Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 10 Mei 2017

UMK kukuhkan penglibatan pihak industri kembang budaya keusahawanan kepada pelajar

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan terus memperkasakan penglibatan pihak industri dalam usaha mengukuhkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajarnya.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata kerjasama dengan pihak industri dalam penubuhan syarikat di peringkat universiti, perlu diperkembangkan sejajar tranformasi dalam dunia perniagaan.

"Jadi pendekatan kita adalah membentuk pelajar menjadi paksi kepada perniagaan baharu agar bersedia dengan pelbagai cabaran dalam perniagaan, sekali gus membolehkan mereka bukan setakat berniaga tetapi mampu kekal dan kukuh dalam perniagaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) UMK 2016 di sini, hari ini yang turut dihadiri Naib Canselor UMK Datuk Mortaza Mohamed.

Seramai 101 kakitangan UMK menerima anugerah APC dalam majlis tersebut manakala 52 lagi menerima anugerah khas.

Sementara itu, Mortaza berkata universiti itu yang kini memasuki tahun ke-10 penubuhannya terus mengorak langkah ke hadapan agar setanding universiti awam lain di seluruh negara.

"Kita memanfaatkan sepenuhnya 1,300 kakitangan selain kekuatan 530 pensyarah yang kini kembali menyumbang bakti kepada universiti ini selepas menamatkan pengajian masing-masing di peringkat sarjana dan doktor falsafah," katanya.

Pada majlis itu, Jabatan Pendaftar UMK menerima Anugerah Kualiti Naib Canselor, sekali gus membawa pulang RM10,000 dan sijil penghargaan.

Sumber: Bernama | 8 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan