Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 25 Oktober 2013

Air selut melimpah ke jalan raya di Gua Musang

Air lumpur memenuhi permukaan jalan raya apabila hujan lebat.
GUA MUSANG: Air berlumpur dari hakisan bukit berhampiran simpang tiga bandar baharu yang melimpah ke Jalan Pulai Lama, di sini, setiap kali hujan lebat membahayakan keselamatan pengguna.

Berikutan itu, pengguna jalan terbabit meminta pihak berkenaan mengambil tindakan segera untuk membina perparitan bagi mengatasi masalah itu.


Mereka bimbang jika tindakan tidak diambil mungkin ada pengguna terdedah kepada risiko kemalangan kerana terpaksa merempuh takungan air hujan berlumpur itu.


Seorang pengguna, Harun Husin, 51, berkata, keadaan itu berlaku disebabkan tepi jalan berkenaan tidak mempunyai longkang atau parit menyebabkan air hujan bersama lumpur mengalir ke permukaan jalan.


Menurutnya, jalan terbabit yang  menjadi laluan penting pengguna untuk ke Kampung Pulai dan Batu Papan kerap berdepan masalah berkenaan.


“Pihak berwajib sewajarnya memberi perhatian serius terhadap perkara ini kerana banyak kenderaan yang melalui jalan terbabit hampir terbabas.


“Saya sendiri juga kerap berdepan dengan kejadian cemas itu, tetapi bersyukur kenderaan yang dipandu dapat dikawal dengan baik,” katanya.


Muhammad Fauzi Kadir, 35, pula berkata, sekarang musim hujan dan setiap petang berlaku limpahan air dari bukit berhampiran menyebabkan pengguna berdepan risiko kemalangan.


“Walaupun belum ada kejadian tidak diingini berlaku, pihak berkenaan sepatutnya mengatasinya segera supaya pengguna rasa selamat menggunakan jalan terbabit.


“Masalah itu bukan baru, tetapi berlaku sejak awal tahun ini lagi kerana ada pemaju perumahan yang membangunkan tanah di kawasan berkenaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Okt. 2013

Projek ECER berjaya tarik RM6.5 bilion pelaburan swasta ke Kelantan dalam tempoh lima tahun

KOTA BHARU: Pelaksanaan pelbagai program dan projek oleh Kerajaan Persekutuan menerusi inisiatif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kelantan berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun sejak 2007.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John berkata ia juga berjaya mewujudkan 5,000 pekerjaan baharu dan hampir 1,000 peluang keusahawanan di negeri ini.

Antara projek yang telah dilaksanakan ialah pembangunan Taman Halal di Pasir Mas, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan di Pengkalan Kubor, Tumpat, Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali di Pasir Puteh dan projek Agropolitan Kelantan Selatan di Gua Musang, katanya pada taklimat media di sini Khamis, sempena Hari Terbuka ECER Bersama Rakyat di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) di sini Sabtu ini.

Issace berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM630 juta melalui ECERDC untuk menjalankan projek pembangunan prasarana, pertanian, pembuatan, pelancongan dan pembangunan modal insan di Kelantan.

Mengenai projek agropolitan Kelantan Selatan yang mula dilaksanakan pada 2009, beliau berkata seramai 300 peserta bersama keluarga kini tinggal di rumah yang disediakan ECERDC, dengan pendapatan purata meningkat daripada RM350 sebulan kepada lebih RM1,000 sebulan.

Katanya peserta terbabit bekerja di ladang kelapa sawit sebagai sumber ekonomi utama dan mereka turut menanam pokok koko di belakang rumah sebagai sumber sampingan.

Beliau berkata pembangunan fasa 1 infrastruktur di Taman Halal Pasir Mas yang meliputi kawasan seluas 54 hektar, telah siap dan kompleks perniagaan usahawan di taman tersebut telah dibuka kepada pengusaha produk Halal sejak Jun tahun ini.

"ECERDC juga sedang dalam perbincangan dengan lima bakal pelabur mengenai pembinaan kilang pembuatan di taman berkenaan," katanya.

Mengenai Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali, Issace berkata di samping menjadi hab perikanan berorientasikan eksport yang dinamik dan berdaya maju, taman tersebut akan dipromosikan sebagai sebuah destinasi ekopelancongan marin yang unggul dan menarik dengan penekanan kepada keindahan alam semula jadi.

Beliau berkata Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Pengkalan Kubor mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 328,000 liter sos ikan dan budu premium.

ECERDC juga mengendalikan program akademik dan memperkasa ECER yang merupakan program pembangunan modal insan dengan 3,140 pelajar dan 1,800 peserta dewasa di negeri ini memperoleh manfaat.

Sumber: BERNAMA | 24 Okt. 2013

Lebih RM200,000 baik pulih 67 rumah penduduk miskin DUN Paloh

GUA MUSANG: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM200,000 bagi program membaik pulih 67 rumah penduduk miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh di sini tahun ini.

Anggota DUN Paloh Datuk Nozula Mat Diah berkata kerja membaik pulih rumah dengan kos RM3,000 sebuah dilakukan secara berperingkat mulai bulan ini.

"Kita mengakui memang masih banyak rumah penduduk miskin yang perlu dibaiki, tetapi mereka yang tidak dipilih tahun ini akan diberi tahun depan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, di sini Rabu.

Sumber: BERNAMA | 23 Okt. 2013

ECERDC ubah taraf hidup peserta di Kelantan Selatan

Rumah-rumah dan projek penanaman sekunder di sekeliling rumah peserta bagi projek agropolitan fasa kedua di Taman Agropolitan Limau Manis, Gua Musang, Kelantan.
GUA MUSANG: Seramai 271 peserta Projek Agropolitan Rantau Manis di sini berjaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan sekali gus mengubah taraf hidup keluarga mereka. 

Program yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan itu bermula pada tahun 2009 untuk mengubah taraf hidup miskin tegar kepada kehidupan yang mempunyai masa depan yang cerah dan berpendapatan tetap.

Program yang telah mencapai fasa kedua tersebut melibatkan hasil pertanian koko serta kelapa sawit. Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial ECERDC, Zulkifli Yaacob (gambar) berkata, peserta yang dipilih untuk menyertai program tersebut rata-ratanya hanya memperolehi pendapatan di bawah RM350 sebulan.

"Alhamdulillah, apabila (peserta) menyertai program ini, mereka mampu menjana pendapatan antara RM1,100 ke RM1,300 sebulan dengan mengusahakan ladang sawit dan penanaman sekunder iaitu koko ditanam dengan keluasan suku ekar di sekeliling rumah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan media ke tapak projek agropolitan berkenaan, kelmarin.

Zulkifli berkata, selain daripada aktiviti pertanian, banyak lagi aktiviti yang melibatkan ahli keluarga peserta juga dijalankan.

"Para suri rumah turut berpeluang menyumbang kepada pendapatan keluarga dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti ekonomi sampingan seperti menjahit, membuat kuih dan sebagainya.

"Anak-anak peserta program pula berpeluang menyertai program latihan akademik yang dijalankan oleh ECERDC di mana kelas-kelas pemulihan dan sesi-sesi motivasi diadakan untuk membantu mempertingkatkan prestasi akademik anak-anak tersebut," katanya.

Projek Agropolitan melibatkan penempatan semula peserta-peserta yang terdiri daripada golongan miskin ke rumah-rumah baharu dibina oleh pihak ECERDC dengan kesemua mereka diberi latihan dan pekerjaan dalam projek-projek pertanian yang dilaksanakan oleh majlis itu.

Bermula pada 2009, aktiviti utama di Agropolitan Kelantan Selatan melibatkan perladangan kelapa sawit di kawasan seluas 1,490 hektar serta penanaman koko sebagai aktiviti sekunder dan para peserta telah diberi latihan khusus.

Selain rumah, pelaksanaan program agropolitan juga menyediakan kemudahan awam seperti dewan orang ramai, tadika, surau, dan kedai-kedai untuk mewujudkan sebuah komuniti dalam kalangan peserta dan keluarga.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, projek untuk fasa yang ketiga telah dijalankan dan dijangka siap pada tahun 2015.

"Projek untuk fasa ketiga iaitu pembangunan ladang kelapa sawit seluas 835 hektar telah dijalankan Mei lalu dan pembinaan lagi 300 unit rumah dijangka siap sepenuhnya awal 2015. "Bagi penanaman koko pula, kita akan jalankan pada pertengahan tahun 2014," katanya. 

Pada masa yang sama, ECER turut membantu golongan usahawan di negeri ini dengan menyediakan pelbagai program sejajar dengan tujuan penubuhannya untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini. 

Untuk itu, Program Pembangunan Keusahawanan ECER (EEDP) telah dilancarkan pada tahun 2011. Objektif utama EEDP adalah untuk menjadikan industri kecil dan sederhana (IKS) serta pelaburan bumiputera sebagai kumpulan sasaran ke arah membantu mereka mengembangkan perniagaan dan meningkatkan hasil pendapatan perniagaan. 

Program itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu dengan kerjasama Agro Bank (EEDP-Agro Bank) dan SIRIM (EEDP-SIRIM). 

EEDP-Agro Bank menjuruskan tumpuan kepada bantuan pembiayaan kepada para usahawan sedia ada di wilayah ECER yang berhasrat membangun dan mengembangkan perniagaan.

Melalui program itu, pembiayaan diberikan kepada usahawan berkelayakan dengan kadar faedah pinjaman yang lebih rendah kerana sebahagian daripada faedah tersebut ditanggung ECERDC. 

Pembiayaan kepada usahawan mikro adalah sebanyak RM50,000 manakala untuk usahawan IKS sehingga RM250,000 dengan tempoh pembayaran balik pinjaman selama 96 bulan. 

Sehingga kini, seramai 552 usahawan seluruh ECER telah terpilih menyertai program EEDP Agro Bank dengan Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 230 usahawan, Pahang (204), Kelantan (102) dan Mersing, 16 usahawan. 

Program EEDP-SIRIM pula dirangka khusus untuk membantu pembangunan dan bimbingan usahawan sedia ada di wilayah ECER yang berhasrat mengembangkan perniagaan mereka. 

Pendekatan ini merangkumi aspek-aspek pengurusan kewangan, pembangunan produk, pemasaran, penyelidikan, pensijilan halal, kawalan peningkatan kualiti dan pembungkusan. 

Seramai 28 peserta berjaya meningkatkan hasil jualan mereka melebihi 25 peratus sebulan dan kesemua produk itu berjaya didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

ECER telah membuktikan bahawa mereka telah memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan ekonomi di wilayah Pantai Timur.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 24 Okt. 2013

RM2.5 juta bangunkan tanaman kelapa matag

BACHOK: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta dalam usaha membangun dan mengembangkan tanaman kelapa matag di negara ini mulai tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Sabtu Slamat berkata, tanaman kelapa berkenaan berupaya menghasilkan pendapatan tiga kali ganda berbanding kelapa biasa sekiranya diusahakan menerusi amalan dan teknologi pertanian yang betul.

Menurutnya, berdasarkan kajian bahagian penyelidikan pertanian, sehektar tanaman kelapa matag mampu menghasilkan pulangan sebanyak RM20,000 setahun berbanding hanya RM5,000 kelapa biasa.

"Ia adalah spesies pokok yang cepat berbuah dengan kualiti hasil yang tinggi pastinya merangsang pendapatan petani berbanding pokok kelapa yang lambat berbuah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Khemah Kerja dan Hari Peladang peringkat negeri Kelantan di Kampung Melawi di sini hari ini.

Lebih 100 petani dari seluruh jajahan menyertai upacara itu yang turut disertai Pengarah Pertanian Kelantan, Ab. Lah Ismail.

Sabtu berkata, kelapa baka baharu hasil kacukan benih Malaysia-Filipina itu boleh dikomersialkan untuk membuat kuih-muih termasuk perusahaan jeli kelapa dan santan yang bermutu tinggi.

Setakat ini, katanya, terdapat juga pengusaha yang turut mengusahakan penghasilan benih dan memasarkannya di pasar tani seluruh negara.

"Pada tahun 2017, disasarkan kita dapat membekalkan benih kelapa mencukupi bagi permintaan petani yang bercadang mengusahakannya secara besar-besaran.

"Bagi mencapai matlamat itu, kawasan seluas 70 hektar di Kampung Leking, Johor sudah dikenal pasti sebagai ladang pengeluaran benih terbesar di negara ini," katanya.

Sabtu berkata, pada masa ini kementerian memberi tumpuan yang lebih yang membabitkan negeri Perak, Johor, Selangor dan Kelantan.

Di Kelantan, katanya, kawasan seluas 60 hektar sedang diusahakan dengan tanaman itu bagi menggantikan kelapa Malaysia Tall (kelapa biasa) di pesisiran pantai di Kampung Melawi yang membabitkan tiga fasa bermula 2011.

"Jabatan Pertanian Kelantan memperuntukkan sejumlah RM240,000 bagi menjayakan projek tanaman ini yang dapat memberi faedah kepada 160 petani," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 24 Okt. 2013

Selasa, 22 Oktober 2013

Penjelasan: Ahmad nafi lulus permohonan balak

KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan tidak meluluskan atau memproses mana-mana permohonan daripada syarikat pembalakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata, perkara itu memandangkan pihaknya masih belum mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan negeri yang dipengerusikan beliau sendiri.

Sehubungan itu, tambah beliau, tidak timbul sebarang isu kerajaan pimpinannya meluluskan kawasan untuk pembalakan di negeri ini. 

"Saya baru jadi menteri besar empat bulan, mesyuarat jawatankuasa balak pun belum diadakan lagi, macam mana hendak kata saya telah memberikan kawasan balak kepada pihak tertentu. 

"Tunggu saya mesyuarat dahulu, lepas itu baru kita tahu berapa kelulusan kawasan telah diberikan dan berapa yang tidak lulus kecualilah saya sebagai Pengerusi sudah buat mesyuarat dan ada keputusan tetapi sekarang muncul pula cerita budak 22 tahun dapat kawasan balak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis 23 Tahun Membangun Bersama Islam di pekarangan Sultan Muhammad IV, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Sebelum ini, ada pihak tertentu yang dikatakan pro-Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Husam Musa menggunakan media sosial menyerang kerajaan pimpinan Ahmad mengenai isu pembalakan. 

Perkara itu bermula dengan pendedahan Husam dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan mengenai permohonan kawasan seluas 1,400 hektar bernilai RM7 juta di kawasan Hutan Simpan Ulu Sat kepada seorang individu tanpa tender pada Ogos lalu.

Isu tersebut menjadi perdebatan hangat di media sosial malah ada antara mereka mendedahkan kawasan tersebut dipohon seorang pemuda berusia 22 tahun yang baru seminggu mendaftar perniagaan. 

Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Ahmad yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan berkata, pihaknya akan menghantar jentera pilihan raya untuk memastikan parti itu dapat mengekalkan kerusi tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 21 Okt. 2013

Isnin, 21 Oktober 2013

Perkhidmatan bas ulang-alik lapangan terbang dari Hentian Bas Titiwangsa ke LTSAAS

KONSORTIUM Transnasional Berhad (KTB) dengan kerjasama Subang Skypark Sdn. Bhd. (subpengendali lapangan terbang di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad) telah memperkenalkan perkhidmatan bas ulang-alik lapangan terbang (airport shuttle bus) bagi laluan Hentian Bas Titiwangsa - Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS).

Perkhidmatan bagi laluan Hentian Bas Titiwangsa (juga dikenali sebagai Hentian Bas Pekeliling di pusat bandar raya Kuala Lumpur) ke bangunan terminal LTSAAS ini telah bermula sejak 11 Oktober 2013 lepas.

Perkhidmatan bas ulang-alik lapangan terbang yang diberi nama "KL City Airport" ini disediakan setiap jam bermula pada jam 04:00 dan perkhidmatan terakhir pada jam 00:30 bertolak dari LTSAAS. Jika dari lapangan terbang, perkhidmatan bas ini boleh diambil di hadapan bangunan terminal LTSAAS, Subang, Shah Alam, Selangor.

Kadar tambang yang dikenakan adalah RM9.00 untuk perjalanan sehala dari Hentian Bas Titiwangsa ke LTSAAS dan sebaliknya melalui (turut mengambil penumpang) Plaza Damas, eCurve Mutiara Damansara, dan Stesen LRT Kelana Jaya. Kadar tambang dari Stesen LRT Kelana Jaya ke LTSAAS dan sebaliknya adalah RM3.00 sahaja. Tiket boleh dibeli di dalam bas.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang: www.cityairport.com.my atau www.subangskypark.com. 

Nota kaki: LTSAAS menjadi hab penerbangan utama bagi syarikat penerbangan Firefly dan Berjaya Air, manakala syarikat penerbangan Malindo Air juga beroperasi di lapangan terbang kota ini.