KOTA BHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian 
Persekutuan (FAMA) memberi insentif sebanyak RM5,000 kepada setiap 
pengeluar dan pihak yang memasarkan sayur-sayuran melalui Program 
Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak ke Pusat Transformasi Luar Bandar 
(RTC) dan pasar tani yang diperkenalkan oleh agensi itu. 
Penolong Pengarah FAMA Wilayah Timur 1 dan RTC Kelantan, Mohd. Safwan
 Mulyadi berkata, mereka mendapat insentif tersebut dalam setiap 
perjanjian jual beli bagi membantu proses pengeluaran dan pemasaran 
secara keseluruhan.
Beliau berkata, program itu akan berjalan selama setahun melibatkan 
lima jenis sayur untuk permulaan iaitu terung, cili padi, timun, petola 
dan kacang bendi.
"Program ini pasti memberi manfaat kepada pengeluar dan pihak 
memasarkan sayur kerana tidak melibatkan ramai orang tengah dalam 
memasarkan bekalan tersebut.
"Ini merupakan salah satu langkah yang diwujudkan bagi meningkatkan 
ekonomi masyarakat petani di negeri ini," katanya dalam majlis 
menandatangani perjanjian jual beli antara FAMA dengan peserta Ladang 
Kontrak di RTC di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengurus Operasi FAMA negeri, Mohamad Fadlee Hassan dan Penyelaras Ladang Kontrak negeri, Muhd. Yusuf Sulaiman.
Mohd. Safwan berkata, program itu adalah untuk memberi galakan kepada
 peserta Ladang Kontrak yang menyalurkan bekalan terus dari ladang ke 
pengguna di RTC dan pasar tani dengan harga jualan lebih berpatutan.
"Melalui Program Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak tersebut, 
pendapatan petani sebagai pengeluar juga dapat ditingkatkan kerana hasil
 tanaman mereka dapat dipasarkan terus ke RTC," ujarnya.
Mohd. Safwan memberitahu, pada 2014 Kelantan menyasarkan memberi 
insentif kepada 30 pengeluar dan lima pihak yang memasarkan sayur 
melibatkan jumlah RM175,000.
Sementara itu seorang peserta, Kamrulzaman Abdullah berkata, program itu adalah langkah terbaik bagi memperluaskan lagi pasaran sayur-sayuran.
"Ini bukan sahaja dapat membantu pengeluar dan pihak pemasaran, malah
 turut membantu pengguna mendapatkan sumber bekalan tempatan yang lebih 
berkualiti serta murah," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 17 Nov. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan