Mustapa Mohamed meninjau proses pembinaan Jambatan Pasir Hor di Kota Bharu, Kelantan semalam. |
KOTA BHARU: Penantian seluruh rakyat Kelantan untuk menikmati kemudahan lebuh raya di negeri ini semakin menjadi kenyataan apabila pembinaan bagi fasa pertama Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai rancak berjalan tanpa sebarang masalah kelewatan.
Pada masa ini, Pakej 1B melibatkan laluan Pasir Hor-Kadok sejauh 10.5 kilometer telah mencapai tahap 75 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada September ini.
Bagi Pakej 2A melibatkan laluan Kadok-Ketereh sejauh tujuh kilometer pula mencapai tahap 50 peratus, manakala Pakej 2B membabitkan laluan Ketereh-Kok Lanas sudah dalam proses mengeluarkan tender.
Pakej 1B, 2A dan 2B merupakan fasa pertama bagi projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai yang melibatkan laluan sepanjang 73 kilometer dengan kos keseluruhan dianggarkan mencecah RM1.8 bilion.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, selain Pakej 1B, kerajaan Pusat turut meluluskan projek tambahan iaitu pembinaan jambatan enam lorong sejauh 3.5 kilometer dari Tunjong ke Pasir Hor.
Dalam masa sama, Mustapa juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju mengeluarkan tender bagi pembinaan Pakej 2B dijangkakan pada bulan depan.
“Alhamdulilah lebuh raya yang bakal menghubungkan Kota Bharu - Kuala krai berjalan dengan cukup lancar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek Pakej 1B di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, Pakej 1B yang dijadual siap September ini masih belum boleh dibuka kepada orang ramai kerana projek itu bersambung dengan Pakej 2A dan 2B yang masih dalam pembinaan.
“Namun, kita bercadang membina laluan keluar masuk bagi membolehkan pengguna menggunakan laluan tersebut sementara menanti fasa pertama lebuh raya tersebut siap sepenuhnya,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | 11 Mac 2017 | Terbitan 12 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan