Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 22 Mei 2017

Budu, pegaga panjangkan umur orang Kelantan

Prof. Dr. Lee Yeong Yeh (dua dari kiri) dan Prof. Gan Siew Hua (tiga dari kiri) sebelum menyampaikan syarahan di Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM di Kota Bharu.
KOTA BHARU: Masyarakat Melayu Kelantan jarang dikesan menghidap kanser perut dipercayai kerana faktor pengambila budu dan pegaga dalam makanan harian.

Pakar Perunding Kanan Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalam, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr Lee Yeong Yeh berkata, antara faktor utama penyakit tersebut adalah kewujudan kuman Helicobacter pylori (H.pylori) dalam perut namun bakteria jenis itu didapati jarang terdapat di kalangan penduduk negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya unsur biokimia yang terdapat dalam makanan tradisional tempatan itu merencat pertumbuhan H.pylori sekali gus mengurangkan risiko penyakit kanser perut golongan yang menggemari budu dan pegaga.

“Kita masih lagi dalam peringkat kajian awal namun setakat ini kita percaya pengambilan budu dan pegaga mungkin boleh mencegah H.pylori dan seterusnya kanser perut.

“Selain daripada itu, penduduk Melayu di sini juga didapati mempunyai jenis-jenis varian gen yang boleh menghasilkan unsur-unsur bahan kimia badan yang boleh melawan kuman H.pylori,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan syarahan umum sempena pelantikannya sebagai Profesor bertajuk ‘Perubahan Lanskap Kesihatan Gastrousus di Malaysia daripada H.Pylori kepada Obesiti’ di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian.

Selain beliau, seorang lagi profesor bidang Farmakogenetik, Prof. Gan Siew Hua turut menyampaikan syarahan bertajuk ‘Gen dan Ubat-ubatan Serta Penyelidikan Madu’.

Yang turut hadir, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Dr. Ahmad Sukari Halim dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Prof Dr Shaiful Bahari Ismail. 
 
Sumber: Utusan Online | Kelantan | 21 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan