sama ada di MRL, China Communications Construction Company (CCCC) atau sub-kontraktor yang terlibat dalam projek ini,"katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Idris menambah pengambilan peserta PLKI-ECRL itu juga bukti komitmen kerajaan menunaikan janji melatih 3,600 anak tempatan dalam tempoh lima tahun supaya mereka berkeupayaan untuk terlibat dalam pembangunan ECRL bernilai RM55 bilion yang dijadualkan siap pada 2024.

Beliau menambah pengambilan seterusnya dijadualkan seramai 250 orang pada November ini diikuti 400 orang (2018), 1,200 orang (2019), 700 orang (2020) dan 500 orang masing-masing pada 2021 dan 2022.

Mengenai pemilihan UMP sebagai pusat latihan, Idris berkata universiti itu dipilih sebagai universiti koordinator hasil rundingan kerjasama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan MRL selain pengkhususannya sebagai universiti teknikal.

"Kedudukan UMP di tengah-tengah landasan ECRL menjadi nilai tambah kepada universiti ini. UMP juga telah mendapat kerjasama daripada Beijing Jiaotong University dan Southwest Jiaotong University bagi perkongsian pengetahuan dan teknologi bidang pengangkutan kereta api.

"Malah saya diberitahu Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UMP telah memperkenalkan kursus elektif berkaitan teknologi rel pada bulan ini, menunjukkan keseriusan dan komitmen mereka dalam bidang teknologi kereta api,"katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL Darwish Abdul Razak berkata mereka yang terpilih terdiri daripada 21 graduan diploma dan 29 graduan sarjana muda daripada institusi pengajian tinggi seluruh negara.

"Keutamaan diberikan kepada mereka yang berasal dari Pantai Timur dan Selangor. Mereka yang terpilih juga menerima elaun bulanan sebanyak RM900 bagi lulusan diploma dan RM1,000 bagi lulusan sarjana muda selain disediakan kemudahan penginapan,"katanya.

Darwish menambah mereka yang berjaya melengkapkan latihan dan penilaian PLKI-ECRL akan menerima sijil kehadiran yang diiktiraf oleh CCCC.

Sumber: Bernama | 25 September 2017

Tengku Muhammad Faiz dimasyhurkan sebagai Canselor UMK

KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baharu, menggantikan Sultan Muhammad V yang kini Yang di-Pertuan Agong.

Pelantikan baginda selama lima tahun sehingga 2022 itu diperkenankan oleh Sultan Muhammad V pada 12 Feb lepas dan pemasyhuran hari ini diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dalam istiadat yang berlangsung di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini.

Tengku Muhammad Faiz, 43, berkelulusan doktor falsafah dalam bidang sejarah dari University College of London.

Turut hadir pada istiadat itu ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK Profesor Datuk Dr Mortaza Mohamed.

Bertitah pada istiadat tersebut, Tengku Muhammad Faiz mahu UMK memberi tumpuan kepada usaha menjamin kualiti dan kecemerlangan dalam semua aspek yang menentukan kekuatan serta penjenamaan universiti itu dapat diperkasa.

"Kita kini berada dalam era revolusi industri keempat dengan perkembangan teknologi yang sangat pesat. Dalam hal ini, beta berharap UMK tidak ketinggalan dalam melakukan lonjakan dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan global semasa," titah baginda.

Titah baginda pada masa sama UMK harus memastikan sanjungan nilai dan fikrah keinsanan graduan yang dihasilkan perlu dinamik dan seimbang dari sudut intelek dan rohani.

Sebagai sebuah universiti keusahawanan, UMK perlu melipatgandakan usaha untuk menjadikan keusahawanan sebagai kekuatan utamanya dengan meningkatkan ekosistem keusahawanan meliputi aspek akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan pelajar, titah Tengku Muhammad Faiz.

Baginda juga bertitah dalam usia yang kini sudah mencapai 10 tahun, universiti itu telah memberi sumbangan yang amat besar bukan hanya kepada dunia pendidikan tinggi negara tetapi juga kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat terutama di Kelantan.

Baginda berharap UMK akan terus memberi impak kepada kesejahteraan hidup rakyat yang memerlukan perhatian melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan yang telah dilakukan seperti pelan tindakan pengurusan kemiskinan.

Sumber: Bernama | 25 September 2017

JKM diperuntukkan lebih RM1 juta untuk hadapi banjir di Kelantan

KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan diberi peruntukan lebih RM1 juta sebagai persediaan menghadapi kemungkinan musibah banjir di negeri itu hujung tahun ini atau awal tahun depan, kata Pengarahnya Said Sidup.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi RM740,000 daripada Kerajaan Persekutuan manakala RM300,000 lagi daripada kerajaan negeri.

"JKM menyenaraikan 699 pusat pemindahan termasuk 14 berkapasiti besar yang mampu menempatkan 213,180 mangsa banjir," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Said berkata jabatan itu turut mengenal pasti kawasan berisiko dilanda banjir di jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.

Selain itu, JKM menyenaraikan 222 pangkalan hadapan sebagai pusat pengumpulan barang keperluan asas untuk diagihkan ke pusat pemindahan, katanya.

Said berkata 28 kenderaan pacuan empat roda dan dua lori disediakan untuk memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan.

"Seramai 214 orang sukarelawan yang berdaftar dengan JKM akan dikerahkan membantu mangsa banjir apabila banjir diisytiharkan di suatu kawasan," katanya sambil menambah JKM akan mengadakan bengkel latihan simulasi bencana di semua 10 jajahan di negeri itu mulai bulan depan.

Sumber: Bernama | 25 September 2017

JBPM Kelantan diminta percepat pemeriksaan terhadap pusat-pusat tahfiz

Mustapa menziarahi Rafishah Muhammad, 69, yang terlantar akibat strok pada program Ziarah Kasih sempena lawatan beliau ke Pusat Daerah Mengundi (PDN) Kampung Kelaboran
TUMPAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan diminta untuk mempercepatkan pemeriksaan keselamatan terhadap premis yang terlibat dengan pengajian agama di negeri itu terutama pusat tahfiz.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia bagi mengelakkan kejadian yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur 14 Sept lepas terjadi di negeri itu.

"Apa yang berlaku di Jalan Keramat Ujung itu satu peristiwa yang menyayat hati. Kita reda dengan apa yang berlaku tetapi dalam masa yang sama perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku lagi pada masa depan.

"Caranya adalah ikut syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan dan kita harap di Kelantan, pusat tahfiz akan mula diperiksa oleh JBPM Kelantan secepat mungkin supaya kejadian sama tidak berlaku," katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Ziarah Kasih dan meninjau beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran dan DUN Pengkalan Kubor di sini, malam tadi.

Selasa lepas, mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi (HLC) mengenai Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dipinda bagi membolehkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta termasuk sekolah tahfiz swasta tertakluk di bawah akta itu dengan persetujuan kerajaan-kerajaan negeri.

Cadangan itu adalah langkah proaktif yang dikemukakan dalam mencari jalan terhadap isu-isu berkaitan sekolah tahfiz termasuk isu keselamatan memandangkan pengurusan sekolah-sekolah itu kini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Turut dicadangkan, premis maahad tahfiz, sekolah agama, rumah anak yatim, rumah orang tua dan pusat asuhan kanak-kanak harus mematuhi piawaian keselamatan.

Ia susulan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa termasuk 21 pelajar.

Sumber: Bernama | 24 September 2017

SPRM beri bayangan laksana tangkapan terhadap agensi penguat kuasa sempadan

TUMPAT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited dan sedang mengatur langkah untuk mengambil tindakan, termasuk menahan pegawai agensi-agensi penguat kuasa yang terlibat dengan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa di kawasan sempadan negara.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Dzulkifli Ahmad mengakui sesetengah agensi penguat kuasa yang bertugas di kawasan sempadan sudah dijangkiti virus rasuah yang menyebabkan aktiviti penyeludupan berlaku.

"Insya-Allah, bila saya sebut (nak tangkap), adalah tu... tapi saya tak boleh nak beritahu sekarang. Kita kena buat perancangan yang rapi. Sempadan ini luas, jadi tunggulah, akan ada tangkapan (yang akan SPRM buat)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Kembara Jelajah Anti-Rasuah (KEJAR'17) sempena sambutan ulang tahun Jubli Emas SPRM peringkat Kelantan di Kompleks Perpaduan Tumpat di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dzulkifli tidak menjelaskan lebih lanjut agensi keselamatan yang terbabit dengan aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa di sempadan negara.

Ditanya mengenai keengganan Selangor yang sehingga kini masih belum menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), beliau berkata perkara berkenaan sebenarnya tidak sukar untuk dilaksanakan.

"Selangor nak tambah 20 inisiatif (dalam IBR) seperti dilaksanakan Pulau Pinang pun tak apa, kita boleh benarkan. Apa susahnya buat ikrar... rakyat nak tengok komitmen kerajaan negeri untuk pastikan pentadbiran bebas daripada rasuah," katanya.

Dalam pada itu, Dzulkifli turut mengingatkan mana-mana pihak yang memberi komen terhadap siasatan yang dilakukan SPRM boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 48 Akta SPRM 2009 (Akta 694) kerana mengganggu siasatan.

Beliau merujuk kepada kes berkaitan penahanan tiga setiausaha politik, kerani dan pembantu peribadi seorang anggota Parlimen pembangkang di Selangor pada Khamis lepas.

Katanya SPRM turut merekodkan keterangan daripada anggota Parlimen tersebut pada Khamis lepas selepas beliau hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada pukul 9 malam.

Sumber: Bernama | 23 September 2017

20 unit rumah setinggan di Wakaf Mek Zainab musnah dalam kebakaran

KOTA BHARU: Dua puluh unit rumah setinggan di Wakaf Mek Zainab di sini musnah dalam kebakaran awal hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin berkata kejadian tersebut berlaku kira-kira 2.45 pagi tadi, menyebabkan 30 mangsa tinggal sehelai sepinggang.

"Lima belas unit rumah setinggan tersebut mempunyai penghuni manakala lima lagi tidak berpenghuni.

"Seramai 26 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas pihak kami menerima panggilan pada pukul 2.52 pagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zaini berkata 10 unit rumah setinggan yang dibina menggunakan kayu telah musnah ketika anggota bomba tiba di tempat kejadian.

"Kediaman yang disewa itu dibina berdekatan antara satu sama lain dengan keluasan 10x15 menyebabkan api cepat merebak...api dapat dikawal dalam 45 minit namun kesemua 20 unit kediaman itu tidak dapat diselamatkan," katanya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.

Sumber: Bernama | 23 September 2017

Kemudahan di Gua Ikan akan dibaik pulih - Pejabat Pelancongan Kelantan

KUALA KRAI: Kawasan pelancongan rekreasi Gua Ikan di Dabong di sini yang rosak dan terbiar sejak kejadian banjir besar pada 2014 akan dibaik pulih oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan Mohd Aidil Hafizi Daud berkata kawasan rekreasi itu mempunyai tarikan dan nilai komersial tinggi dalam sektor ekopelancongan.

"Tinjauan mendapati banyak kerosakan berlaku pada struktur gua akibat banjir dan ada batu gua yang runtuh selain pokok tumbang yang terbiar. 

"Kawasan dinding gua juga dilihat banyak diconteng oleh pengunjung sehingga mencacatkan pemandangan dan keaslian gua itu yang menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata pada 2008, kementerian berkenaan telah membina beberapa kemudahan seperti tandas dan surau tetapi kini semuanya rosak dan terbiar. 

"Pihak kami akan mengadakan gotong-royong pada minggu depan untuk membaik pulih dan membersihkan kawasan rekreasi seperti membaiki jambatan yang rosak dan membersihkan contengan di dinding gua," katanya. 

Beliau berkata pada tahun ini, pihaknya memberi penekanan terhadap ekopelancongan dengan semua kawasan pelancongan akan dipelihara termasuk mendidik orang ramai menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya di kawasan pelancongan. 

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Malim Gunung Kelantan, Bukhari Mat berkata keadaan persekitaran gua tersebut perlu dibaik pulih dengan segera agar tidak terus merugikan kerajaan Kelantan dari segi kedatangan pelancong.

"Kami sebagai malim gunung atau pemandu pelancong berharap kawasan rekreasi tersebut kembali menarik kunjungan ramai pelancong yang sukakan cabaran dan keindahan alam semula jadi," katanya.

Sumber: Bernama | 20 September 2017

Krisis Rohingya: Polis Kelantan kenal pasti lebih 100 laluan tikus

BACHOK: Polis Kelantan mengenal pasti lebih 100 lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha mengekang kemasukan pelarian Rohingya secara haram ke negara ini berikuan pergolakan yang sedang berlaku di Myanmar.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata lantaran itu, kawalan semakin dipertingkatkan bagi membendung kemasukan pelarian Rohingya di kawasan sempadan tersebut selain mengelak berlakunya perkara dan insiden yang tidak diingini.

"Polis sudah mengenal pasti terdapat antara 130 dan 150 lorong tikus yang diwujudkan untuk kegiatan penyeludupan di sempadan tersebut dari kawasan Jeli hingga ke Tumpat. Kita akan pantau dan tingkatkan kawalan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup kejohanan bola sepak dan bola tampar Piala Ketua Polis Kelantan di sini, hari ini.

Terdahulu, di majlis tersebut, Hasanuddin, dalam ucapannya, berkata anggota polis di negeri itu perlu melakukan aktiviti fizikal bagi mengurangkan berat badan dan mencegah penyakit kronik seperti serangan jantung, kencing manis dan buah pinggang.

Beliau berkata mana-mana anggota yang didapati gagal mengawal berat badan, bakal terlepas peluang untuk dinaikkan pangkat.

Sumber: Bernama | 18 September 2017

Bibi Ramjani pecah tradisi jadi wanita pertama terajui KAFA

Bibi Ramjani
KOTA BHARU: Usahawan wanita Bibi Ramjani Ilias Khan memecah tradisi bola sepak Kelantan apabila dipilih sebagai wanita pertama menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sejak ditubuhkan pada 1946.

Beliau merupakan wanita kedua di negara ini yang dilantik sebagai presiden persatuan bola sepak selepas pelantikan Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Presiden Johor Darul Ta'zim (JDT) Julai tahun lepas.

Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah ketika mengumumkan pelantikan Bibi Ramjani berkata usahawan wanita itu akan memimpin persatuan itu bagi penggal 2017 hingga 2021.

Afandi berkata pengiraan undi bagi jawatan nombor satu itu terpaksa dilakukan sebanyak dua kali selepas seorang calon presiden, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, yang juga naib presiden, tidak berpuas hati ketika pengiraan kali pertama dilakukan.

"Pada pengiraan kali pertama, Bibi Ramjani mendapat 32 undi daripada Persatuan Bola Sepak Jajahan manakala Muhammad Nasir pula 19 undi sehingga menyebabkan beliau menentang pengiraan tersebut.

"Bagaimanapun pada kiraan kali kedua, Bibi Ramjani kekal mendapat 32 undi, manakala Muhammad Nasir hanya menerima 16 undi," katanya kepada pemberita selepas Kongres KAFA Kali ke-63 di sini, malam ini.

Kongres tersebut berlangsung pada pukul 3 petang tadi dan berakhir kira-kira 9.15 malam ini.

Dalam pada itu, Afandi berkata beliau berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden KAFA selepas mengumpul 39 undi, sekali gus menewaskan pencabarnya iaitu Datuk Rosmadi Ismail yang sebelum ini merupakan naib presiden yang mendapat 27 undi.

Beliau berkata bagi jawatan naib presiden pula dimenangi Datuk Aizuddin Nik Abdul (39 undi), Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir (27 undi) dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim (21 undi), manakala dua calon lain iaitu Azman Ibrahim dan Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz menarik diri di saat-saat akhir sebelum pengundian bermula.

Katanya, selain itu, 10 muka baharu turut dipilih sebagai Exco Eksekutif KAFA iaitu Datuk Mohd Rowi Dollah (51 undi), Wan Rakemi Wan Zahari (42 undi), Nubli Ab Latiff (40 undi), Datuk Shaari Mat Husin (37 undi), Zulkifli Omar (37 undi), Akmal Ahmad Tabarani (33 undi), Mohammad Ausri Husin (29 undi), Azrul Mohd Zawawi (28 undi), Mohamed Fareez Nor Amran (26 undi) dan Datuk Azam Ismail (24 undi).

Sementara itu, Bibi Ramjani, ketika ditemui pemberita, berharap agar penyokong Kelantan memberikan beliau sedikit masa untuk menstrukturkan KAFA dan pasukan 'The Red Warriors' agar Kelantan kembali menjadi antara gergasi bola sepak negara yang digeruni.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Jajahan yang memberi mandat kepada beliau untuk mengemudi KAFA bagi penggal tersebut.

Bibi Ramjani sebelum ini dilaporkan akan membawa masuk penajaan daripada tiga syarikat multinasional untuk mengukuhkan kedudukan kewangan KAFA jika dipilih sebagai presiden persatuan tersebut.

Sumber: Bernama | 17 September 2017

Sabtu, 16 September 2017

Thailand berhasrat perluas IMT-GT ke Terengganu dan Pahang

KOTA BHARU: Thailand mahu memperluaskan kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) meliputi Pahang dan Terengganu, bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi menerusi perdagangan antara kawasan selatan negara itu dengan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand, Supanat Sirintawinet, berkata walaupun IMT-GT diperkenalkan kira-kira 12 tahun lepas, namun hasil yang diperoleh menerusi sektor perdagangan antara kawasan yang terlibat masih kurang memberangsangkan.

"Jika ia diperluaskan ke Terengganu dan Pahang, saya yakin ia mampu merancakkan lagi perdagangan antara kawasan-kawasan yang terlibat, terutama di sekitar sempadan Thailand dan Malaysia," katanya menerusi jurubahasa ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam anjuran Konsulat Diraja Thailand di sini malam tadi.

Hadir sama Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu Paitoon Songkaeo.

Supanat berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan wakil dari Malaysia bulan lepas bagi membincangkan perkara berkenaan.

Beliau berkata perkara lain yang dibincangkan termasuk meluaskan jambatan di Sungai Golok, Rantau Panjang dan pembinaan jambatan baharu yang menghubungkan Pekan Tak Bai dengan Pengkalan Kubor di Tumpat.

IMT-GT membabitkan 14 wilayah di Selatan Thailand iaitu Krabi, Nakhon Si Thammarat, Narathiwat, Pattani, Phattalung, Satun, Songkhla, Trang, Yala, Chumphon, Ranong, Surat Thani, Phang Nga dan Phuket manakala lapan negeri di Semenanjung Malaysia pula membabitkan Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Selangor.

Di Indonesia, 10 wilayah terlibat iaitu Aceh, Bangka-Belitung, Bengkulu, Jambi, Lampung, Sumatera Utara, Sumatera Selatan, Sumatera Barat, Riau dan Kepulauan Riau di Sumatera.

Terdapat sejumlah 54 juta penduduk di kawasan IMT-GT.

Sumber: Bernama | 15 September 2017

Boy Iman didakwa cuba menipu guna skim pembinaan rumah

LAMAN Facebook PW Community mendakwa pelakon dan usahawan Datuk Boy Iman cuba melakukan penipuan penjualan rumah melalui syarikat DBI Homes.

Dalam statusnya PW Community mendakwa, DBI cuba mengutip dana untuk menipu orang awam dengan menggunakan helah menjual rumah berharga semasa RM200,000 pada harga RM50,000.

Dakwanya, mustahil untuk membina rumah seperti rekaan yang dijanjikan dengan nilai tersebut dan ia kelihatan DBI Homes bersedia menanggung kerugian.

DBI bukan yang pertama menawarkan rumah pada harga rumah mampu milik, malah ada syarikat lain turut melakukan perkara yang sama sebelum ini iaitu Alfafa.

Syarikat tersebut juga turut melantik Boy Iman sebagai duta dan kini dia telah menukar jenama pembohongan Alfafa kepada DBI Homes,” tulisnya.

Posting tersebut yang di muat naik pada 6 September lalu mendapat lebih 10,000 likes dan lebih 11,000 perkongsian.

PW Community turut mendakwa, DBI Homes menggunakan teknik skim piramid dalam mengumpulkan dana dan menawarkan rumah dengan harga murah sebagai tarikan.

“Apabila perlu cari downline bermakna dana yang dikumpulkan oleh DBI akan menjadi berlipat kali ganda secara pyramid scheme dan semestinya permainan licik sebegini senang dapat sambutan.

“Kita lambat bertindak untuk kekang scam Alfafa. PW mula buat isu bila keadaan telah jadi serius dan dalam kes DBI kita berpeluang untuk lenyapkan penipuan sebelum ia kukuh bertapak.

“DBI kini hanya pada peringkat permulaan dan kita kena lenyapkan DBI dengan segera supaya masyarakat awam tidak menjadi mangsa,” dakwanya.

Menerusi status itu, lebih 2,000 komen telah ditinggalkan dan kebanyakan bersetuju dengan tulisan laman tersebut.

“Itu Fitnah” – Boy Iman

Sementara itu, Boy Iman atau nama sebenar Norul Iman Abd Rahman memaklumkan dia sudah membaca status yang dimuat naik di laman sosial tersebut.

Malah, pelakon filem Blok 404 itu menafikan dakwaan berkenaan dan memberitahu akan mengambil tindakan undang-undang kepada pemilik laman Facebook tersebut

"Itu fitnah dan saya sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang minggu ini.

"Buat apa nak menipu, saya ini selebriti yang dikenali dan tidak boleh lari kemana-mana.

"Kalau ada sesiapa yang menjadi mangsa penipuan saya sila kemukakan bukti dan buatlah laporan polis," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Boy pula mendakwa pengendali laman Facebook tersebut telah dibayar oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan perniagaannya.

Boy turut menjelaskan harga rumah dibina murah kerana pembeli harus memiliki tanah sendiri.

"Saya mendapat tahu laman tersebut telah dibayar oleh kontraktor binaan yang tidak berpuas hati dengan harga rumah yang kami tawarkan.

"Rumah murah yang kami bina itu terhad dan kalau nak tahu kita ada bina rumah berharga lebih RM500,000.

"Tidak apalah, saya sudah biasa dihentam dan tunggulah tindakan saya selanjutnya," katanya yang tidak mahu terus dikaitkan dengan syarikat Alfafa Group.

Terdahulu, Boy pernah dilantik menjadi duta kepada syarikat tersebut pada tahun 2013.

Alfafa Group merupakan milik Norsham Abd Aziz turut menjalankan perniagaan yang serupa seperti DBI Homes.

Sumber: mStar Online | 11 September 2017

Rabu, 13 September 2017

Scoot mula jual tiket destinasi terbaharu di Malaysia

Scoot akan mengendalikan penerbangan harian dari Singapura ke Kuching dan terbang tiga kali seminggu ke Kuantan.
KUALA LUMPUR: Scoot, unit penerbangan tambang rendah jarak sederhana dan jauh Singapore Airlines Group memulakan jualan tiket bagi destinasi terbaharu di Malaysia iaitu Ku­ching dan Kuantan.

Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Lee Lik Hsin berkata, Scoot akan menawarkan penerbangan ke Kuching setiap hari bermula 29 Oktober 2017 dan ke Kuantan tiga kali seminggu bermula 2 Februari 2018.

Katanya, Scoot akan mengendalikan penerbangan harian dari Singapura ke Kuching dan terbang tiga kali seminggu ke Kuantan.

Lik Hsin berkata, penambahan Kuching dan Kuantan ke dalam laluan penerbangannya melengkapkan rangkaian meluas syarikat pe­nerbangan itu bagi Asia Tenggara.

“Kami akan terus mencari peluang untuk menawarkan ‘scootitude’, pengalaman perjalanan unik Scoot kepada lebih ramai penumpang di rantau ini,” kata­nya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Scoot juga telah menawarkan tambang sehala menarik bagi penerbangan ke Kuching serta Kuantan hingga 14 Ogos lalu.

Dua lokasi itu merupakan antara lima destinasi penerbangan baharu yang diumumkan pada 25 Julai lalu bersempena dengan penggabungan Scoot-Tigerair di bawah jenama Scoot.

Tiga destinasi lain itu ialah Ho­nolulu, Amerika Syarikat, Harbin, China dan Palembang, Indonesia.

Dalam perkembangan lain, jelasnya, Scoot menyasar untuk menggandakan jumlah pesawatnya dalam tempoh lima tahun.

“Scoot yang memiliki 14 Boeing 787 Dreamliners kerangka lebar dan 23 Airbus A320 ketika ini, akan menambah enam Boeing 787 Dreamliners dan 39 Airbus A320neo ke dalam kumpulan pesawatnya tidak lama lagi.

“39 pesawat Airbus A320neo itu akan diserahkan secara berperingkat bermula dari 2018 dan tahun-tahun seterusnya bagi pertumbuhan dan penggantian pesawat yang ada sekarang,” kata Lik Hsin.

Scoot juga melancarkan pesawat A320 pertamanya, yang sebelum ini dikendalikan oleh Tigerair dan mengecat semula de­ngan lambang pengenalan Scoot, dinamakan Conscious Coupling bersempena dengan penggabu­ng­an Scoot dan Tigerair.

Keseluruhan pesawat Tigerair akan menjalani transformasi dan perubahan lambang pengenalan itu dijangka selesai pada perte­ngahan 2018.
Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 1 September 2017 | Terbitan 2 September 2017

Khazanah, KWSP tingkat pelaburan di AS, beli lebih banyak pesawat Boeing untuk MAB

Najib Tun Razak bersalaman dengan Presiden Donald Trump selepas membincangkan hubungan strategik antara kedua-dua negara di Rumah Putih hari ini.Kunjungan kerja Najib ke sini adalah atas jemputan Presiden Trump ketika Malaysia-AS menyambut ulangtahun ke-60 hubungan dua hala kedua-dua negara.Perbincangan dengan Trump adalah kemuncak lawatan kerja Najib ke Amerika Syarikat atas jemputan Presiden Ke-45 negara itu, selepas 60 tahun menjalinkan hubungan dua hala.
WASHINGTON DC: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan mereka di Amerika Syarikat (AS) dan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi negara itu, umum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, KWSP sahaja dijangka melabur antara US$3 bilion dan US$4 bilion (US$1 = RM4.19) di negara tersebut.

"Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS," kata Najib semasa pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di sini, hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata delegasi Malaysia mempunyai tiga cadangan khusus.

Pertama, katanya, Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB), "Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat."

Jadi, dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga tersebut akan bernilai melebihi US$10 bilion, katanya.

Pesawat 737 MAX 10 bakal menjadi pesawat satu lorong paling menguntungkan bagi syarikat penerbangan tersebut, menawarkan kos tempat duduk paling rendah, manakala 787 Dreamliner merupakan pesawat enjin berkembar dengan kerangka sederhana bagi perjalanan jarak jauh.

Perbincangan dengan Trump itu merupakan kemuncak lawatan kerja Najib ke AS dari 11-13 Sept atas jemputan daripada Presiden AS ke-45 itu yang memegang jawatan pada 20 Januari tahun ini.

Najib berkata kerajaan juga akan cuba memujuk syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd untuk membeli enjin General Electric buatan AS.

"Keduanya, Kami memiliki KWSP, yang merupakan dana pencen utama di Malaysia. Mereka memiliki modal yang besar untuk dieksport, mereka melabur hampir US$7 bilion dari segi ekuiti di AS dan mereka berhasrat untuk melabur tambahan US$3 bilion hingga US$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula prasarana anda," katanya.

Perdana Menteri juga berkata Khazanah Nasional, yang memiliki pejabat di Silicon Valley, California dan telah melabur kira-kira US$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi, juga berhasrat meningkatkan pelaburannya.
Sumber: Bernama | 13 September 2017